Inikah Parti Yang Menunggang Islam?

Inikah Parti Yang Menunggang Islam?

Musuh marah PAS guna ISLAM pada nama parti.

Mereka pernah mencadangkan perkataan ISLAM diharamkan.

Alasan mereka; agar tidak ada parti politik yang menunggang Islam untuk kepentingan politik.

Mereka sinonimkan kepentingan politik dengan kepentingan peribadi.

Dalam parti mereka kepentingan politik adalah kepentingan peribadi yang tersirat.

Apabila menang, kepentingan peribadi sama sekali tidak akan diabaikan.

Kalau tak cepat, pasti menyusul juga kemudian.

Peluang menjadi menteri, exco dan mengetuai GLC akan diusahakan.

Paling tidak, projek dan tender jadi tujuan.

Apabila menang dan jadi wakil rakyat, pemimpin PAS buat kerja untuk rakyat.

Biasalah lebai kerja 7 hari seminggu.

Ziarah rakyat. Yang sakit, OKU, bermusibah atau terlantar semua disantuni.

Masalah rakyat didengari.

Makin banyak ziarah yang dibuat, makin banyak masalah rakyat diambil berat.

Inilah natijah kepentingan politik PAS.

Politik supaya naiknya wakil-wakil Islam.

Yang bersuara untuk Islam.

Yang akhirnya Islam dapat disempurnakan dalam pemerintahan.

Maaf. Wakil rakyat PAS tak pandai bermain golf; sukan yang menemukan orang berdarjat dengan Yang Berhormat.

Lebai, kalau tidak atas kapisiti tugasan sebagai exco dan menteri, jarang benar ada masa untuk ke luar negeri.

Dengarlah cerita orang berpangkat dan berada ke Milan, New York atau Paris.

Lebai, asyik-asyik ke hulu ke ceruk kampung dan taman, menjinjing bungkusan gandum dan beras.

Kalau ada masa sedikit terluang dapatlah overtime dengan anak dan isteri.

Kita touch and go di lebuh raya.

Lebai touch and go dengan anak bini.

Masa lebih banyak bersama rakyat dan program parti.

Jelaslah PAS bercakap dan bekerja untuk kepentingan politik; bukan kepentingan peribadi.

Kepentingan politik bagi PAS adalah memanifestasikan Islam itu baik dan bekebajikan.

Islam itu adil dan rahmat untuk semua insan.

Ada yang sinis bertanya, kenapa kini PAS tak utamakan hudud dan RUU355?

Di mana hudud? Di mana RUU355?

Mereka ingat lebai bodoh macam DAP.

DAP apabila berkuasa tak sampai setengah penggal, gopoh bawa abu Chin Peng.

Lawan Jawi naik UEC.

Akhirnya rebah sebelum bersunat; baru terngadah selepas terhantuk di dahi.

Lebai tak nak jadi bodoh macam DAP.

Kestabilan politik dan ekonomi rakyat diutamakan.

Bahana COVID19 wajib ditangani.

Agar cepat menghilang pergi.

Percayalah, PAS tak pernah mungkiri janji.

Strateginya teratur.

Kesabarannya terbukti.

Apa lagi bukti PAS ini parti Islam?

PAS lawan UMNO ketika UMNO ada kuasa.

Tujuannya sebagai ‘check and balance’ agar UMNO laksanakan Islam.

Memartabatkan dan memprioritikan agenda Islam.

Samalah seperti DAP yang lawan MCA semasa MCA dalam kerajaan.

Desak MCA angkat kepentingan bangsa mereka.

Serukan agenda Malaysian Malaysia melalui kuasa yang ada pada MCA.

Justeru, munasabahkah PAS dihitamkan dengan fitnah menunggang Islam?

Apabila Islam terancam, PAS ajak UMNO dan Melayu bersatu.

PAS lempar pelampung kepada UMNO agar UMNO selamat mencapai tebing.

Dah sampai di tebing PAS paut bahu UMNO.

Lebai lupakan segala pahit permusuhan.

Jiwa lebai terseksa apabila DAP mengusik Islam setelah kuasa di tangan.

Kerana Islam, demi Islam Tuan Guru dan kami keseluruhan yang istiqamah ini menjejaki tangga PWTC.

Bersalaman dan berpelukan dengan saudara kami UMNO.

Seolah segmen Jejak Kasih setelah terpisah kasih sayang 60 tahun yang sungguh panjang.

Mari pula BERSATU. PAS usaha mendamaikan yang sebelumnya berseteru.

Terbinalah kerajaan Perikatan Nasional, anugerah istimewa dari Ilahi.

Semua makhluk tak pernah terfikirkan cara wujudnya.

Agaknya inilah keberkatan thiqah dan wala’ yang kami turuti.

PAS tak berebut jawatan.

Tiada syarat untuk dilantik jadi PM ataupun menteri kanan.

Tidak juga mendesak untuk suatu kuota menteri.

Di Sabah, PAS akur tak diberi kerusi untuk bertanding.

Ijtihad mengajar kami agar jangan melenting.

Sekali lagi Allah kurnia ADUN sulung.

Di Kinabalu, insya Allah wakil kami membawa Islam hingga kemuncak gunung.

Tuan Guru harap Islam dan ummah selamat, sudah.

Usah kecoh-kecoh dan banyak mendesak.

Beri ruang dan peluang Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin.

Bantu Dr. Noor Hisyam melandai graf COVID19 agar rakyat selamat.

Inilah sikap parti yang membawa nama Islam.

Maka, tunjukkan kami di padang mana kami pernah menunggang Islam.

Politik