PBS bukanlah parti komponen PN atau BN, tetapi ia sebaliknya hanya membentuk ikatan dengan PN.
Dalam PRN Sabah 2020, PBS hanya menang di 7 kerusi sahaja, iaitu di N5 Matunggong, N7 Tandek, N14 Tamparuli, N15 Kiulu, N34 Lumadan, N36 Kundasang dan N47 Telupid.
STAR pula adalah parti komponen PN bersama-sama BERSATU dan SAPP yang bertanding dalam PRN Sabah 2020, manakala PAS pula tidak meletakkan calon dalam PRN ini.
Dalam PRN Sabah 2020, STAR hanya menang di 6 kerusi sahaja, iaitu di N38 Paginatan, N39 Tambunan, N40 Bingkor, N41 Liawan, N44 Tulid dan N45 Sook.
Bila dibandingkan kerusi yang dimenangi oleh PBS (7) dan STAR (6) dengan kerusi yang dimenangi oleh UMNO (14) dan BERSATU (11) maka PBS dan STAR adalah umpama cicak sahaja berbanding UMNO dan BERSATU yang umpama naga.
Sekarang ini, BERSATU melalui Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Senator Datuk Razali Idris, mencadangkan agar Kerajaan GRS Sabah melantik wakil pemimpin daripada Pas menganggotai kabinet Kerajaan GRS Sabah.
Turut membuat cadangan sama ialah UMNO dan BN melalui Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa, yang menyatakan kepercayaan beliau bahawa “seorang wakil PAS akan mengisi satu dari 6 ADUN dilantik”.
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi BERSATU Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, dan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi UMNO Sabah, Dato’ Sri Bung Moktar Radin, yang sepatutnya lebih utama mengulas pun belum kata apa-apa.
Alih-alih Presiden PBS, iaitu Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, pula yang terkehadapan dengan menyebut “tiada asas bagi GRS untuk mempertimbangkan perlantikan ADUN dari PAS” kerana “PAS itu tidak bertanding dan tidak memenangi apa-apa kerusi DUN dalam pilihan raya negeri yang lalu”.
Sungguh kelakar sekali kenyataan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili ini kerana bukankah tujuan mewujudkan enam ADUN lantikan di dalam DUN Sabah itu adalah untuk memberi ruang kepada parti yang tidak bertanding, atau kepada parti yang bertanding tetapi kalah dan golongan minoriti lain untuk mempunyai wakil mereka?
Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Gapari Kitingan, pula menafikan bahawa wakil PAS akan dilantik bagi mengisi jawatan di Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri selain menyifatkan cadangan Tan Sri Annuar Musa supaya “seorang wakil PAS mengisi satu dari 6 ADUN dilantik” sebagai pandangan peribadi beliau sahaja.
Inilah masalahnya bila cicak-cicak berlagak seumpama naga-naga sedangkan sepatutnya cicak-cicak ini sedarlah mengenai kedudukan mereka dan akur kepada kedudukan naga-naga.
Kamarul Yusoff