Kedudukan Anak Orang Kafir Di Akhirat

Kedudukan Anak Orang Kafir Di Akhirat

SOALAN:

Berkenaan anak-anak orang bukan Islam bagaimana kedudukan mereka di hari kiamat nanti adakah juga akan dimasukkan ke dalam syurga?

JAWAPAN:

Telah ijmak oleh ulamak bahawa sekelian anak-anak orang Islam yang mati ketika kecil adalah mereka penghuni syurga.

Berkata Imam Ahmad:

أما أطفال المسلمين، فلا يختلف فيهم أحد؛ يعني: أنهم في الجنة

Artinya: “Ada pun sekelian kanak-kanak muslimin maka tiada khilaf pada mereka itu seorang pun yakni sungguhnya mereka di dalam syurga.”
(Kitab Tariq Al-Hijratain)

Ada pun anak-anak orang kafir yang mati kecil maka ulamak telah berselisih pada kedudukkannya di akhirat.

Sebahagian ulamak tawaqquf yakni tidak menetapkan kedudukkan mereka. Ialah pendapat Ibnu Al-Mubarak dan Ishaq bin Rahawaih dan Imam Baihaqi menaqalkan sebagai pendapat Imam Sayfie.

Dan sebahagian ulamak berkata adalah anak-anak orang kafir yang mati sebelum baligh itu di akhirat nanti di dalam syurga.

Diantara dalilnya ialah:

Diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub r.a. Rasulullah saw bersabda:

فَكُلُّ مَوْلُودٍ مَاتَ علَى الفِطْرَةِ قالَ: فَقالَ بَعْضُ المُسْلِمِينَ: يا رَسولَ اللَّهِ، وأَوْلَادُ المُشْرِكِينَ؟ فَقالَ رَسولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ: وأَوْلَادُ المُشْرِكِينَ

Artinya: “Setiap bayi dilahirkan mati maka mati ia dalam keadaan fitrah . Maka bertanya sebahagian kaum Muslimin : Wahai Rasulullah! Anak-anak orang musyrikin pun? Jawab Rasulullah : Anak-anak orang musyrikin pun.”
(Hadith riwayat Bukhari)

Dan juga diriwayatkan daripada Samurah bin Jundub r.a. berkata:

سَأَلْنَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَطْفَالِ الْمُشْرِكِينَ فَقَالَ: “هُمْ خَدَمُ أَهْلِ الْجَنَّةِ

Artinya: “Kami telah bertanya akan Rasulullah saw dari hal kanak-kanak musyrikin maka sabdanya : Mereka adalah khadam ahli syurga.”
(Hadith riwayat At-Tabarani)

Dan diriwayatkan daripada Hasna’ binti Muawiyah dari Bani Syarim katanya telah menceritakan akan daku oleh bapa saudaraku yang berkata ia kepada Rasulullah saw:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَنْ فِي الْجَنَّةِ؟ قَالَ: “النَّبِيُّ فِي الْجَنَّةِ، وَالشَّهِيدُ فِي الْجَنَّةِ، وَالْمَوْلُودُ فِي الْجَنَّةِ، وَالْوَئِيدُ فِي الْجَنَّةِ”

Artinya: “Wahai Rasulullah! Siapa di dalam syurga? Jawab Rasulullah : Nabi di dalam syurga dan yang mati syahid di dalam syurga dan segala kanak-kanak yang dilahirkan di dalam syurga dan yang ditanam hidup-hidup di dalam syurga.”
(Hadith riwayat Ahmad)

Dan beberapa pendapat lagi yang tidak disebut di sini.

Kesimpulannya sebahagian ulamak berpendapat sekelian kanak-kanak anak orang kafir yaitu mereka yang mati sebelum baligh di hari kiamat nanti tempat duduk mereka ialah di dalam syurga.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab