Situasi Isu Buruh Dalam Sektor Perladangan Sawit Malaysia

Situasi Isu Buruh Dalam Sektor Perladangan Sawit Malaysia

Susulan beberapa insiden yang melibatkan penahanan eksport produk agrikomoditi Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) oleh United States Customs and Border Protection (US CBP) kebelakangan ini,

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) ingin memberi penjelasan mengenai situasi buruh paksa di sektor perladangan sawit yang dilihat mempunyai hubungan dengan sekatan tersebut.

Tidak dinafikan, AS merupakan pasaran penting serta antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport agrikomoditi seperti produk sawit negara.

Bagi tempoh Januari-Julai 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM11.8 bilion.

Pada tahun 2009, sektor sawit Malaysia telah dimasukkan di dalam senarai The Department of Labor’s List of Goods Produced by Child Labor or Forced Labor oleh Jabatan Buruh AS (DOL) atas dakwaan menggunakan buruh paksa selaras dengan peruntukan undang-undang negara tersebut iaitu Trafficking Victims Protection Reauthorization Act (TVPRA).

Ini diikuti dengan dakwaan penggunaan buruh kanak-kanak pada tahun 2014.

Isu buruh paksa dan buruh kanak-kanak khususnya yang melibatkan warga asing adalah kompleks kerana melibatkan faktor penentu yang unik dan berbeza bagi setiap negara serta berkait rapat dengan latar belakang ekonomi, perbezaan struktur sosiobudaya, peraturan dan undang-undang tempatan.

Justeru, KPPK telah mengambil langkah permulaan menangani isu ini melalui pelaksanaan kajian awal situasi buruh dalam sektor perladangan sawit pada tahun 2014.

Pada tahun 2018, KPPK dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian telah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh di sektor perladangan sawit Malaysia.

Ia dijalankan bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif.

Sebagai makluman, KPPK telah membentangkan kajian situasi buruh sektor perladangan sawit Malaysia dan telah diterima oleh Kabinet pada 24 Julai 2020.

Dalam hal ini, laporan akhir kajian menyeluruh itu akan dikemukakan kepada DOL dan ILO sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada Senarai TVPRA.

Langkah ini diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan.

KPPK akan terus mengadakan sesi libat urus dengan pemegang-pemegang taruh bagi mencari penyelesaian efektif untuk menangani isu tersebut.

Selain itu road show turut dijalankan bagi memberi pemahaman dan penjelasan mengenai keperluan pematuhan syarat-syarat perburuhan untuk memastikan tiada amalan sedia ada boleh dikaitkan dengan buruh paksa.

Namun, ia adalah proses berterusan dan akan memakan masa.

Malaysia komited mengenai isu perburuhan dalam sektor perladangan komoditi ini di mana elemen kawalan perburuhan telah dimasukkan sebagai salah satu syarat pelesenan ladang sawit di bawah pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang berkuat kuasa secara mandatori mulai 1 Januari 2020.

Pemahaman mengenai kewujudan buruh paksa dan buruh kanak-kanak dalam konteks ekonomi dan budaya Malaysia serta usaha kolektif pelbagai pihak dalam isu ini amat penting untuk meyakinkan komuniti antarabangsa tentang komitmen utuh dan kesediaan kerajaan dalam usaha untuk menangani isu-isu terbabit dalam berkenaan khususnya dan sektor agrikomoditi amnya.

YB DATO’ DR. MOHD. KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Ekonomi