Pemimpin Melayu Islam Berebut Kuasa Dan Peluang: Si Kafir Naik Toncang

Pemimpin Melayu Islam Berebut Kuasa Dan Peluang: Si Kafir Naik Toncang

Sejak kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020, rakyat Malaysia kelihatan begitu gembira dan menarik nafas lega kerana sentimen-sentimen sempit yang menghina Islam, memperkecilkan orang Melayu dan memperkelehkan Raja-raja Melayu yang berjaya dihentikan.

Ia bermula dengan usaha menyatukan orang-orang Melayu di bawah Muafakat Nasional pada 14 September 2019.

Penyatuan itu telah memberikan dampak yang besar, sehingga Kerajaan PH boleh tumbang dengan segera dan dapat mengunci kebiadaban mulut-mulut mereka.

Tetapi belum pun sampai setahun Kerajaan PN yang mencantumkan tiga parti Melayu – PAS, Umno dan Bersatu – berkuasa, kini perpaduan telah bergolak semula.

Puncanya apa?

Kerana pemimpin-pemimpin mereka berebut kuasa.

Di luar PN, seorang pemimpin Melayu PH ke sana ke sini mengejar kuasa dengan didukung oleh orang yang tidak seagama dengannya.

Biarlah dia, kerana semua orang tahu, sudah lama dia mengidam kuasa.

Meroyanlah dia seorang diri, kerana dia tidak akan mendapat kuasa selagi orang Melayu bermuafakat tanpa mementingkan diri.

Tetapi malang sekali.

Orang Melayu yang baru sahaja disatukan, kini saling mencakari.

Kerana kuasa, pengaruh, kedudukan dan jawatan, saban hari mereka berselisih pandangan.

Sekejap mereka merungut, sekejap mereka mengugut.

Sekejap mereka mendesak, sekejap mereka mendetak.

Sekejap mereka menuntut, sekejap mereka mahu meletup.

Sekejap mereka mengata, sekejap mereka mencerca.

Mereka mahu kerusi, mereka mahu gaji, mereka mahu menteri.

Mereka lupa diri.

Sebelum ini mereka melatah, mereka berpecah, mereka terbelah, musuh pun meratah.

Sedarlah wahai para pemimpin Melayu.

Kerana anda semua bergaduh, musuh anda mengangkat sauh.

Mereka bergerak ke istana kerana mendakwa nombor mereka telah cukup bilangannya.

Alasan mereka ialah kononnya bilangan itu termasuk kamu semua.

Kamu pula, dahulu bersedih kerana agama dan bangsa telah terhina.

Kalu dibinakan persatuan supaya maruah kamu kembali mulia.

Tiba-tiba kamu kembali ‘gila’ bila melihat kuasa.

Syaitan apakah yang menghasut kamu, wahai saudara-saudara?

Ketika kamu mula bercakaran, nah!

Lihat sendiri bagaimana musuh-musuh kamu, si kafir mula naik toncang.

Mereka berani semula bersuara.

Mereka kembali mengangkat kepala.

Budak-budak dan juga yang dewasa.

Mereka mengugut istana dan mencerca raja.

Mereka menyindir agama secara terbuka.

Selepas ini apa lagi akan mereka kata.

Pasti kebiadaban lama akan berbangkit semula.

Semuanya datang dari satu punca.

Perebutan kuasa para pemimpin bangsa kita!

Marilah kita belajar dari sejarah.

Bagaimana Baghdad dahulunya terjajah.

Kerajaan Abbasiyah yang kuat berpecah menjadi 15 daulah.

Hanya di Kota Baghdad sahaja berkuasa Sang Khalifah.

Berebut pula pemimpin Sunni dan Syiah.

Mahu menguasai politik khalifah dan daulah.

Sang wazir, Muayiduddin Alqami membuat ulah.

Menjemput Monggol datang menjarah.

Runtuh Baghdad di tangan si kafir laknatullah.

Puncanya kerana pemimpin sendiri yang berpecah-belah.

Kerana secangkir kuasa mereka berbalah.

Akhirnya kerajaan berusia 524 tahun itu pun rebah.

Saat jatuhnya Baghdad, seorang cerdik pandai berbangsa Ghaziyah berkata, “Ada hal-hal yang ditertawakan oleh orang-orang pandir, sementara hal-hal itu mendatangkan dampak yang membuat menangis orang-orang yang berakal dan berfikir!”

Mohd Fadli Ghani

Isu Semasa