SOALAN:
Saya pernah mendengar seorang guru agama menyebut dalam ceramahnya jika kaum wanita beristinjak dari kencing sambil berdiri maka istinjaknya itu tidak sah dan dia tidak boleh menunaikan solat dengan istinjak seperti itu.
JAWAPAN:
Arti istinjak ialah membersihkan dengan air atau batu akan kemaluan dari najis selepas kencing dan buang air besar.
Disyaratkan hendaklah bersih kemaluan dari najis, oleh itu jika sudah dibasuh dengan air tetapi kemaluan tidak bersih maka wajib diulangi membersihkannya dengan betul dan jika dikerjakan solat umpamanya tanpa dibersihkan dengan betul maka solat itu tidak sah kerana bersucinya tidak sah.
Bagi kaum wanita wajib dibersihkan semua bahagian farajnya yang zahir yaitu bahagian yang jika dia duduk mencangkung maka bahagian tersebut akan terbuka dengan sendirinya dan jika dia bangun maka bahagian itu akan tertutup.
Berkata Imam Nawawi:
وَالْوَاجِبُ عَلَى الْمَرْأَةِ غَسْلُ مَا يَظْهَرُ إِذَا جَلَسَتْ عَلَى الْقَدَمَيْن
Artinya: “Dan yang wajib atas perempuan ialah membasuh bahagian yang zahir apabila dia duduk mencangkung atas dua tapak kakinya.”
(Kitab Raudah At-Talibin)
Dan sebab tidak bersih istinjaknya itu ialah kerana ketika seorang perempuan beristinjak adalah wajib dibasuh akan segala bahagian yang zahir pada farajnya dan bahagian yang terbuka ketika duduk itu termasuk bahagian yang zahir maka jika dia duduk nescaya akan terbuka bahagian tersebut dan kena air basuhan dan bersihlah ia.
Oleh kerana itulah dikatakan perempuan yang membasuh kencingnya sambil berdiri tidak sah istinjaknya.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus