Menurut seorang sarjana antropologi yang mengkaji sikap politik orang Melayu, Prof C. Kessler (1978), di dalam tulisannya, Islam and Politics in Malay State – Kelantan 1838-1969, bahawa:
“Tujuan utama orang Melayu memasuki Umno kerana nafsu, manakala tujuan utama orang Melayu memasuki PAS pula adalah kerana akal” (Kessler, 1978: 188).
Politik PAS
Daripada rumusan ini, kita dapat menyimpulkan bahawa perjuangan PAS yang berasaskan Islam dengan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan tertingginya telah diterima, disokong dan didukung oleh orang-orang Melayu Islam yang membuat pertimbangan dengan ilmu dan akal.
Mereka memilih PAS kerana secara ilmu, manusia perlu tunduk, patuh dan taat, menyerah diri kepada Allah.
Dan hal ini diakui oleh orang-orang yang berakal.
Lantaran itu, kita dapati perjuangan PAS lebih kukuh dan stabil.
Mereka istiqamah di atas landasan Islam di bawah pimpinan ulamak.
Sejak 1980, PAS hampir tidak mengalami perpecahan kecuali kerana perbezaan pandangan terhadap strategi politik.
Perpecahan terakhir PAS berlaku pada 1983, kerana penyokong Datuk Mohd Asri Haji Muda tidak berpuas hati dengan tindakan disiplin yang di kenakan ke atas beberapa pemimpin PAS, lalu mereka menubuhkan HAMIM.
Pada 1988, apabila PAS mengambil strategi mengadakan kerjasama politik dengan serpihan Umno, Semangat 46, ada bangkangan dari ahli PAS di Kelantan, Parit Buntar dan Kuala Selangor.
Di Kelantan, pembantah ini menamakan kelompok mereka sebagai Kumpulan Islah atau PAS 51.
Sejumlah kecil sahaja yang bersama mereka.
Pada 1995, sekumpulan kecil ahli PAS di Kelantan menubuhkan AKIM, kerana tidak bersetuju dengan strategi Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam perlaksanaan syariat.
Seperti mana HAMIM dan Kumpulan Islah, AKIM juga tidak mendapat sokongan dan akhirnya dinamakan sebagai KITA setelah ‘dibeli’ oleh bekas pemimpin Umno, Zaid Ibrahim pada 2010.
Pada 2015, sekumpulan pimpinan PAS yang pro DAP telah keluar dari PAS, membentuk PAN.
Mereka tidak bersetuju PAS meminggirkan diri dari Pakatan Rakyat.
Kini, PAN adalah minoriti yang dilihat sebagai ‘khadam DAP’ oleh pemerhati politik dari kalangan rakyat.
Di sudut yang lain, PAS sejak 1980, setelah terasasnya Kepemimpinan Ulamak telah melangkah ke hadapan dalam membawa agenda politik Islam.
Pengaruh PAS telah meningkat dengan mendadak dalam tempoh 40 tahun (1980-2020), sehingga ia muncul sebagai pemain utama di pentas politik negara.
PAS tidak pernah disabitkan dengan kesalahan seperti penyelewengan, rasuah, politik wang atau salah laku yang lain.
PAS hanya dituduh secara liar sebagai pendukung politik ekstrem, pemecah belah bangsa, anti pembangunan dan seumpamanya, tanpa sebarang bukti.
PAS melangkah gagah dengan peningkatan pengaruh undi popular dan pertambahan kerusi di Parlimen.
PAS turut menguasai kerajaan Kelantan (1990-2020), Terengganu (1999-2004 dan 2018-2020) dan Kedah (2008-2013 dan 2020), selain pernah menjadi kerajaan di Perak (2008-2009) dan Selangor (2008-2018).
Kini PAS turut menjadi anggota Kerajaan Pusat.
Rata-rata pemerhati melihat PAS sebagai pencatur politik yang sangat signifikan sekarang ini.
Langkahan politik PAS melalui kerjasama yang dibentuk telah menjadikan PAS parti yang berpengaruh.
PAS yang membina kerjasama dengan HAK (1986), APU (1988-1996), BA (1999-2008), PR (2008-2015), GS (2018), MN (2019-2020) dan PN (2020).
PAS turut membina hubungan dengan orang bukan Islam melalui CCC (1985-1986), sebelum ditubuhkan KPP (2003-2010) dan DHPP (2010-2020).
Ternyata asas ilmu dan akal yang ada pada ahli PAS telah membolehkan parti ini terus maju ke hadapan dalam politik negara hari ini.
Politik Umno
Analisis Kessler terhadap politik Umno juga menarik, kerana dikatakan orang Melayu menyertai parti ini berasaskan nafsu.
Nafsu kebendaan dan pangkat telah menjadi imej parti ini sejak era Dr Mahathir Mohamed (sejak 1981).
Sepanjang empat dekad, Umno terpalit dengan skandal dan penyelewengan, bermula dengan skandal BMf, Bank Negara hinggalah 1MDB.
Bekas-bekas pemimpin Umno mendedahkan sendiri seluruh penyelewengan tersebut, setiap kali mereka tersingkir dari kepemimpinan parti.
Kestabilan organisasi Umno juga telah merosot dengan teruk, tetapi mereka bertahan atas kedudukan sebagai menjadi parti pemerintah.
Umno diharamkan pada 1988 selepas perebutan jawatan tertinggi.
Sebelum itu, Musa Hitam telah tersingkir, diikuti oleh Tengku Razaliegh (Ku Li).
Pada gilirannya, Ghafar Baba pula tersingkir, sebelum Anwar Ibrahim dipecat.
Abdullah Badawi, Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan Zahid Hamidi turut menjadi mangsa perebutan jawatan pada era masing-masing.
Lantaran itu, kita melihat Umno mengalami perpecahan politik yang sangat teruk, sehingga pengaruh Umno menjadi hampir lumpuh pada hari ini.
Nah! Lihat sahaja siri-siri perpecahan Umno:
I. 1988: Umno diharamkan. Dr Mahathir menubuhkan Umno (Baru) dan Ku Li menubuhkan Semangat 46.
II. 1999: Penyokong Anwar Ibrahim menubuhkan PKN.
III. Pada 2004, mereka bergabung dengan PRM, membentuk PKR.
IV. 2011: Bekas menteri Umno, Zaid Ibrahim membawa penyokongnya menyertai KITA yang ‘dibeli’ dari AKIM, setelah dia keluar dari Umno dan PKR.
V. 2012: Bekas menteri Umno, Abdul Kadir Sheikh Fadzil menubuhkan parti IKATAN, setelah keluar dari parti itu.
VI. 2015: Bekas Presiden Umno, Tun Mahathir bersama Muhyiddin Yassin, bekas Timbalan Presiden Umno menubuhkan BERSATU.
Parti ini bekerjasama dengan PH untuk menumbangkan Umno pada 2018.
VII. 2016: Bekas menteri Umno, Shafie Apdal telah menubuhkan parti WARISAN di Sabah sebagai sekutu BERSATU.
VIII. 2019: Bekas pemimpin Umno, Ibrahim Ali dan Khalid Yunus menubuhkan PUTRA, sebuah parti ekstrem Melayu.
IX. 2020: BERSATU telah berpecah tiga. Penyokong Tun Mahathir membentuk Pejuang, penyokong Syed Saddiq Abdul Rahman, bekas menteri menubuhkan MUDA, sedang Muhyiddin Yassin menguasai BERSATU.
X. Dalam pergolakan politik terkini, Umno dikatakan mempunyai tujuh kumpulan, yang saling terlibat dalam power struggle, sama ada menyokong PN atau PH atau berkecuali.
Dengan tidak menolak sumbangan Umno terhadap pembangunan dan kemajuan negara dalam tempoh 40 tahun terakhir ini, ternyata pimpinan dan ahli Umno pada hakikatnya bersaing untuk mendapatkan pengaruh bagi mengekalkan ‘kuasa’ dan ‘kekayaan,’ sehingga mereka berebut sesama sendiri dan akhirnya menjadikan perjuangan Umno semakin mereput.
Langkahan politik terbaru Umno untuk mengkaji sokongan mereka kepada PN merupakan terjemahan terhadap persaingan dan perpuakan di dalam parti tersebut.
Pendirian rakyat masa kini: PAS atau Umno?
Perkembangan politik orang Melayu menjadi semakin menarik pasca PRU 14.
Kekalahan Umno telah membuka ruang kepada kerjasama politik untuk menyatukan orang Melayu.
Hasilnya, terbentuk Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2020.
PAS menyusun strategi untuk menyatukan orang Melayu, termasuk BERSATU, serpihan Umno.
Tetapi sejak PRN Sabah, kelihatan Umno dan BERSATU bersaing semula untuk menjadi ‘big brother’ di dalam pakatan politik ini.
Umno dan BERSATU adalah berasal dari ‘root’ yang sama.
Sedangkan PAS mendukung Islam.
Dalam tindakan politik terbaru Umno, mungkin BERSATU akan ‘terbunuh,’ tetapi belum tentu Umno dapat membuatkan PAS juga ‘kehilangan nyawa.’
Rakyat teramai melihat, imej Umno kini semakin pulih kerana kerjasama mereka dengan PAS di bawah MN.
Keyakinan rakyat terhadap Umno begitu rendah, sebelum pembentukan MN.
Jika Umno membuat onar kali ini, mungkin Umno yang akan ‘terbunuh.’ pemimpin mereka mungkin berpecah, menubuhkan parti masing-masing seperti di Sabah, lalu Umno ‘terkubur.’
Rakyat sudah pasti mempunyai sikap dalam hal ini.
Sebagai rakyat yang matang, berilmu dan berakal, orang Melayu boleh menilai sesudah 40 tahun berlalu.
Adakah orang Melayu masih mahu hanya memenuhkan tembolok dan rakus merebut kuasa sahaja, lalu terus mendukung Umno.
Atau orang Melayu akan berfikir dengan akal yang waras tentang masa depan agama, bangsa dan negara, lalu mempertinbangkan peranan PAS selama ini.
Adakah pergerakan politik berasaskan al-Quran dan Sunnah belum cukup meyakinan orang Melayu bagi membina masa depan mereka?
Orang Melayu mesti memilih dengan tepat kali ini, jika Umno, PKR, PAN dan parti-parti lain memilih untuk ‘membuat onar!’
Mohd Fadli Ghani