Kiambang Belum Bertaut

Kiambang Belum Bertaut

Walau apapun perasaan tidak berpuas hati bergejolak dalam kalangan penyokong Muafakat Nasional, ikatan kesatuan ummah ini jangan terburai.

Maka tahap lontaran pandangan dan kritikan oleh pemimpin dan ahli janganlah keterlaluan mengikut nafsu dan perasaan.

Lebih-lebih lagi kita pasti adanya jarum-jarum halus ala-vodoo yang dicucuk oleh tukang-tukang sihir yang menyamar konon suara akar umbi.

Isu PAS bersama dengan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya tidak menjadi justifikasi bahawa PAS mengkhianati UMNO.

Sekurang-kurangnya ada dua hujah yang perlu diinsafi.

Pertama, UMNO sendiri merupakan satu komponen daripada satu koalisi iaitu BN.

UMNO sudah barang tentu merasakan perlu MCA dan MIC ada bersama dalam MN demi mengukuhkan cengkaman dan sokongan rakyat berbilang kaum.

PAS yang berpolitik “adil untuk semua” terima dengan benarnya.

Justeru PAS juga meyakini keupayaan BERSATU, STAR dan parti-parti Bumiputera lain di Sabah dan Sarawak dapat menjana kekuatan dan impak integrasi yang secara menyeluruh.

Keduanya, Perikatan Nasional tidak pernah menutup pintu kepada UMNO malah PN sangat mengharapkan UMNO/BN turut bersama dalam keluarga besar PN.

Lainlah sekiranya UMNO/BN tidak diterima secara adil dan terbuka.

PN memerlukan penyertaan UMNO/BN untuk kelangsungan kerajaan hari ini.

Malah UMNO/BN lebih-lebih lagi diperlukan untuk menjadi benteng daripada DAP berkuasa kembali.

Kekukuhan PN memungkinkan majoriti 2/3 diperoleh dalam PRU15 nanti.

UMNO kena insaf bahawa UMNO kini bukan lagi UMNO sebelum wujudnya BERSATU.

BN juga bukan lagi BN sebelum PRU14.

Mahu diakui atau tidak, keahlian UMNO turut berkurang ditambah dengan liabiliti beberapa orang pemimpin yang terpalit dengan rasuah dan penyelewengan yang menjadi cemuhan rakyat terbanyak.

BN juga kini hanya dianggotai oleh 3 buah parti Semenanjung; sedangkan 10 buah parti telah meninggalkan BN setelah tidak lagi menjadi kerajaan Pusat.

Justeru UMNO tidak patut bernostalgia sehingga merosakkan diri sendiri khususnya dan ummah ini umumnya.

Apa berlaku sekiranya MN terburai dan pertandingan 3 perjuru berlaku antara UMNO/BN, PN dan PH?

Kemungkinan cukup besar tiada koliasi yang berjaya mendapat majoriti tanpa gabungan baru dan lompat-lompat parti.

Politik akan terus tidak stabil yang turut menjejaskan ekonomi rakyat dan negara.

Dan amat sial sekiranya DAP kembali ada dalam kabinet.

Atau sebagai kingmaker sehingga Melayu dan Bumiputera menjual segala maruah yang ada demi memenuhi tuntutan dan desakan kingmaker harbi.

Perselisihan sekarang perlu segera dicarikan solusi.

Jangan dianggap enteng sehingga kata dan tohmah semakin dalam menghiris jiwa.

Jangan nanti pemimpin dah boleh makan sembang semeja tetapi akar umbi di bawah membawa diri memboikot tanpa bersuara.

Kamu bertanding kamulah yang buat kerja.

Dah rasa kuat sangat, buatlah pos sendiri, sendirilah panjat pokok pacak bendera.

Kan parah tu pada mandiri Muafakat Nasional; sedangkan semboyan PRU15 akan ditiup bila-bila masa.

Jangan lupa saudaraku UMNO.

Tujuh kali pilihanraya kecil, PAS tidak pernah sibuk nak bertanding walaupun satu.

Ketujuh-tujuhnya PAS bantu UMNO sejujurnya dan seikhlasnya.

Petugas PAS tak pernah mengungkit kisah silam.

Biarlah parut di dalam terpendam dan berunsur menghilang; terujanya airmata bercucuran kegembiraan melihat UMNO menang.

Tujuh kali berkumandang “terima kasih PAS, terima kasih PAS”.

Dilagukan penuh rasa syukur sebagai suatu penghargaan.

Apakah hanya dengan sekali rasa tidak berpuas hati kerana tafsiran sendiri, kita nekad membawa haluan sendiri?

Kita adalah kiambang yang belum rapat bertaut.

Biduk yang lalu pun masih belum menjauh.

Kita tidak boleh menjadi raja sehari; nampak cantik disolek dalam sehari.

Kita hidup dalam realiti.

Asalkan kita jujur dan benar-benar ikhlas, Allah-lah yang membantu kita mengeratkan penyatuan ini. Asalkan tiada ego dan agenda peribadi, Allah-lah yang akan meneguhkan kedudukan kita di bumi bertuah ini.

Kerana Allah telah mengamanahkan kita menjadi khalifah di bumi Jawi.

Politik