Pengeluaran Wang KWSP

Pengeluaran Wang KWSP

Isu pengeluaran wang KWSP bagi meredakan beban kewangan rakyat ketika wabak ini perlu ada jalan tengah.

Kerajaan tak boleh terlalu keras menolak sebarang permintaan untuk pengeluaran wang kecemasan hanya atas alasan menjaga simpanan hari tua.

Sebab anak-anak yang lapar hari ini perlu makan hari ini.

Mereka tak boleh tahan lapar sampai 20 tahun lagi.

Rumah sewa yang tertangguh juga perlu dibayar hari ini.

Tak ada tuan rumah yang begitu murah hati sanggup menanggung rugi.

Begitu juga rakyat tak boleh wewenang mendesak agar KWSP benarkan pengeluaran atas alasan “Ini duit kami, ikut suka hati kami la”.

Simpanan KWSP kita bukannya dalam bentuk tunai, tetapi kebanyakannya telah dilaburkan dalam bentuk ekuiti dan pelaburan.

Sebarang pengeluaran besar-besaran akan menyebabkan KWSP terpaksa mencairkan pegangan ekuiti dan pelaburan strategik bagi membolehkan mereka dapat menyalurkan semula tunai kepada rakyat.

Sebagai contohnya, apabila kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan RM6000 daripada simpanan hari tua mereka pada Mac tahun ini [1], KWSP terpaksa mencairkan (baca: menjual) sebahagian aset strategik termasuklah pegangan di dalam Media Prima [2] dan lebih 3 juta unit saham di dalam Top Glove [3]

Hari ini market cap Top Glove adalah RM70.55 bilion berbanding hanya RM17 bilion ketika KWSP mencairkan ekuiti mereka (sekitar April 2020)

Terdapat 14.8 juta pencarum KWSP.

Sekiranya hanya separuh dibenarkan untuk mengeluarkan RM10ribu, maka KWSP perlu mencari tunai sebanyak RM74 bilion.

Bayangkan betapa besar bebanan KWSP dan kerugian atas lost opportunity yang kita akan sama-sama tanggung.

Jadi apakah jalan tengah?

Kita tidak boleh membiarkan rakyat kelaparan tetapi dalam masa yang sama juga kita tidak boleh mengambil mudah survival KWSP.

Antara jalan tengah adalah pengeluaran kecemasan bersasar.

Pengeluaran boleh dibenarkan secara beransur-ansur (contohnya RM1k sebulan selama 10 bulan).

Permohonan pula hanya dibenarkan bagi mereka yang kehilangan pekerjaan/pendapatan atau mengalami pemotongan gaji (pay-cut).

Cara ini lebih mudah kerana KWSP sendiri boleh membuat tapisan melalui data caruman terkini ahli.

Bagi mereka yang masih mempunyai kerja tetap seperti kakitangan kerajaan/GLC, permohonan boleh dipertimbangkan untuk individu berpendapatan rendah atau menengah rendah.

Dalam masa yang sama, selain akujanji bayaran semula (saya tidak fikir ia akan dibayar semula), KWSP hendaklah melakukan segala yang terdaya agar dividen yang diperoleh pada tahun ini dan akan datang adalah sekurang2nya sama baik sepertimana sebelum tahun 2018.

Ini adalah antara cara supaya simpanan persaraan tidak terganggu.

Pada akhirnya, jalan yang terbaik adalah dengan kepentingan semua terpelihara.

Abdul Rahim Hilmi Zakariya

[1] https://www.bharian.com.my/…/covid-19-keluar-caruman…

[2] https://m.malaysiakini.com/news/523143

[3] https://www.theedgemarkets.com/…/epf-exits-top-glove…

Ekonomi