PAS yang diwakili Naib Presiden, YB Senator Ustaz Haji Idris Ahmad telah menghantar memorandum ke Kedutaan Perancis. Memorandum tersebut sebagai penyataan bantahan terhadap isu penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan sentimen Islamophobia yang dicetuskan oleh Kerajaan Perancis.
Pengenalan
Seluruh dunia dikejutkan dengan tragedi berdarah pada hari Jumaat, 16 Oktober 2020 di pinggir kota Paris, Perancis apabila Samuel Paty, seorang guru subjek sejarak di sebuah sekolah di Perancis telah dibunuh dengan dipenggal kepalanya.
Pembunuhan itu dilakukan oleh seorang pelajar Muslim sebagai tindak balas terhadap gurunya yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa lukisan penghinaan terhadap Baginda kepada para pelajarnya.
Kejadian itu telah menggemparkan dunia dan mendapat reaksi dari pelbagai pihak termasuklah OIC yang mengutuk tindakan tersebut.
Namun persoalan yang lebih utama ialah punca tindakan drastik yang dilakukan oleh pelajar tersebut.
Penghinaan terhadap agama lain sewajarnya tidak berlaku dan perlu ditentang sekeras-kerasnya namun sebaliknya ia adalah suatu perkara yang diizinkan dan diiktiraf hanya kerana ianya dilakukan terhadap Islam dan Muslim.
Lebih mengecewakan, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mempertahankan tindakan guru tersebut dan memberikan anugerah khas Legion d’honneur dalam satu majlis yang diadakan pada 21 Oktober 2020 yang lalu di Universiti Sorbonne.
Beliau menganggap penghinaan guru tersebut sebagai aksi ‘hero’ kerana mempertahankan dasar kebebasan dan beliau juga berjanji untuk memerangi golongan “radikal Islam” habis-habisan.
Perancis seharusnya tidak mengamalkan sikap double standard terhadap Islam, kononnya di atas nama kebebasan.
Sikap sedemikian jelas menimbulkan prejudis dan provokasi terhadap Islam dan umatnya yang tidak berkesudahan.
Apabila berlaku penghinaan terhadap agama Yahudi mahupun Israel maka secara drastik tindakan undang-undang seperti anti Semitic Law dikenakan.
Namun jika perkara yang sama berlaku ke atas Islam dan umatnya, ia dijadikan alasan atas nama kebebasan bersuara walhal Islam juga adalah agama samawi (semitic) seperti Yahudi dan Kristian.
Bukankah ini jelas double standard?
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berpandangan bahawa apabila Kerajaan Perancis mengambil keputusan untuk mempertahankan tindakan guru tersebut secara berlebihan, ia adalah suatu tindakan yang tidak bertamaddun, tidak masuk akan dan melanggar prinsip serta tatasusila kemanusiaan.
Malah tindakan Kerajaan Perancis dan juga Presidennya Emmanuel Macron sebenarnya adalah pengiktirafan terhadap tindakan mahupun perbuatan radikal, sama seperti kritikan Kerajaan Perancis mahupun Presidennya terhadap apa yang berlaku di Xinjiang, China.
Perancis sebagai sebuah negara majju yang mempunyai populasi Muslim tertinggi di Eropah sewajarnya mempunyai pertimbangan nilai yang bijak serta harus bertindak dengan adil dalam menangani sensitiviti yang melibatkan hubungan antara agama.
Sehingga kini majalah Chalie Hebdo yang menyiarkan karikatur terhadap Nabi Muhammad SAW masih dibiarkan tanpa sebarang tindakan, sebaliknya Muslim pula dipersalahkan dan menjadi mangsa propaganda sebagai golongan radikal.
Desakan Dan Bantahan
Oleh itu, kami dengan tegas menyatakan pendirian dan bantahan kami terhadap kerajaan Perancis dalam beberapa perkara berikut:
1. PAS mengutuk tindakan yang dilakukan oleh Presiden Emmanuel Macron dan mendesak beliau serta kerajaan Perancis menarik semula anugerah Legion d’Honneur yang telah dianugerahkan kepada Samuel Paty.
Ini kerana ia merupakan suatu pengiktirafan kepada budaya provokasi melampau. iaitu membenarkan penghinaan kepada agama lain.
Adakah Perancis membenarkan ucapan penghinaan kepada ibu bapadan agama orang lain atas nama kebebasan bersuara?
2. PAS mendesak Presiden Perancis menarik balik segala ucapan provokasi dan tohmahan terhadap Islam.
Sehingga hari ini Islam menjadi sasaran beliau apabila mengaitkan Islam dengan keganasan dan pelanggaran hak asasi manusia.
Sedangkan hak sebagai rakyat Muslim sentiasa dicabul dan dinafikan tanpa ada sedikitpun belas kasihan.
Beliau perlu belajar untuk menghormati agama orang lain jika benar mengangkat hak asasi manusia.
3. PAS mendesak kerajaan Perancis menggantung lesen penerbitan majalah Chalie Hebdo dan mengharamkan serta merta penerbitan majalah tersebut.
Hal yang demikian adalah kerana sikap biadap mereka yang mengeluarkan kartun menghina Nabi Muhammad SAW merupakan punca utama kepada rentetan insiden yang berlaku.
Majalah ini menerbitkan kelakuan biadap terhadap agama lain sehingga mewujudkan Islamofobia dan ketegangan antara agama.
4. PAS mendesak kerajaan Perancis supaya berhenti bersikap double standard kepada rakyat Perancis yang beragama Islam.
Kerajaan Perancis wajib menjaga hak dan kebajikan mereka sebagai rakyat dan mengiktiraf hak mereka dalam mengamalkan agama.
Kerajaan Perancis juga harus menangani serangan terhadap komuniti Muslim yang kerap kali berlaku kerana Islamofobia.
Kerajaan Perancis harus bertindak adil dalam usaha untuk mengekang budaya radikal sama ada daripada Muslim dan bukan Muslim.
Tiada agama yang menyokong keganasan.
5. PAS mendesak agar kerajaan Perancis mengkaji semula dan sekaligus membatalkan cadangan untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Pemisahan Islam.
PAS percaya bahawa pemimpin komuniti Muslim mesti dilibatkan dalam sebarang pelaksanaan polisi dan undang-undang yang berkaitan dengan Islam dan Muslim.
Rakyat Muslim di Perancis idak perlu dikawal ketat, sebaliknya mereka perlu diberikan kebebasan untuk mengamalkan agama dalam usaha kerajaan Perancis untuk mempromosikan toleransi antara agama.
Implikasi Kepada Kerajaan Perancis
Sekiranya kerajaan Perancis masih berkeras dan terus bermusuhan terhadap Islam dan umatnya, ia memberikan mesej yang negetif kepada seluruh umat Islam termasuk pemimpin negara-negara Islam.
Kami ingin mengingatkan kesan yang bakal dihadapi oleh Perancis sekiranya terus berdegil dan bertindak zalim dengan beberapa tindakan berikut:
1. Ancaman Boikot Produk Perancis
Kami umat Islam khususnya negara-negara umat Islam akan melancarkan boikot terhadap produk keluaran Perancis.
Seluruh populasi Muslim yang berjumlah 1.9 bilion yang mewakili 24.5 peratus daripada populasi dunia akan melancarkan perang perdagangan terhadap semua produk keluaran Perancis dan sekaligus akan memberi kesan besar kepada ekonomi perancis yang sedang bergelut menghadapi impak daripada penularan wabak pandemik Covid-19.
2. Dunia Akan Mengenali Perancis Membenarkan Penghinaan Kepada Agama Lain
Tiada agama dan negara dalam dunia ini yang membenarkan penghinaan terhadap mana-mana agama.
Ia jelas suatu perbuatan yang tidak bermoral dan menjadi punca kepada ketegangan hubungan antara agama.
Saat ini, seluruh dunia akan “ingat” tindakan Perancis membenarkan rakyatnya menghina agama lain dan bertindak sesuka hati kepada orang lain hanya kerana alasan mempertahankan kebebasan bersuara yang songsang.
3. Perancis Sebuah Negara Zalim Moden
Perancis yang merupakan negara yang mempunyai populasi Muslim terbesar di benua Eropah akan dikenang sebagai negara y7ang menindas golongan minoriti hanya kerana perbezaan agama.
Perancis akan dikenang sebagai satu-satunya negara yang tidak mampu berhadapan dengan rakyat berbilang kaum, sentiasa menindas kaum minoriti dan tidak mempunyai nilai kemanusiaan walaupun sudah berada pada era moden.
Penutup
PAS ingin menyeru kepada kerajaan Perancis agar menggariskan agenda kedamaian dan kesejahteraan antara agama bagi memastikan keharmonian antara agama terbentuk.
Propaganda Islamofobia harus dihentikan segera dengan menyuburkan nilai kasih sayang dan persefahaman dalam sebuah masyarakat majmuk.
Di Malaysia sendiri, rakyat minoriti bebas mengamalkan agama masing-masing, bahkan dibenarkan mendirikan rumah ibadat dan melakukan upacara keagamaan secara terbuka pada hari kebesaran agama masing-masing.
Dalampada itu, Malaysia turut mengisytiharkan beberapa hari kebesaran agama minoriti sebagai cuti umum untuk seluruh rakyat, bagi mengangkat nilai perpaduan antara kaum dan bangsa.
Dengan ini, PAS menyatakan bantahan terhadap tindakan yang telah dilakukan dan berharap agar Presiden dan kerajaan Perancis mengambil maklum secara serius perkara yang telah kami nyatakan ini.
Sekian, terima kasih.
Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa Dan Hubungan Luar,
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)



