Pilihanraya Negeri (PRN) Sabah mengajar kita bahawa persetujuan yang longgar, sikap tidak bertolak ansur, sifat keras hati dan tamak boleh membawa sengketa dan kesukaran dalam membentuk sebuah kerajaan negeri yang stabil.
Ditambah dengan tiadanya akta anti-lompatan, calon-calon yang memenangi pilihanraya yang tidak berpuas hati atau yang dijanjikan dengan habuan peribadi boleh terjerumus dalam jual-beli ahli-ahli politik yang berlawanan dengan kompas moral masyarakat.
Jadi, saya ingin memberi sedikit pandangan yang mungkin boleh merungkai kerumitan dalam pembahagian kerusi supaya semua parti gabungan boleh merasai unsur-unsur keadilan dan boleh bertolak ansur sekiranya ada sedikit perbezaan daripada apa yang dituntut.
Saya tidak mewakili mana-mana parti politik, sekadar ingin mengemukakan beberapa buah fikiran untuk renungan semua pimpinan UMNO, PAS dan PPBM dalam mencari kesepakatan yang adil.
Penyatuan Melayu Islam amatlah perlu buat masa ini, tanpanya, DAPlah yang akan memerintah dengan genre ala sosialis dengan mengenepikan hak-hak dan kepentingan kaum majoriti Melayu Islam yang kita sudah sedia maklum.
Adilnya, MN dan PN perlu meletakkan persefahaman diatas asas-asas yang kukuh, toleran dan dipersetujui oleh semua parti.
Ironinya, pada PRN Sabah, kepentingan peribadi atau parti nampaknya mengatasi kepentingan ugama, bangsa dan rakyat amnya.
Sukar sangatkah untuk kita orang Islam bermuafakat, berlapang dada dan bertolak ansur demi mencari titik persamaan untuk bersetuju mendapat kuasa memerintah bersama dalam membela kepentingan agama dan bangsa?
PRN Sabah memperlihatkan pertembungan sesama sendiri apabila persetujuan antara parti-parti dalam PN, BN, MN tidak tercapai.
Mungkin dasar-dasar pembahagian kerusi tidak jelas atau sukar dipersetujui bersama.
Mungkin juga asas-asas sudah ada tetapi pelanggaran tetap berlaku kerana adanya sikap tidak bertoleransi.
Pengajarannya, pertembungan sesama sendiri hanya merugikan umat Islam dan perlu dielakkan.
Tetapi bagaimana?
Inilah saranan saya serta rasionalisasinya.
Satu asas yang boleh diterima-pakai ialah pemilihan mengikut kekuatan yang dimiliki oleh sesuatu parti berdasarkan prestasi pada PRU 14.
Alasan menggunakan prestasi yang lalu sebagai kayu ukur adalah kerana ia adalah penanda aras yang adil dan universal.
Contoh:
1. Sekolah dan universiti menggunakan keputusan peperiksaan yang lepas untuk menentu jumlah biasiswa yang akan diberi.
2. Kelulusan temuduga kerja juga bergantung kepada prestasi atau keputusan akademik seseorang yang lepas.
3. Banyak atau sikitnya wang hadiah dalam sesuatu pertandingan sukan bergantung kepada ketinggian markah lepas yang diperolehi.
Justeru itu, banyak atau sikitnya bilangan kerusi DUN atau parlimen seadilnya perlu bergantung kepada prestasi sesebuah parti pada PRU yang lepas.
Carta di bawah ini menunjukkan kedudukan parti-parti berdasarkan data PRU 14 daripada Suruhanjaya Pilihaanraya (SPR).
KEKUATAN PARTI PRU 14 (Jumlah undi):
- UMNO 2,525,713
- DAP 2,098,068
- PKR 2,046,394
- PAS 2,032,080
- PPBM 718,648
- PAN 655,528
- MIC 167,061
- MCA 653,346
- GERAKAN 128,973
(rujukan: Election Commission of Malaysia/ SPR)
KEKUATAN MN/PN – PRU 14 (Jumlah kerusi):
- UMNO 134 53.6%
- PAS 90 36.0%
- PPBM 22 8.8%
- MCA 2 0.8%
- MIC 2 0.8%
- GERAK 0 0.0%
JUMLAH 250 100%
Carta di atas jelas menunjukkan UMNO mengungguli parti-parti lain dari segi undi terbanyak (2,525,713) dan kerusi parlimen terbanyak (54) dan kerusi DUN terbanyak (134).
Jadi seharusnyalah UMNO diberi kelebihan dari segi pembahagian kerusi dan keutamaan dalam memerintah sesuatu negeri seandainya MN/PN memperolehi kemenangan pada PRU 15.
Hatta, calon Perdana Menteri selayaknyalah datang daripada UMNO.
PAS merupakan komponen MN/PN kedua terkuat dengan 2,032,080 undi dan 18 kerusi parlimen dan 90 kerusi DUN.
Jadi, PAS selayaknya mendapat pembahagian yang setara dengan kekuatan nombor dua parti komponen PN.
Sekiranya ini tidak ditunaikan secara adil bersandar kekuatan PAS oleh jawatan kuasa pemilihan pilihanraya MN/PN, maka akan timbul ketidak-puasan hati parti PAS yang boleh menjejaskan undian pada PRU 15.
Parti PPBM menduduki tempat ketiga dengan 12 kerusi parlimen dan 22 kerusi DUN dan undian sebanyak 718,648 undi.
Maka parti PPBM juga berhak keatas sejumlah kerusi berdasarkan kekuatan kerusi mereka.
Inilah asas yang sepatutnya disepakati oleh semua komponen kerana ini adalah penanda aras yang adil dan popular.
Lompatan ahli parlimen UMNO ke PPBM selepas PRU 14 tidak boleh diambil kira kerana lompatan itu bukan kehendak pengundi.
Jadi adalah tidak adil kepada rakyat jika lompatan itu diambil kira.
Setelah asas ini diterima, elemen tolak ansur atas semangat setia kawan boleh juga di bincangkan dan dipersetujui bagi mengharmonikan dan mengukuhkan lagi keputusan yang bakal dibuat.
Unsur-unsur yang tidak adil perlu dielakkan.
Setiap permintaan ke atas bilangan kerusi perlu ada justifikasi supaya parti-parti lain boleh menilai alasan-alasan yang diberi.
Penolakan juga perlu kepada sandaran yang adil dan munasabah juga.
Contoh ketidak-adilan yang mungkin timbul sekiranya PPBM yang hanya memenangi 22 kerusi DUN tetapi mahu jumlah kerusi yang melebihi PAS yang memenangi 90 kerusi DUN.
Sesiapa pun akan melihat ini sebagai sesuatu yang tidak adil kepada PAS.
Contoh lain, PPBM mahu kekalkan jawatan PM untuk PPBM.
Kalau ikut ukuran universal, UMNOlah yang dikira paling layak, kerana memiliki kerusi terbanyak.
PPBM tidak mempunyai justifikasi yang kuat untuk meminta jawatan PM, sebaliknya UMNOlah mempunyai justifikasi yang kuat untuk memiliki jawatan itu.
Beralasan yang sama, PAS mempunyai justifikasi yang kuat dan adil sekira meminta pembahagian kerusi yang lebih (daripada komponen yang lain) di Kedah, Kelantan, dan Terengganu berdasarkan kekuatan PAS yang berjaya memerintah 3 negeri itu selepas memenangi pada PRU 14.
Kekuatan PAS di 3 negeri ini lebih manis kerana PAS bertanding secara solo, sedangkan UMNO disokong oleh undi MCA, MIC dan GERAKAN, sementara PPBM pula ditolong oleh undi PKR, DAP dan PAN.
Dan adalah tidak adil sekiranya UMNO dan PPBM mempertikai kelayakan PAS dalam mengekalkan kerusi dan pemerintahan PAS di 3 negeri ini, seandainya menang pada PRU 15 nanti.
Kalaulah di 3 negeri ini, PAS tidak layak memerintah, habis di negeri mana lagi yang PAS patut memerintah?
Di Perak, Selangor, Johor, Melaka?
Itu bukan negeri kekuatan PAS, kenapa hendak diberikan kepada PAS?
Adalah lojik dan adil, PAS diberi memerintah di negeri yang PAS ada kekuatan.
Kalau diberi negeri yang PAS tidak ada kekuatan bermakna meletak sesuatu bukan ditempatnya.
Dan meletak sesuatu bukan pada tempatnya adalah satu bentuk kezaliman.
Dibawah ini adalah prestasi parti dalam PRU 14 di peringkat DUN.
DUN UMNO-PBM-PKR-PAS
- Johor [56] 17 – 8 – 5 – 1 ☆ UMNO
- Kedah [36] 3 – 5 – 8 – 15 ☆ PAS
- Kelantan [45] 8 – 0 – 0 – 37 ☆ PAS
- Melaka [28] 13 – 2 – 3 – 0 ☆ UMNO
- Negri S. [36] 16 – 0 – 7 – 0 ☆ UMNO
- Pahang [42] 25 – 0 – 2 – 8 ☆ UMNO
- Penang [40] 2 – 2 – 14 – 1 ☆ PBM
- Perak [59] 27 – 1 – 4 – 3 ☆ UMNO
- Perlis [15] 9 – 0 – 3 – 2 ☆ UMNO
- Selangor [56] 4 – 4 – 28 – 1 ☆ PBM
- T-ganu [32] 10 – 0 – 0 – 22 ☆ PAS
JUMLAH 134 – 22 – 74 – 90
Berdasarkan prestasi parti-parti pada PRU 14, peringkat DUN pula, UMNO selayaknyalah memenangi dan memerintah 6 negeri, Johor, Perlis, Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Perak.
Sementara PPBM boleh berusaha untuk mengambil balik Selangor dan Pulau Pinang daripada PH dengan pertolongan yang padu daripada UMNO dan PAS.
Dalam kajian saya yang lepas, Selangor boleh dirampas daripada PH dengan syarat sentimen anti PH berterusan dengan semangat permuafakatan UMNO, PAS, dan PPBM kukuh.
PPBM juga boleh meminta ehsan setia kawan daripada UMNO untuk menerajui satu negeri lagi seperti Melaka atau Negeri Sembilan.
Akhirnya, saya rasa tidaklah keterlaluan kalau PAS terus diberi kepercayaan oleh MN/PN untuk mengekalkan pemerintahan mereka di Kedah, Kelantan, Terengganu.
Apa pun, saya menjangkakan satu mekanisme yang adil akan diguna-pakai oleh jawatan kuasa pilihanraya PN dalam menguruskan pembahagian kerusi secara adil dan saksama.
Ini perlu untuk mengelak ketegangan dan ketidak-adilan seperti yang berlaku pada PRN di Sabah baru-baru ini.
Kajian saya yang lepas mendapati UMNO, PAS, dan PPBM boleh memenangi antara 128 hingga 160 sekiranya semua parti bersetuju dan berpuas hati dengan pembahagian kerusi dan bertekad mengembalikan kekuatan politik Melayu Islam ke pesada yang sepatutnya.
Dr Muslim
Nota: Adalah lebih baik bergaduh dahulu sebelum mengundi dalam mencari titik kesefahaman supaya akhirnya semua pihak berpuas hati dengan keputusan yang diambil, daripada mengambil ringan dan tidak bersungguh dalam mencari kesepakatan bersama, dimana akhirnya timbul persengketaan dan perpecahan selepas pilihanraya. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili mana-mana pemimpin atau mana-mana parti politik.