PAS Tak Cukup Setia Kepada Rakan Pakatan Berbanding PAN

PAS Tak Cukup Setia Kepada Rakan Pakatan Berbanding PAN

Sekonyong-konyong hari ini seorang ADUN PAN dari Pulau Pinang mendakwa bahawa kedudukan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin tergugat kerana sikap PAS yang tidak setia.

Entah dari mana datang fikiran itu.

Adakah dari kedangkalan dia sendiri atau dari hasutan iblis?

Mungkin juga ia datang dari perbandingan terhadap tahap kesetiaan membabi buta PAN terhadap DAP.

Dia mungkin lupa bahawa PAS adalah parti yang paling banyak mengadakan pakatan dengan parti-parti lain.

Sejak Ustaz Fadzil Noor menjadi Timbalan Yang Dipertua Agung PAS (kini Presiden PAS) pada 1982, PAS telah bekerjasama dalam pakatan Harakah Keadilan Rakyat (HAK) pada 1986, Angkatan Perpaduan Ummah (APU) pada 1988-1996, Barisan Alternatif (BA) pada 1999-2008, Pakatan Rakyat (PR) pada 2008-2015, Gagasan Sejahtera (GS) pada 2018, Muafakat Nasional (MN) pada 2019-sekarang dan Perikatan Nasional (2020-sekarang).

Adakah dia menganggap semua sebab pakatan politik itu pecah kerana PAS tidak setia?

PAS beberapa kali berpecah dengan rakan pakatannya pada zaman Ustaz Fadzil, jadi adakah Ustaz Fadzil seorang yang tidak setia juga.

Yang terakhir pecah pada zaman Ustaz Fadzil ialah pada September 2001 apabila DAP keluar dari BA.

DAP mendakwa mereka terpaksa keluar kerana menentang negara Islam yang diperjuangkan oleh Ustaz Fadzil di dalam PAS.

Ustaz Fadzil memang punca sebenar DAP keluar dari BA.

Ustaz Fadzil yang bertegas supaya PAS menggubal Dokumen Negara Islam ketika itu, lalu DAP bertindak balas.

Tidak setiakah Ustaz Fadzil?

Mungkin dia tidak faham bahawa PAS hanya setia kepada Allah dan Rasul-Nya sahaja.

Selain dari itu, PAS hanya akan setia jika mereka tidak merosakan kesetiaan PAS kepada Allah dan Rasul.

Jika mereka mendesak supaya PAS merosakan kesetiannya kepada Allah dan Rasul, pasti PAS akan meruntuhkan kesetiaan kepada rakan pakatan politik mereka!

Itu adalah satu prinsip yang sangat mendasar dipegang oleh PAS.

Dalam konteks politik semasa, tidak timbul langsung bahawa PAS tidak setia kepada rakan-rakannya.

PAS sejak awal bertegas menyokong Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan PAS berpegang dengan prinsip penyatuan Melayu atas nama Islam.

PAS berusaha membentuk perpaduan melalui MN dan kemudiannya mengajak Bersatu yang telah meninggalkan DAP untuk mengukuhkan perpaduan Melayu menerusi MN.

PAS mendukung PN supaya kerajaan diperteguhkan.

Bezanya, Umno tidak menganggotai PN, tetapi PAS menjadi anggota.

Kedua-dua menyokong Muhyiddin Yassin.

Yang membuatkan keadaan menjadi tidak stabil dan kedudukan Muhyiddin Yassin tergugat adalah kerana Anwar Ibrahim cuba menarik sokongan Umno.

Sebelum ini mereka menuduh Umno perompak, seperti yang mereka pernah tuduhkan kepada Tun Mahathir dahulu.

Kemudian, DAP melalui pemimpin PAN cuba memikat Umno.

Bahkan, pada hujung minggu lepas, pemimpin PAN masih menyeru Umno supaya meninggalkan Muhyiddin Yassin dan membentuk kerajaan bersama mereka.

Saya tidak pasti, adakah kerana PAS yang tidak setia atau kerana PAN yang memainkan peranan syaitan untuk menghasut Umno, lalu kedudukan Muhyiddin Yassin tergugat.

Dengan muka tidak malu, pemimpin PAN yang dahulu pernah memaki PAS disebabkan hubungan dengan Umno, kini mereka terpekik-pekik, melolong-lolong meminta Umno bekerjasama dengan mereka.

Bermacam-macam fatwa dikeluarkan untuk menghalalkan cadangan kerjasama mereka dengan Umno.

PAS tetap bertenang kerana soal Umno atau Bersatu, dihadapi oleh PAS di atas prinsip yang jelas.

Jika mereka mahu bekerjasama untuk perpaduan umat Islam PAS bersedia dan bersetia.

Kesetiaan PAS sangat jelas ketika ia masih kekal mendukung Muhyiddin Yassin.

PAS tidak akan berganjak selagi Umno dan Bersatu tidak berganjak.

Tetapi, jika mana-mana parti beralih arah, mencari selain dari dasar perpaduan tersebut, tiada lagi kesetiaan PAS kepada kerjasama itu.

Kerana PAS hanya setia kepada Allah dan Rasul sahaja.

Adakah PAN demikian?

PAN memang terkenal kerana sangat setia kepada DAP.

Pemimpin PAN meninggalkan PAS dahulu kerana mahu membuktikan kesetiaan mereka kepada DAP.

Mereka tidak mahu bersama kepemimpinan ulamak, tidak mahu kepada negara Islam, tidak mahu kepada RUU 355, mereka tidak mahu hudud dan mereka tidak mahu dipimpin Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Kenapa?

Kerana DAP tidak mahu!

Wah! Mereka memang sangat setia kepada rakan-rakan pakatan mereka sehingga sanggup membelakangkan Allah dan Rasul.

PAN berdiam diri ketika Rasulullah SAW dihina, PAN berdiam diri ketika bangsa Melayu dimaki, PAN berdiam diri ketika hak-hak orang Melayu dipertikai, PAN berdiam diri ketika Raja-raja Melayu dicerca, PAN berdiam diri ketika tulisan Jawi dipersoal.

Tetapi PAN akan segera bangkit bila pemimpin DAP atau parti DAP dipertikai.

Mereka mempertahankan DAP seperti umat Islam yang lain mempertahankan Nabi.

Kesetiaan mereka menang tiada tolok bandingnya.

Kalau demikian caranya mengukur kesetiaan, memang PAS tidak cukup setia.

Ternyata PAN-lah parti yang paling setia kepada tuannya.

Beruntung DAP kerana memiliki khadam seperti PAN.

Setianya sampai ke tukang hitam.

Tidak sia-sia DAP memberi mereka makan, perut kenyang hati tidak melawan.

Mohd Fadli Ghani

Politik