Jangan Khianati Muafakat Nasional

Jangan Khianati Muafakat Nasional

Pertama sekali perlu disebut bahawa rakyat awam keliru apabila banyaknya ‘nasional’; Muafakat Nasional, kemudian Perikatan Nasional, sebelumnya sedia ada Barisan Nasional.

Tidakkah kedengaran cacamarba bagi mereka?

Sesuatu yang normal bagi penekun politik belum tentu tidak abnormal bagi kebanyakan marhaen di bawah sana.

Melainkan ada niat politik yang boleh jadi bahan untuk saling meragui di samping keahlian yang berbeza.

Muafakat Nasional jelas dan kukuh dengan piagamnya.

Terbentuk daripada kesedaran tentang perlunya ummah ini bersatu agar tidak diinjak-injak oleh golongan yang masih bernyala citra komunismenya.

Suatu citra yang berhasrat meruntuhkan Islam dan ketuanan Melayu/Islam.

PAS memang sekian lama berusaha agar ummah ini bersatu dalam satu wadah yang selaras dengan kehendak Islam.

Manakala UMNO pula mula belajar daripada ketewasannya setelah melihat Melayu/Islam diperkotak-katikkan.

Mujurnya UMNO tidak lama berstatus pembangkang.

Tidak mujurnya apabila UMNO belum cukup diajar bagaimana seksanya menjadi parti politik yang tiada kuasa di peringkat pusat.

Pemimpin UMNO tak sempat jelira dengan kepedihan sepertimana yang PAS rasa selama berdekad-dekad.

Sekadar masa tak sampai 5 tahun apalah sangat.

Itu hanyalah tempoh termenung sahaja setelah monyok kebingungan.

Sesingkat 22 bulan memungkinkan manusia mudah lupa daratan.

Allah memakbulkan doa pemimpin dan penyokong PAS dan UMNO dalam Perhimpunan Perpaduan Ummah.

Tak sampai musim matang, kerajaan PH tumbang dalam keadaan yang tidak pernah terfikirkan.

Sepatutnya nikmat kembali menjadi kerajaan ini wajib kita syukuri.

Apa tidaknya; Allah beri semula kuasa kepada kita.

Allah selamatkan agama, bangsa dan tanah air kita.

Tetapi sejauh manakah kita semua menghargai?

Setelah ada kuasa, kita mula tidak berpuas hati sesama sendiri.

Kita mula mengusik dan mengasak.

Kecurigaan berputik masam di celah dahan pemuafakatan.

Apabila masing-masing tidak terpilih menjadi menteri dan bos GLC, kita sudah mula mencongak strategi sendiri.

Sebolehnya kita mahu kembali kepada kegagahan dulu.

Menguasai segala-galanya serta mendapat apa sahaja yang diburu.

Persoalannya sekarang, benarkah kita bermuafakat demi ummah?

Atau sekadar agenda peribadi berkolaborasi dengan nafsu sendiri?

Ummah ingin melihat pemimpin yang jujur berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air.

Justeru pemimpin UMNO, PAS dan BERSATU perlu ikhlas demi melihat pemuafakatan terbina kukuh berpasak dan kekal di atas paksinya.

Bukan kepentingan bersifat peribadi dan puak menjadi keutamaan.

Perbezaan ideologi dan fikrah memang tidak dapat dinafikan.

Tetapi persamaan hendaklah menjadi titiktemu manakala jurang perbezaan perlu ditiruskan.

Situasi kerajaan dengan majoriti yang amat tipis kini mengundang pelbagai kemungkinan.

Para Ahli Parlimen apabila mendapat tawaran lumayan atau sekurang-kurangnya selamat daripada segala pertuduhan, mereka boleh melompat ke kiri atau ke kanan.

Individualistik boleh mempersetankan perpaduan.

Materialistik menidakkan kejujuran.

Umpama ikan di air sekilas dipandang.

Jantan betinanya tidak mudah untuk disembunyikan.

Muafakat Nasional mesti dipupuk agar sentiasa sihat.

Kalaulah ketidakikhlasan dan pengkhianatan itu umpama panau dan campak.

Biarkan simptom menzahirkan diri.

Senang dicari ubat berantibiotik.

Kuman dan virus dapat dinyahkan.

Tak guna bertempek merosakkan badan.

Kelak meracau makan tak habis.

Digigit polong dihasut iblis.

Bayang Di Air,

Politik