Jangan hanya melihat motif memboikot barang keluaran Perancis dari satu peristiwa terpencil iaitu kenyataan Presiden Perancis yang mengguris perasaan umat Islam di seluruh dunia.
Walaupun ianya merupakan rentetan peristiwa Samuel Paty yang dibunuh remaja Islam bernama Abdullah Anzorov, akibat gurunya itu menghina Islam dengan menunjukkan karikatur Nabi Muhammad ﷺ, kenyataan ketua negara Perancis itu tetap salah dan berniat amat jahat.
Ketika Presiden Perancis, Emmanual Macron menuduh agama Islam sebagai agama bermasalah yang ganas, mari kita paparkan di hadapan muka Macron fakta sebenar tentang siapa sebenarnya pengganas dunia yang paling kejam dan jahat?
Mungkin Macron terlupa, Perancis telah menjajah negara-negara Islam contohnya Morocco selama 44 tahun (1912 hingga 1956), Mauritania selama 58 tahun (1902 hingga 1960), Tunisia selama 75 tahun (1881 hingga 1956), Algeria selama 132 tahun (1830 hingga 1962) dan Senegal selama hampir 300 tahun! (1677 hingga 1960).
Mari kita telusuri dengan lebih mendalam apa yang pernah berlaku di Algeria. Ahli sejarah telah membuktikan bahawa tentera Perancis telah membunuh jutaan umat Islam yang tidak berdosa di Algeria sepanjang penjajahan selama 132 tahun mereka di sana
Ahli sejarah juga mencatatkan bilangan penduduk Algeria berkurangan mendadak sehingga hanya tinggal sepertiga dari tahun 1830 sehingga peperangan tamat pada tahun 1870 akibat dibunuh, dibakar hidup-hidup, mati kebuluran dan diusir keluar dari tanah air mereka sendiri.
Jika Malaysia ada peristiwa hitam 13 Mei 1969, Algeria amat terkenal dengan peristiwa lebih hitam iaitu Peristiwa 8 Mei 1945 di mana berlaku pembunuhan beramai-ramai umat Islam Setif dan Guelmala, yang berjumlah hampir 60,000 orang terdiri daripada orang awam dan kanak-kanak yang langsung tidak berdosa.
Tidak lain dan tidak bukan ia dilakukan oleh tentera Perancis
Massacre ini akhirnya membawa kepada Perang Algerian pada tahun 1954 yang lebih memburukkan keadaan dan menyebabkan lebih 1.5 juta umat Islam awam terbunuh dengan sangat kejam serta dua juta orang rakyat dihalau keluar negara
Paris Massacre yang berlaku semasa perang ini pada tarikh keramat 17 Oktober 1961 turut mencatatkan lebih kurang 300 umat Islam terbunuh akibat dipukul teruk dan dilemaskan oleh tentera Perancis ke dalam sungai secara beramai-ramai.
Sepanjang tempoh penjajahan ini juga Perancis telah melakukan ujian nuklear yang terlarang terhadap penduduk awam Algeria, yang menyebabkan banyak kematian.
Malah sebelum keluar dari Algeria, tentera Perancis dengan sengaja menanam periuk api (yang dikatakan berjumlah jutaan) bagi membunuh umat Islam yang tidak berdosa setelah diberikan kemerdekaan.
Walaupun akhirnya diberikan kemerdekaan pada tahun 1962, peperangan yang panjang, kemusnahan infrastruktur dan ekonomi yang dijarah terus menghantui umat Islam di Algeria.
Hari ini Algeria merupakan antara 30 buah negara termiskin dunia walaupun memiliki hasil minyak dan gas yang amat banyak (pengeksport gas keempat terbesar dunia dan minyak kesepuluh terbesar dunia).
Nah, sekarang bandingkan apa yang telah Perancis lakukan selama ratusan tahun yang lalu dengan peristiwa pembunuhan Samuel Paty baru-baru ini.
Ketika pembunuh Samuel Paty telah menerima akibatnya setelah ditembak dengan amat kejam oleh polis Perancis, siapa pula yang sepatutnya menerima hukuman terhadap jutaan umat Islam yang dibunuh dengan kejam, dicacatkan, dihalau keluar, dirampas kekayaan negara serta dihancurkan masa depan generasi muda mereka?
Ir. Ts. Lukman Al Hakim