Hari ini sudah terang lagi bersuluh.
Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi tidak melanggar apa-apa perintah kuarantin.
Ini jelas daripada kenyataan pihak polis pada hari ini.
Khairuddin tidak diberikan sebarang Surat Perintah Kuarantin.
Sebaik swab test dibuat di KLIA dan disahkan negatif beliau telah dibenarkan pulang tanpa diberikan sebarang perintah kuarantin atau dipakaikan gelang menandakan beliau wajib kuarantin.
Para pendokong PH tentu akan menyerang dengan pelbagai tohmahan baru.
Tapi yang pasti ialah tiada pelanggaran kuarantin berlaku.
Mereka yang selama ini menuduh Khairuddin dengan pelbagai maki hamun perlu bertaubat.
Sebab itu Khairuddin langsung tidak membuka mulut sepanjang isu ini disensasikan.
Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan untuk menguruskan kes ini.


BERKENAAN KES YB DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN BIN AMAN RAZALI, MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI MERANGKAP AHLI PARLIMEN KUALA NERUS
1. Jabatan Peguam Negara ingin mengesahkan bahawa siasatan polis berkenaan laporan terhadap YB Dato’ Dr. Mohd Khairuddin bin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (“Menteri”) berkaitan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] telah dijalankan dan telah dilengkapkan.
2. Penelitian pihak kami terhadap kertas siasatan yang dihantar oleh pihak polis mendedahkan yang Menteri telah berkunjung ke Turki pada 3 Julai 2020 dan kembali ke Malaysia pada 7 Julai 2020.
3. Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Menteri telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan proses saringan COVID-19 (ujian swab) dan keputusannya didapati negatif. Menteri telah dibenarkan pulang ke kediamannya oleh pegawai yang diberi kuasa daripada Kementerian Kesihatan yang dilantik di bawah seksyen 3 Akta 342.
4. Lanjutan selepas itu, Menteri menjalani saringan kesihatan kali kedua pada 10 Julai 2020 di Hospital Kuala Lumpur atas tujuan untuk menghadiri satu majlis di Istana Negara pada 17 Ogos 2020. Keputusan ujian saringan kedua juga didapati negatif.
5. Polis telah menjalankan siasatan terperinci terhadap laporan yang diserahkan oleh pengadu yang menuduh Menteri telah melanggar arahan kuarantin wajib di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa sekembalinya beliau dari Turki yang dikatakan sepatutnya dijalani dari 7 Julai 2020 sehingga 21 Julai 2020.
6. Kertas siasatan kemudiannya telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya. Selepas pertimbangan penuh dan mengambil kira semua bukti yang ada, Jabatan ini mendapati tiada arahan perintah pemerhatian dan pengawasan rumah dikeluarkan oleh pegawai diberi kuasa dalam menggunakan budi bicaranya kepada Menteri untuk beliau mematuhi arahan perintah pemerhatian dan pengawasan rumah sebagaimana termaktub di bawah sub-seksyen 15(1) Akta 342 seperti dituduh oleh pengadu.
7. Borang 14b sebagaimana dinyatakan dalam Garis Panduan oleh Kementerian Kesihatan yang mengandungi arahan perintah pemerhatian dan pengawasan rumah di bawah sub-seksyen 15(1) Akta 342 tidak pernah dikeluarkan kepada Menteri sebelum beliau dibenarkan beredar. Untuk sesuatu perbuatan dikira sebagai satu kesalahan melanggar arahan kuarantin di rumah di bawah Akta 342, arahan perintah pemerhatian dan pengawasan rumah mestilah dikeluarkan kepada Menteri di bawah sub-seksyen 15(1) Akta 342.
8. Justeru itu, mengambil kira pertimbangan di atas, Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang dakwaan ke atas Menteri disebabkan kekurangan bukti dan sekaligus gagal memenuhi beban pembuktian yang diperlukan di bawah peruntukan undang-undang.
Peguam Negara/ Pendakwa Raya
21 Oktober 2020