Kenali Susur Jalur Keturunan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang

Kenali Susur Jalur Keturunan Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang

Marilah kita kenali keturunan ulama yg kita sayangi Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang.

KUBUR TOK PANJANG

Kg Datuk, Pantai Teluk Kapur, Yaring (Jambu), Pattani.

SIAPA TOK PANJANG?

Disebut bahawa keluarga Ayah Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang dari keturunan Tok Kubur Panjang yang dimakam di Kampung Jambu, Jerim Patani.

Setelah saya meneliti beberapa kajian sejarah, Tok Kubur Panjang juga dikenali sebagai Syeikh Gombak mengikut Hikayat Patani.

Ketika Perang Patani Siam, Keturunan Tok Syeikh Gombak ini berundur ke Terengganu.

Dikhabarkan oleh Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi, yang menurutnya melalui cerita mak saudaranya yang meninggal dua tahun lepas, Ada 3 beradik keturunan Tok Panjang keluar dari Patani.

Seorang duduk di Rusila (keluarga TGHH).

Seorang menetap di Kampung Tapu dan seorang bergerak ke Pahang dan tak dapat dikesan.

Ayah beliau Tok Guru Haji Awang bin Abdul Rahman Bin Abdullah bin Yusuf.

Ayah beliau Tok Guru Haji Awang Rusila juga berguru dengan Saiyid Abdullah az-Zawawi anak kepada guru mursyid tarekat Naqsyabandiah Muzhariyah iaitu Sayyid Muhammad Saleh az-Zawawi.

Saiyid Abdullah az-Zawawi juga merupakan mursyid kepada al-Sayyid Abd al-Rahman al-Idrus (Tok Ku Paloh).

Disebelah keturunan ibu bersangkut dengan Tok Pahang.

Seorang tokoh yang terlibat secara tidak langsung dalam pertembungan Bendahara Wan Ahmad dengan Tun Mutahir dalam Perang Saudara di Pahang.

Sejarah asal Tok Pahang tidak diketahui banyak orang kerana tidak banyak cerita pasalnya.

Moyang Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi, Tok Guru Abdullah bin Yusuf dilantik oleh Sultan Terengganu waktu itu sebagai Hakim/Qadhi.

Dan sejarah hubungan keluarga TGHH dengan Istana berkait rapat sehingga 1950 an lagi, apabila Masjid Rusila menjadi Tempat Solat Jumaat Sultan.

Datuk Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi, Tok Guru Abdul Rahman Bin Abdullah adalah sahabat pelayaran Tuan Guru Abdul Rahman Limbong dan pernah belayar bersama-sama dengan Perahu Panjang sehingga ke Burma, Kalimantan, Riau dan sebagainya.

Kemungkinan ini menyebabkan juga ada pengaruh sarekat Islam yang waktu itu turut berkembang di Nusantara dari Pulau Jawa, Riau dan pantai Terengganu.

Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi sebut lantera Perahu Panjang masih disimpan di rumahnya sebagai kenang-kenangan sejarah.

Setelah disebut nama Tok Syeikh Gombak adalah seorang pedagang dari Minangkabau, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi mengiyakan bahawa beliau ada juga dengar maklumat tersebut.

Menurut beliau, sememangnya banyak keturunan Minangkabau dan Acheh sepanjang pantai Rusila sehingga ke Jambu Bongkok.

Menurut hikayat Patani, Syeikh Gombak adalah pedagang yang datang ke Patani ketika berlaku pertembungan antara Siam dan Patani.

Waktu itu dibuat larangan menjual tembaga kepada orang luar.

Syeikh Gombak dihukum bunuh kerana menjual tembaga kepada pedagang dari Melaka.

Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang berasal dari keturunan ulama yang berjuang dan mungkin juga keturunan daripada ulama-ulama Patani yang berasal dari Hadramaut, Yemen seperti yang direkodkan oleh Almarhum Ustaz Wan Saghir Abdullah.

Sumber Pembela Ulama

Sejarah