Lantikan ADUN PAS Sabah: Kebijaksanaan PAS Dan Kesetiakawanan BERSATU/UMNO Terbukti, Kebimbangan Kristian Terhenti

Lantikan ADUN PAS Sabah: Kebijaksanaan PAS Dan Kesetiakawanan BERSATU/UMNO Terbukti, Kebimbangan Kristian Terhenti

Seronok juga sebenarnya melihat pihak-pihak yang sebelum ini begitu beria-ia menentang lantikan wakil PAS sebagai ADUN Sabah kini terpaksa menekan gear brek, malah memuji pula wakil PAS, setelah lantikan ini dibuat.

Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan, umpamanya kini menyebut mengenai betapa “lantikan ADUN-ADUN lantikan adalah prerogatif Ketua Menteri”, betapa “ahli-ahli STAR dan masyarakat awam hendaklah bertenang dan tidak menjawab segala cabaran dan kejian yang dilontarkan oleh pembangkang” dan betapa “Dr Aliakbar Gulasan, sebagai seorang Sabah, boleh merasai denyut nadi Sabah”.

Begitu juga dengan Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili, yang kini menyebut mengenai betapa PBS “berharap dapat bekerjasama dengan wakil PAS yang mempunyai latar belakang akademik yang baik dan berasal dari Tenom” dan betapa beliau “yakin Dr Aliakbar Gulasan akan berusaha untuk menyangkal segala perkara dan persepsi orang ramai yang berbeza mengenai PAS di Sabah”.

Pihak-pihak ini sebenarnya tidaklah berani mana pun untuk mengambil tindakan drastik seperti menarik balik sokongan mereka kepada GRS dan bersekutu dengan pihak-pihak lain, malah nasib malang yang menimpa UPKO dalam PRN Sabah 2020 sudah cukup terang sebagai amaran kepada sesiapa sahaja yang mahu khianat dan berpaling tadah, hanyasanya pihak kita sahaja yang terlebih bimbang menggunakan hak kita.

Tentulah nada lembut STAR dan PBS ini akan sangat mengecewakan pihak-pihak yang mahu melihat GRS berantakan semata-mata kerana mereka mahu menghalang PAS daripada mempunyai wakilnya dalam DUN Sabah.

Selain Majlis Gereja-Gereja Sabah (SCC), pihak yang paling lantang dalam hal ini ialah pemimpin Kristian DAP, Jannie Lasimbang, yang juga Ketua Wanita DAP Sabah dan ADUN Kapayan.

Jannie Lasimbang inilah yang cuba menakut-nakutkan rakyat Sabah dengan menulis di Facebook pada 30 September 2020 “Masa depan Orang Asal memang gelap kalaulah betul PAS akan menyandang Menteri Undang-Undang & Hal Ehwal Anak Negeri Sabah” dan beliau jugalah yang mendakwa pada 1 Oktober 2020 bahawa ADUN PAS “akan mengakhiri keharmonian agama dan etnik yang dinikmati dan dipupuk oleh orang-orang di Sabah”.

Jannie Lasimbang inilah juga yang semalam mencabar STAR dan PBS supaya menarik diri daripada GRS setelah gagal menyekat kemasukan PAS ke dalam pemerintahan GRS di atas alasan kononnya “penyokong dua STAR dan PBS tidak akan bersetuju untuk membenarkan PAS, sebuah parti Islam, menjadi Ahli DUN” (“Supporters of both STAR and PBS would not have agreed to allowing PAS, an Islamist party, to be a member of the DUN”).

Inilah yang selama ini saya sering tekankan mengenai sikap pemimpin DAP, iaitu mereka tidak akan teragak-agak untuk menggunakan isu-isu agama demi kepentingan pihak mereka, walaupun dalam Perlembagaan DAP cukup jelas dinyatakan bahawa perjuangan DAP adalah untuk menegakkan sebuah negara sekular yang, tetapi pada masa yang sama akan segera menyergah mana-mana pihak lain daripada menggunakan isu-isu agama.

Apa pun, sekalung tahniah perlu diucapkan kepada PAS Pusat dan PAS Sabah di atas kebijaksanaan mereka berpolitik, khususnya di dalam mencalonkan satu nama kukuh yang sukar dipersoalkan sebagai ADUN sulungnya di Sabah, begitu juga kepada BERSATU dan UMNO selaku dua buah parti dominan di dalam GRS, khususnya kepada Ketua Menteri Sabah, atas semangat setiakawan mereka kepada PAS dalam perkara ini.

Kamarul Yusoff

Isu Semasa