Bukanlah saya seorang peminat setia kepada mendiang John Lennon tapi saya ingin meminjam judul sebuah lagunya iaitu ‘Just Give Peace a Chance’ terutamanya ketika kemelut politik negara menjadi bertambah parah.
Apabila sebuah kerajaan tertubuh berdasarkan konsep kerjasama, maka semua pihak yang terlibat dengan kerjasama itu perlu mempunyai semangat setia kawan yang amat tinggi.
Kerjasama ini perlu ada sikap toleransi.
Ini bakal membawa kepada kedamaian seperti yang diidamkan oleh Lennon.
Namun, ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
Ketika makan tengah hari bersama penerbit filem terkenal Riza Aziz, beliau menyatakan:
“Saya tidak berminat dengan politik. Dunia saya berkisar dengan filem dan bagaimana menghasilkan filem yang berjaya sebagai box-office hit. Untuk sesebuah filem itu berjaya saya perlu fokus bagi menentukan semuanya betul. Penulis skrip dan skripnya perlu betul. Sutradaranya mesti betul. Pelakonnya juga perlu cocok dan betul. Malahan muziknya juga mesti nampak betul. Ia memerlukan perfection”
Begitu jugalah halnya dengan keadaan politik sekarang.
Sebagai tonggak utama ‘filem politik’ PN ini, Muhyiddin perlu fokus dan bertindak dengan penuh pofesionalisme.
Orang-orang sekelilingnya perlu betul.
Nasihat yang diberi perlu betul.
Barisan kabinetnya perlu betul.
Kenyataan yang dibuat mesti betul.
Ketika mula menjadi PM, Muhyiddin dilihat ibarat sebuah filem untuk melepaskan kepenatan selepas lesu bekerja dan melupakan kegusaran rakyat tentang kehidupan.
Ratings Muhyiddin tinggi kerana rakyat mahu melupakan kesengsaraan hidup di bawah PH dan wabak Covid-19 ini.
Namun sejak akhir-akhir ini, sokongan terhadapnya mula berkurangan.
Ada beberapa tindakan Muhyiddin yang terkhilaf dan ini yang perlu diperbetulkan.
Muhyiddin perlu sedar bahawa perkongsian menagihkan keadilan.
Dewasa ini ramai dalam kalangan ahli UMNO yang begitu marah kerana beranggapan mereka dilayan tidak sepertinya oleh Muhyiddin.
Ada diantara mereka yang berkata “lebih baik menjadi pembangkang dan tunggu PRU15 jika kita tahu akan jadi begini”.
Pada pandangan saya masing-masing punya kesilapan.
Sedang Muhyiddin terkhilaf dalam mengetepikan pemimpin sepatutnya dalam UMNO untuk membarisi kabinetnya, UMNO pula perlu membuang sikap bahawa mereka masih sekuat seperti dahulu sedangkan mereka dalam proses rawatan semula dan perlu senada dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan.
Ambil iktibar daripada Naib-Naib Presidennya seperti Mahadzir Khalid dan Ismail Sabri yang tidak mudah memberikan kenyataan yang tidak perlu.
UMNO tidak perlu rasa komited untuk mendedahkan langkah yang ingin diambil oleh parti kepada umum.
Kenyataan yang tidak konsisten akan memberi gambaran bahawa parti bermasalah kerana para pemimpin tidak sehaluan.
Ini memberikan ruang kepada musuh untuk menyerang.
Sementara itu pula, Muhyiddin tidak boleh dilihat seperti ingin membalas dendam terdadap UMNO, parti yang pernah dipimpinnya.
UMNO pula perlu belajar bagaimana membina semula kekuatan yang hilang dan bagaimana caranya berkongsi kuasa.
Para pemimpin Bersatu perlulah menghentikan serangan tidak menguntungkan terhadap UMNO.
Terkadang saya musykil bagaimana beberapa pemimpin mudanya boleh membuat kritikan terhadap UMNO.
Siapakah yang berada di belakang mereka?
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam telah mengesyor gencatan senjata politik agar tumpuan kepada mengatasi masalah yang sedang dihadapi dalam negara dapat ditangani dengan sebaiknya.
Semoga saranan beliau ini dapat dipatuhi dengan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat ketika ini.
UMNO, PAS dan Bersatu perlu memahami bahawa kegagalan Perikatan Nasional akan merugikan UMNO, PAS dan Bersatu.
Jangan nanti nasib MN atau PN dalam PRU 15 berakhir seperti nasib John Lennon yang mati ditembak oleh peminat sendiri.
Cikgu Kamarul