Memperingati Kelahiran Atau Kewafatan Nabi SAW: Mana Lebih Wajar?

Memperingati Kelahiran Atau Kewafatan Nabi SAW: Mana Lebih Wajar?

Hari ini gajet-gajet kita dipenuhi dengan selawat dan ucapan-ucapan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Kecintaan umat Islam terhadap Rasulullah SAW amat tinggi.

Alhamdulillah!

Ia adalah simbol optimis kebangkitan pada masa depan.

Walaupun ia bersulam di antara perbuatan menghina Nabi SAW di Perancis dan polemik topi capal di negara kita.

Kita semua tetap berbangga di atas kesanggupan Abdoullakh Anzorov, seorang pemuda Chechnya yang membela nama baik Nabi SAW dengan tindakan beraninya ke atas si pembiadap tersebut.

Matinya berbaloi.

Saya ingin melupakan dahulu seluruh polemik tersebut.

Sebaliknya saya ingin membawa kita semua kepada satu persoalan yang lebih besar dan utama.

Nabi SAW dilahirkan pada 12 Rabiul Awal Tahun Gajah (20 April 571M) dan wafat pada 13 Rabiul Awal 11H (8 Jun 632M).

Tarikh-tarikh ini hampir disepakati, dan ia tidak termasuk di dalam persoalan yang ingin saya timbulkan ini.

Kedua-dua tarikh ini berselisih, 12 dan 13 Rabiul Awal, iaitu satu tarikh yang bersamaan dengan ketibaan Nabi SAW di Kota Yathrib (Madinah) pada 12 Rabiul Awal 1H (24 September 622M).

Persoalan saya ialah, apakah memperingati kelahiran Nabi SAW lebih wajar dari memperingati kewafatan Baginda SAW dalam suasana umat sekarang ini?

Kelahiran Nabi SAW membawa cahaya

Umat manusia berada dalam kegelapan sekian lama dan sangat berhajat kepada seorang rasul, saat Allah menzahirkan seorang rasul di Mekah pada 571M.

Bukan orang Quraisy Mekah sahaja yang tersepit di dalam kesyirikan, tetapi bangsa Yahudi dan Nasrani di Barat juga mensyirikkan Allah, tiada bezanya dengan kaum Majusi, Hindu dan Buddha di sebelah Timur.

Tanpa seorang rasul yang membawa cahaya hidayah dari Allah, pasti manusia akan berterusan dalam kesesatan.

Kelahiran Nabi Muhammad SAW dan kerasulannya 40 tahun kemudiannya telah memberikan cahaya kepada manusia untuk berada di jalan yang benar.

Al-Quran dan al-Hikmah (Sunnah) telah memberikan landasan untuk menunjukkan kepada manusia siapakah Tuhan yang sewajarnya disembah dan diabdikan diri.

Seluruh cara peribadatan kepada Allah telah ditunjukkan sepenuhnya.

Islam telah menjadi satu sistem hidup yang sempurna, lengkap dan diredhai di sisi Allah.

Setiap orang yang menyerah diri, tunduk, patuh dan taat kepada Allah, pasti dia akan selamat di dunia dan akhirat.

Aslim taslam!

Kerana cahaya inilah, manusia telah kembali ke jalan yang benar, menuju Allah.

Pengorbanan Rasulullah SAW bukan kepalang dalam menyampaikan Islam kepada kita.

Baginda SAW telah menunjukkan contoh dan meninggalkan sunnah untuk diikuti oleh kita semua.

Al-Quran dan Sunnah yang ditinggalkannya inilah yang menyelamatkan kita dari kesesatan.

Hal ini telah membuat kita semua sangat bersyukur kepada Allah dan menghargai dengan penuh kecintaan kepada Nabi SAW.

Kerana perasaan kasih yang mendalam itulah, setiap tahun kita meraikan hari kelahiran Baginda SAW yang kita sebutkan sebagai Maulid Nabi.

Kewafatan yang menggerhanakan cahaya iman

Kewafatan Nabi SAW pada 13 Rabiul Awal 11H bukan sahaja membuatkan perasaan Saidina Umar bin al-Khattab menjadi tidak keruan, bahkan ia telah menggerhanakan iman manusia seluruhnya.

Lihatlah bagaimana yang terjadi pada zaman Saidina Abu Bakar as-Siddiq apabila munculnya nabi-nabi palsu, golongan riddah dan kumpulan yang enggan membayar zakat.

Mereka mengalami kesesatan sebaik sahaja wafatnya Nabi SAW.

Walhal mereka hidup sezaman dan bertemu dengan Baginda SAW.

Kewafatan ini ternyata memberi kesan yang sangat buruk kepada iman manusia, sehingga ia menjadi gerhana.

Kita boleh perhatian kesan-kesan kewafatan Nabi SAW sepanjang zaman, terutama selepas tiga kurun generasi salafus soleh.

Sebenarnya sejak zaman Saidina Othman bin Affan lagi telah berlaku perpecahan di kalangan umat Islam, kemudian membarah menjadi pergolakan politik pada zaman Saidina Ali bin Abi Talib yang mewujudkan puak Syiah dan Khawarij.

Mereka kemudian bertukar menjadi pelbagai aliran ilmu kalam sehingga memunculkan golongan Jabariyah, Qadariyah, Murjiah, Muktazilah dan lain-lain.

Pada satu tahap yang lain, umat Islam sudah membai’ah lebih dari seorang khalifah di Baghdad, Kaherah dan Cardova.

Demikian permulaan gerhananya iman manusia, sedangkan Islam masih berkuasa, ulamak mujtahid masih ramai, ilmu sedang berkembang dan tamadun sedang dibangunkan.

Setelah melalui era kekakuan pada zaman pertengahan, umat Islam mulai terjerumus ke dalam kancah kelemahan.

Mereka memutup pintu ijtihad, mengamalkan bid’ah, menerima unsur-unsur luar sebagai ajaran agama, menganut pemikiran dan falsafah ciptaan manusia dan akhirnya meruntuhkan sendiri kekhalifahan.

Mari kita lihat contoh-contoh realiti umat Islam hari ini yang mengalami kegerhanaan akibat wafatnya Nabi SAW.

I. Umat Islam telah menganut pelbagai ideologi moden termasuk fahaman sekular yang memisahkan agama dan kehidupan.

Kemudian berkembang aliran-aliran fahsafah dari Barat seperti kapitalisme, sosialisme, nasionalisme, pragmatisme dan lain-lain yang dianut oleh umat Islam.

Mereka tidak sedar bahawa semua aliran ini tidak berasal dari Nabi SAW.

II. Umat Islam telah meruntuhkan sempadan aqidah dalam persaudaraan dan perhubungan politik mereka.

Mereka diikat oleh sempadan baru yang berasaskan negara bangsa – nation-state.

Mereka membezakan manusia mengikut sempadan negara dan memusuhi saudara seagama.

Mereka lebih senang berdagang dengan negara-negara pengeluar barangan yang mempunyai hubungan diplomatik dan politik, berbanding dengan negara seaqidah.

Mereka menerima orang bukan Islam sebagai warga negara yang sah dan menganggap orang Islam yang datang bekerja di negaranya sebagai pendatang tanpa izin (PATI) yang bertaraf kelas kedua.

III. Umat Islam mempelajari, membaca dan melagukan al-Quran untuk mengambil berkat dan menikmati keindahannya semata-mata.

Mereka tidak mempedulikan dasar aqidah, hukum-hakam, ibrah dan petunjuk yang terkandung di dalamnya.

Mereka ‘mempersukankan’ al-Quran setaraf dengan bola sepak yang dipertandingkan.

Mereka tidak mengamalkan ajaran al-Quran, tidak menyuruh dengan apa yang disuruh oleh al-Quran, mereka tidak melarang dengan apa yang dilarang oleh al-Quran dan mereka tidak menjadikan al-Quran sebagai kandungan dakwahnya.

IV. Umat Islam terjerat di dalam perangkap maddiyah (kebendaan) yang sangat parah.

Pemikiran kebendaan telah membuatkan mereka mencintai dunia dan takut untuk menghadapi kematian.

Mereka melupakan seluruh kelebihan akhirat, dan mereka berebut-rebut mencari kemulian harta benda, pangkat, gelaran, jawatan, pengaruh dan kekuasaan.

Mereka meletakkan kemulian kepada gelaran dan kekayaan, bukan lagi kepada ketaqwaan.

V. Umat Islam cuba menbebaskan diri mereka daripada kawalan hukum agama.

Mereka mahu menjadi orang Islam yang merdeka, bebas dan liberal.

Mereka menganggap hukum-hukum agama sebagai kongkongan ke atas kebebasan.

Mereka mempertikai dan mempersoalkan hukum-hukum syariat yang dianggap bias jantina, tidak adil, menyekat kebebasan, kolot dan ketinggalan zaman.

Tetapi mereka mahu kekal sebagai orang Islam – Islam liberal kata mereka.

VI. Umat Islam telah terlupa bahawa mereka dicipta sebagai khalifah.

Fungsi mereka untuk menggantikan kenabian dalam melaksanakan tugas menegakkan agama dan mentadbir dunia menggunakan Islam telah dilupakan.

Mereka berpolitik tidak berdasarkan Islam.

Mereka mendukung sekular dan menganut kebangsaan.

Mereka menjadi demokrasi sebagai pegangan.

Mereka memerintah dengan tidak melaksanakan Islam, sebaliknya berkuku besi dan melakukan kezaliman.

VII. Umat Islam meninggalkan sunnah dan mengamalkan bid’ah di dalam kehidupan.

Urusan agama direkayasa mengikut selera dan hawa nafsu tanpa bersandarkan kepada dalil yang jelas dari Allah dan Rasul.

Mereka mempertahankan bid’ah sekuat-kuatnya, dan mencerca orang yang mengajak kembali kepada al-Quran dan Sunnah.

VIII. Umat Islam meninggalkan ilmu fardhu ain dan tidak menguasai ilmu fardhu kifayah.

Di mana-mana sahaja umat Islam mengalami kejahilan dalam perkara aqidah, syariat dan akhlaq.

Mereka kabur tentang Allah, mereka buta hukum-hakam ibadat dan mereka tidak ikhlas dalam melaksanakan sesuatu perintah.

Bahkan mereka meragui al-Quran dan seluruh hukum Islam.

Sedangkan dalam urusan keduniaan juga mereka ketinggalan, sama ada dari sudut ilmu mahupun pengamalan.

IX. Umat Islam terjerat di dalam keseronokan keduniaan, hiburan dan hedonisme.

Mereka menjadikan artis, ahli sukan dan pemimpin politik sebagai idola, melupakan Nabi SAW dan para Sahabat RA yang menjadi bintang-bintang.

Mereka berseronok dengan hobi dan kegemaran.

Mereka lalai melayani media sosial seperti aplikasi WhatsApp, Facebook dan bertiktok sehingga melupakan kejahilan diri dan kurangnya amal sebagai bekalan.

X. Umat Islam jumlahnya sangat ramai, terbesar di kalangan penganut agama-agama yang ada.

Tetapi umat Islam berpecah-belah mengikut ideologi pemimpin mereka dan terikat dengan blok-blok politik yang dibina oleh orang kafir.

Mereka mempunyai pertubuhan yang tidak berkesan, kerana para pemimpin mementingkan kumpulan politik mereka yang sempit, berbanding kepentingan agama dan umatnya.

Umat Islam tertindas di mana-mana, tetapi ketiadaan pembela.

Umat Islam menjadi miskin, merempat dan kebuluran, sedangkan pemimpin mereka kaya raya dan menguasai sumber alam.

Daripada 10 gambaran umum ini, ternyata kewafatan Nabi SAW telah membuatkan umatnya mengalami gerhana yang panjang.

Umatnya sukar untuk bangkit selagi mana mereka tidak kembali kepada al-Quran dan Sunnah yang Nabi SAW tinggalkan.

Maka wajarkah kita masih meraikan hari kelahiran yang berhasil mengeluarkan kita dari kegelapan.

Atau kita harus berfikir semula untuk memperingati pemergian Nabi SAW.

Satu pemergian yang membuatkan kita kembali terjerumus ke lembah kebinasaan.

Mungkin jika kita mengkaji dan menginsafi seluruh kelemahan ini, lalu kita kembali ke pangkal jalan.

Meninggalkan bid’ah kembali kepada al-Quran.

Meninggalkan perpecahan membina perpaduan.

Menghapuskan kejahilan membangunkan ilmu dan pemikiran.

Meninggalkan keseronokan dunia mengejar kelebihan akhirat yang dijanjikan.

Maka, daripada kita terus terperangkap di dalam nostalgia datangnya cahaya daripada sebuah kelahiran, lebih baik kita membangunkan diri kerana sedar akan kegelapan akibat sebuah kewafatan!

Mohd Fadli Ghani

Islam