Ucapan ‘Rest In Peace’ Ada Implikasi Akidah: JAKIM

Ucapan ‘Rest In Peace’ Ada Implikasi Akidah: JAKIM

Dalam konteks ucapan ‘Rest in Peace’, ia adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad ke-18.

Ia juga biasanya diukir di batu nisan mereka yang telah meninggal dunia di kalangan masyarakat Kristian.

Versi penuh ucapan tersebut yang berasal dari bahasa Latin itu ialah ‘May his soul and the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace.’

Ia juga mengandaikan orang bukan Islam tersebut akan mendapat rahmat dari Tuhan sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin.

Perlu difahami bahawa dari sudut akidah Islam, ucapan ‘Rest In Peace’ ini mempunyai implikasi dari segi akidah sekiranya tidak difahami secara jelas kerana ia merupakan amalan keagamaan orang bukan Islam yang sepatutnya tidak diikuti oleh orang Islam.

Dalam Surah al-Taubah, ayat 113, Allah SWT telah memberi peringatan bahawa “Tidaklah dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang beriman, meminta ampun bagi orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabatnya sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu ahli neraka.”

Perkara ini juga secara jelas telah dinyatakan oleh Imam an-Nawawi dalam Kitab al-Majmu’ yang menyebutkan bahawa:

“…berdoa keampunan bagi orang kafir adalah haram dengan nas al-Quran dan Ijma’.

Oleh yang demikian sebagai panduan hukum, seorang Islam adalah amat tidak digalakkan untuk mengucapkan ucapan seperti ‘Rest In Peace’ ini kepada seorang bukan Islam.

Walau bagaimanapun, dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama seperti Malaysia, Islam tidak pernah menghalang seseorang Islam mengucapkan simpati terhadap keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak memberi implikasi keagamaan seperti “Saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada anda”, kerana Islam secara dasarnya membenarkan ucapan yang baik terhadap orang bukan Islam atas dasar kemanusiaan dan penghormatan terhadap hak mereka.

Ini adalah sebagaimana penghormatan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w apabila Baginda berdiri menghormati jenazah seorang Yahudi yang lalu di hadapan Baginda.

Sekian, terima kasih.

“Saya Yang Menurut Perintah”

DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Merangkap Setiausaha Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (MJKF)
25 April 2014

Islam