Hadith Dengki Memakan Pahala Kebajikan

Hadith Dengki Memakan Pahala Kebajikan

SOALAN:

Berkenaan sebuah hadith yang menyebut sifat hasad dengkit itu menyebabkan amalan baik kita hangus adakah hadith tersebut sohih?

Dan apakah maksud hadith itu amalan kita akan hangus kalau kita hasad dengki?

JAWAPAN:

Hadith berkenaan ada diriwayatkan oleh ramai ulamak hadith di antaranya hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi saw telah bersabda:

إيَّاكم والحَسَدَ؛ فإنَّ الحَسَدَ يأكُلُ الحسَناتِ كما تأكُلُ النَّارُ الحَطَبَ

Artinya: “Takutlah kamu sekelian akan hasad maka sungguhnya hasad itu memakan akan segala kebajikan seperti mana memakan oleh api akan kayu yang kering.”

Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Abu Daud dengan sanad yang sahih atau hasan di dalam Sunan Abi Daud.

Dan diriwayatkan juga oleh Imam Al-Munzhiri dengan sanad yang sahih atau hasan di dalam kitab At-Traghib Wa At-Tarhib dan oleh Imam As-Suyuthi di dalam kitab Jami’u As-Saghir dengan sanad yang sahih.

Dan terdapat pada riwayat yang lain daripada Anas r.a. Rasulullah saw bersabda:

الحسدُ يأكلُ الحسَناتِ، كما تأكلُ النَّارُ الحطبَ

Artinya: “Bermula hasad itu memakan ia akan segala kebaikkan seperti memakan api akan kayu yang kering.”
(Hadith riwayat Ibnu Asakir dengan sanad hasan gharib dan ada dikeluarkan juga oleh Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

Ada pun pengertian hadith ialah:

إياكم والحسد ) أي : في مال أو جاه دنيوي ، فإنه مذموم بخلاف الغبطة في الأمر الأخروي ( فإن الحسد ) أي : باعتبار ما ينتج في حق المحسود من ارتكاب السيئات ( يأكل الحسنات ) : أي يفني ويذهب طاعات الحاسد ( كما تأكل النار الحطب ) . لأن الحسد يفضي بصاحبه إلى اغتياب المحسود ونحوه ، فيذهب حسناته في عرض ذلك المحسود ، فيزيد المحسود نعمة على نعمة ، والحاسد حسرة على حسرة

Artinya: “Hendaklah kamu sekelian menjauhi sifat hasad dengki yakni pada harta benda atau kemuliaan duniawi maka sungguhnya hasad itu dicela. Bersalahan dengan ghibthoh (ingin melakukan juga kebaikkan apabila melihat orang lain perbuat) pada perkara akhirat. Maka sungguhnya hasad dengki itu dilihat pada kesudahan orang yang dihasadkan daripada mengerjakan segala yang keji. Memakan hasad akan kebaikkan artinya sifat hasad dengki itu merosakkan dan menghilangkan kebaikkan orang yang dengki seperti mana menghanguskan oleh api akan kayu yang kering dari kerana bahawasanya hasad dengki itu mengheret pelakunya kepada mengumpat akan yang dihasad dan seumpamanya. Maka pergilah segala amalan baiknya kepada orang yang dihasadnya itu maka jadilah yang dihasad itu bertambah nikmat atas nikmat dan yang dengki itu pula rugi di atas rugi.”

Kesimpulannya status hadith tersebut adalah hasan atau sahih sekali pun ada diriwayatkan pada jalur lain yang berstatus dhaif.

Wallahua’lam

Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab