Konflik politik orang Melayu Islam nampaknya semakin membarah. Parti-parti politik orang Melayu semakin banyak bercambah.
Ia kelihatan positif kerana meraikan demokrasi dan kebebasan berpersatuan.
Tetapi positifnya seperti positif Covid 19, positif mengundang bala besar, iaitu perpecahan dan keruntuhan kuasa politik orang Melayu Islam pada masa akan datang.
Orang Melayu bukan baru sekarang ini mempunyai banyak parti politik, tetapi telah lama berlaku sejak 1940-an.
Namun, pada ketika dahulu orang Melayu menubuhkan parti dan berjuang kerana mendukung sesuatu agenda perjuangan yang disebut ideologi atau isme.
Secara asasnya, ideologi perjuangan orang Melayu ada tiga, iaitu:
I. Kebangsaan Melayu sekular yang diwakili oleh Umno dan Parti Negara (PN).
II. Kebangsaan Melayu kiri (sosialis) yang diwakili oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Rakyat Malaya (PRM), Parti Perhimpunan Kebangsaan (NCP) dan Parti Melayu Semenanjung (PMS).
III. Islam yang diwakili oleh Hizbul Muslimin dan PAS.
Ketiga-tiga aliran politik Melayu ini bergerak di atas semangat perjuangan yang berasaskan ideologi yang menjadi dasar dan pedoman perjuangan mereka masing-masing.
PAS sendiri sejak awal penubuhannya telah meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan.
Al-Quran dan Sunnah menjadi pemandu dasar ini.
Banyak sekali tulisan-tulisan pimpinan PAS yang menggariskan dasar perjuangan PAS.
Saya sendiri menyimpan satu manuskrip tulisan Prof Dr Burhanuddin al-Helmy, bekas Yang Dipertua Agung PAS bertajuk ‘Pedoman Perjuangan PAS.’
Kerana PAS bergerak mengikut pedoman inilah, PAS boleh terus melangkah untuk mengukuhkan tapak pergerakan mereka, sehingga menjadi semakin dominan hari ini.
Persoalan yang ada di hadapan kita hari ini ialah, adakah parti-parti Melayu yang ditubuhkan sekarang ini berasaskan pedoman perjuangan atau bertolak dari sejumlah sentimen sempit yang memualkan?
Lalu berakibat daripada itu, politik orang Melayu semakin melemah dan perpecahan menjadi semakin parah.
Persaingan dan pergolakan bukan lagi untuk menegakkan wawasan perjuangan, tetapi untuk melonjakkan politik peribadi semata-mata.
Nah! Mari kita lihat parti-parti Melayu yang tumbuh selepas 1980 di negara kita.
Apakah hala tuju perjuangan mereka.
Adakah kerana pedoman perjuangan atau membawa agenda sempit untuk memenuhi tembolok politik mereka sahaja.
I. UMNO (Baru) ~ ditubuhkan pada 1988 oleh Dr Mahathir Mohamad selepas Umno (Lama) diharamkan.
Ia tertubuh kerana perebutan jawatan antara Mahathir dan Ku Li (Tengku Razaliegh).
Mahathir menubuhkan parti baru untuk mengukuhkan kembali kedudukannya di dalam sebuah parti tanpa pengikut Ku Li.
Hasilnya, Mahathir dapat berkuasa sehingga 2003.
II. Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) ~ asalnya ditubuhkan dengan nama Semangat 46 oleh pengikut Ku Li pada 1988, kononnya untuk menghidupkan semula Umno (Lama).
Ku Li mempunyai sasaran untuk menjadi Perdana Menteri, lalu menyertai Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1989 yang menggabungkan parti-parti Melayu.
PMS46 juga menyertai gabungan Gagasan Rakyat (GR) yang dianggotai oleh parti-parti bukan Melayu termasuk DAP dan PBS.
Dalam Pilihan Raya Umum Kelapan pada 1990, Ku Li gagal mencapai cita-cita politiknya.
Pengaruhnya mengendur, hubungan dengan PAS menjadi keruh.
Setelah menyedari rencana politiknya gagal, pada 1996, Ku Li membubarkan PMS46 dan beliau menyertai Umno (Baru).
III. Parti Keadilan Rakyat (PKR) ~ parti ini asalnya ditubuhkan pada 1999, selepas Anwar Ibrahim dipecat dari Umno pada September 1998.
Pada mulanya mereka menubuhkan Pergerakan Keadilan Sosial (ADIL) untuk menggerakkan Reformasi Anwar Ibrahim.
Pada 1999, mereka membentuk parti politik dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional (PKN).
Selepas kalah dalam PRU 2004, PKN bergabung dengan PRM membentuk PKR.
Agenda mereka sejak 1999 ialah untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, tetapi masih gagal.
III. Parti-parti KITA, IKATAN dan PUTRA ~ tiga buah parti yang menyerpih dari Umno ini adalah diasas dan dipimpin oleh bekas-bekas pemimpin Umno, iaitu masing-masing Zaid Ibrahim, Abdul Kadir Sheikh Fadzil dan Ibrahim Ali.
Di kalangan mereka, yang setia dengan Umno ialah Abdul Kadir, bekas seorang menteri.
Tetapi kerana kecewa dengan sikap pemimpin Umno, beliau menubuhkan IKATAN.
Zaid Ibrahim, juga seorang bekas menteri yang terkenal kerana pemikiran liberalnya.
Dia meninggalkan Umno kerana kecewa dengan Pak Lah, kemudian menyertai PKR, sebelum ‘membeli’ Parti AKIM dan menamakannya sebagai KITA.
Ibrahim Ali pula asalnya pemimpin Berjasa, kemudian menyertai Umno.
Pada 1988, beliau menyertai kem Ku Li dan menjadi pemimpin PMS46, tetapi selepas Ku Li gagal menjadi Perdana Menteri, pada 1991 dia menyertai semula Umno dan pernah menjadi Timbalan Menteri.
Dia tersingkir dari Umno pada zaman Pak Lah, lalu menubuhkan PERKASA.
Pada 2008, dia bertanding di atas tiket PAS, tetapi menjadi wakil Bebas di Parlimen.
Kemudian dari PERKASA itu, dia menubuhkan PUTRA sebagai tapak politiknya.
IV. Parti-parti HAMIM, IKATAN dan AKIM ~ merupakan parti-parti serpihan berkait dengan PAS yang muncul kerana pergolakan dalaman.
Parti-parti ini masing-masing dipimpin oleh Mohd Asri Haji Muda, Abdul Wahab Yunus dan Musa Salleh.
Mohd Asri menubuhkan HAMIM setelah dia dan pengikutnya dikenakan disiplin parti selepas krisis 1982.
Pada 1988, dia cuba membubarkan HAMIM dan menyertai Umno (Baru) kerana mendakwa Umno telah memenuhi aspirasi Islamisasinya.
Sedangkan Abdul Wahab Yunus menubuhkan Ikatan Masyarakat Islam Malaysia (IKATAN) pada 1988 sebagai serpihan HAMIM yang tidak bersetuju dengan Umno dan juga APU.
Parti ini ‘dijual’ kepada pengikut Anwar Ibrahim pada 1999 untuk dijadikan PKN.
Musa Salleh pula, kerana tidak berpuas hati dengan pergolakan politik lokal PAS di Kelantan telah menubuhkan AKIM.
Setelah dia meninggal dunia, parti ini ‘dijual’ kepada Zaid Ibrahim untuk dijadikan KITA.
V. BERSATU ~ ditubuhkan setelah Tun Mahathir bergeser dengan Najib Razak.
Tindakan Najib Razak memecat Muhyiddin Yassin menjadi kesempatan.
Muhyiddin Yassin mempunyai agenda untuk menjadi Perdana Menteri, sedangkan Tun Mahathir mahu menaikkan anaknya, Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri.
Akhirnya, Tun Mahathir dapat menjadi Perdana Menteri lagi melalui Bersatu kerana pakatan dengan musuh politiknya, Anwar Ibrahim.
Setelah bergaduh dengan Anwar Ibrahim kerana berebut jawatan Perdana Menteri, Tun Mahathir meletak jawatan dan Kerajaan PH runtuh, lalu Bersatu pun berpecah.
VI. Warisan ~ parti dari Sabah ini adalah serpihan Umno Sabah, seperti parti Bersatu di Semenanjung.
Pada awalnya, ia mendukung agenda politik Tun Mahathir dalam Bersatu.
Tetapi setelah Tun Mahathir terkeluar dari Bersatu dan menyokong Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri, Warisan tidak lagi mendukung Bersatu.
VII. Parti Amanah Negara (PAN) ~ ditubuhkan kerana sekumpulan pimpinan PAS yang pro DAP gagal menguasai parti itu pada 2015.
Pada awalnya mereka menubuhkan PASMA, tetapi selepas tewas pemilihan, Mohamad Sabu dan pengikutnya menubuhkan G18, sebelum menjadi GHB.
Mereka kemudiannya ‘membeli’ Parti Pekerja dan ditukar menjadi PAN.
Mereka tidak mempunyai agenda yang jelas, selain menjadi ‘khadam DAP.’
VIII. PEJUANG ~ ditubuhkan oleh Tun Mahathir pada 2020 selepas dia meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan terpecat dari Bersatu.
Parti ini berjuang untuk meletakkan Mukhriz Mahathir sebagai Perdana Menteri dan cuba menghalang Anwar Ibrahim ke jawatan tersebut.
Untuk menghalang Anwar Ibrahim, parti ini sanggup mencalonkan Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.
IX. MUDA ~ adalah parti Melayu paling muda dalam sejarah politik negara.
Ia ditaja oleh bekas menteri, Syed Saddiq dan memberi fokus untuk memperjuangkan agenda orang muda.
Dalam banyak keadaan, pemimpin parti ini dikatakan mendukung agenda Pejuang, tetapi berselindung di sebalik perjuangan orang muda.
Daripada belasan parti orang Melayu yang muncul selepas 1980, parti manakah yang membawa agenda perjuangan sebenar untuk orang Melayu?
Umno dan PMS46 pernah satu ketika mendakwa mereka berjuang untuk Melayu, tetapi ternyata untuk individu – sama ada Mahathir atau Ku Li.
PKR muncul dengan agenda reformasi dan keadilan, tetapi hakikatnya mereka hanya mahu menjadikan Anwar Ibrahim sebagai ketua kerajaan.
Parti-parti kecil yang berpecah dari Umno dan PAS seperti KITA, IKATAN (Umno), PUTRA, HAMIM, IKATAN (Hamim) dan AKIM adalah parti yang muncul kerana individu pemimpin yang tidak berpuas hati.
Begitu juga PAN, tertubuh kerana mereka tewas pemilihan.
Di tengah-tengah persaingan di antara Anwar Ibrahim (PKR), Shafie Apdal (Warisan) dan Muhyiddin Yassin (Bersatu) untuk menjadi Perdana Menteri, parti Pejuang ditubuhkan oleh Tun Mahathir untuk memasukkan Mukhriz Mahathir sebagai salah seorang bakal Perdana Menteri.
Di dalam Umno sendiri, kegagalan Ku Li mengatasi Mahathir pada 1988 telah membuatkan pemimpin veteran Umno itu cuba bersaing semula untuk jawatan Perdana Menteri ketika Anwar Ibrahim gigih menggugat Muhyiddin Yassin.
Apakah agenda mereka sebenarnya?
Adakah kerana ideologi perjuangan?
Adakah kerana membela kepentingan agama, bangsa dan nusa?
Adakah kerana membela hak dan kebajikan rakyat?
Atau kerana persaingan jawatan, pengaruh dan kuasa untuk peribadi dan kumpulan?
Hakikatnya, politik Malaysia, khususnya orang Melayu Islam menjadi cacamerba kerana pemimpin mereka tidak mempunyai pedoman perjuangan!
Mohd Fadli Fhani