SOALAN:
Apakah hukumnya seorang yang sembahyang dalam satu rakaat dia telah membaca fatihah dua kali.
Sekali dia baca selepas doa iftitah kemudian selepas surah dia membacanya lagi kerana dia sangka belum membacanya?
JAWAPAN:
Membaca fatihah adalah rukun sembahyang yang tidak sah sembahyang jika tidak membacanya walau pun dengan tidak disengajakan.
Yang diwajibkan membacanya ialah sekali sahaja pada setiap rakaat.
Jika seorang membacanya dua kali atau lebih nescaya tidak membatalkan sembahyang tetapi perbuatannya itu tidak disuruh.
Tersebut pada Kitab Tanwirul Qulub:
وَأَمَّا لَوْ كَرَّرَ رُكْنًا قَوْلِيًّا غَيْرَ تَكْبِيْرَةِ الإِحْرَامِ كَفَاتِحَةٍ وَ تَشَهُّدٍ فَلاَ تَبْطُلُ صَلاَتُهُ
Artinya: “Dan ada pun jikalau seorang mengulangi akan rukun qauli selain takbiratulihram seperti mengulangi fatihah dan tasyahud maka tidak batal solatnya.”
Dan kata Imam Nawawi:
فإن قرأ الفاتحة مرتين سهوا لم يضر ، وإن تعمد فوجهان الصحيح المنصوص لا تبطل ; لأنه لا يخل بصورة الصلاة ….. وكذا لو كرر التشهد الآخر والصلاة على رسول الله صلى الله عليه وسلم عمدا لا تبطل ; لما ذكرناه ، قال المتولي وغيره : وإذا كرر الفاتحة – وقلنا : لا تبطل صلاته.
Artinya: “Maka jika seorang membaca fatihah dua kali sebab lupa nescaya tidak memberi mudarat. Dan jika disengajakan maka ada dua pendapat bermula pendapt yang sahih yang dinaskan tidak membatalkan dari kerana bahawasanya ia tidak mencederakan rupa semabahyang.
Dan demikian juga kalau seorang mengulangi tasyahud akhir dan selawat atas Nabi saw secara sengaja adalah tidak membatalkan kerana barang yang telah kami sebutnya.
Berkata Imam Mutawali dan lainnya : Apabila seorang mengulangi fatihah maka kami berkata dengan tidak batal sembahyangnya.” (Kitab Al-Majmu’)
Kesimpulannya diwajibkan membaca fatihah pada setiap rakaat sekali sahaja.
Jika seorang mengulangi membacanya dalam rakaat yang telah dibacakan akan fatihah nescaya sembahyangnya tidaklah batal.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus