Perutusan Perdana Menteri Dan Kebijaksanaan Emosi

Perutusan Perdana Menteri Dan Kebijaksanaan Emosi

Wah, saya fikir memang sungguh hebat perutusan Perdana Menteri semasa mengumumkan keperluan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana Wabak Covid-19.

Sarat dengan Kebijaksanaan Emosi atau ‘Emotional Intelligence (EQ)’.

Tan Sri Muhyiddin Yassin bermula dengan bertanya ‘apa khabar’; ia satu sapaan yang sangat mesra sekali dan terasa mendekatkan hati.

Seterusnya didahulukan pula dengan pujian.

“Wah! Rakyat Malaysia 90 peratus membanggakan melaksanakan arahan.”

Beliau melayarkan bayangan visual yang menenangkan; tentang jalan-jalan raya yang lengang, dan ramai yang di rumah duduk diam-diam.

Kemudian barulah dimasukkan sedikit teguran, ‘hanya ada beberapa insiden kecil pelanggaran perintah ini di sana-sini’ katanya.

Tindakannya, abang-abang polis akan membantu anda sekalian.

Yang positif diganda-gandakan.

Yang negatif tetap disebut tapi tidak diperbesarkan.

Mesej beliau jelas dan telus, tentang mengapa PKP diperlukan untuk mengawal jangkitan Covid-19.

Tegas dalam lembut, dan lagi dan lagi diselang-selikan penghargaan.

‘Terima kasih kepada saudara-saudari sekalian yang rata-ratanya mempunyai kesedaran…’

Lebih menarik, bila ujarnya dia ‘tahu bukan mudah lama-lama duduk di rumah’.

Dia prihatin ‘pastinya banyak cabaran yang saudara-saudari hadapi pada masa ini’.

Ini umpama satu pujukan buat rakyat yang resah.

Inilah yang dinamakan EMPATI, satu kemahiran penting dalam kebijaksanaan emosi.

Bila kita mampu merasai apa yang dirasai oleh orang lain seolah-olah kita di tempat mereka.

Bila mampu menghayati apa yang rakyat lalui.

Mampu mengiktiraf susah dan bukannya mudah.

Tidak memandang kecil cabaran bila sekelip mata hidup berubah.

Bayangkan memang keadaan akan sangat berbeza jika tiada empati.

Ucapan-ucapan seperti ini boleh terjadi: ‘ala apa susah sangat duduk di rumah’, ‘duduk rumah aje kot, bukan suruh pergi berperang’, ‘kalau rasa susah sangat duduk di rumah, cuba datang jadi frontliners’ ‘janganlah risau…’‘tak perlu susah hati..’

Mengenepikan emosi, memperkecil-kecilkan kesusahan atau terlalu cepat memberi nasihat tanpa mendengar rintihan seseorang adalah ucapan orang yang kurang empati, kurang kasih sayang.

Apabila empati dinyatakan seawal ucapan, rakyat merasakan kesukaran masing-masing didengari.

Dan selepas itu Perdana Menteri memuji lagi, berdasarkan pemerhatiannya di FB.

(Wah, sibuk-sibuk begini sempat juga PM berFB. Tapi begitulah, jika dulu khalifah perlu merayau-rayau ke seluruh kota, untungnya pemimpin sekarang mereka boleh merayau-rayau di dalam FB, untuk melihat suka-duka rakyat jelata)

Empati ini, satu seni kebijaksanaan emosi, yang sangat-sangat diperlukan oleh setiap orang, seperti perlunya kita kepada topeng muka dan sanitizer sekarang.

Bila semua orang berinteraksi penuh empati, pasti yang susah pun jadi senang.

Lebih cemerlang lagi apabila beliau sempat berkongsi cerita, beliau seperti kita juga merasa rindunya seorang atuk kepada cucu.

Samalah seperti kita rindu kepada mak, abah dan adik-beradik yang jauh di desa.

Rindu anak, suami atau isteri dan juga nenda jauh di mata.

Perkongsian sebegini sebenarnya adalah satu penyataan empati tahap lebih tinggi, tahap mampu menyatakan ‘aku benar-benar faham apa yang kalian lalui’ dan empati ini hanya boleh dikongsikan di kalangan orang-orang yang melalui pengalaman yang serupa.

Ia membawa kepada perasaan yang kita berada di sini bersama-sama.

“We are in this together.”

Seterusnya memang sungguh menawan hati bila beliau dapat memuji dan menasihat, semuanya berlaku dalam satu ayat.

“Isteri memasak, suami mengimami solat.”

Adil mengambil hati ketua keluarga dan para isteri, keduanya sama dihargai.

Selepas kata-kata penuh empati dan memuji, beliau memberi kata-kata semangat dan motivasi.

‘Apabila keadaan menjadi sukar, hanya yang tabah akan dapat mengharungi’.

Sudah tentu, semua orang ingin membuktikan mereka adalah sebahagian ‘yang tabah’ itu.

Sifat manusia, kita dijadikan ada daya melantun ke atas kembali, walau kita jatuh ke bawah kuat sekali, dan ini dipanggil ‘resilience’ iaitu daya tahan atau daya untuk bingkas bangun dalam apapun keadaan.

Sungguh hebat.

Sungguh hebat perutusan Perdana Menteri.

Sarat dengan kebijaksanaan emosi.

Pendidikan