Saya merujuk kepada sebuah kenyataan terbuka yang dikeluarkan pada 30 Oktober di laman Facebook University of Malaya Association of New Youth (UMANY) yang meminta YDPA tidak campur tangan dalam urusan dan hal ehwal negara.
GAMIS dengan ini mengecam tindakan biadab tersebut dan menggesa agar permohonan maaf secara terbuka dikeluarkan secepat mungkin.
Peranan YDPA adalah signifikan dalam menjaga keseimbangan kuasa dalam urus tadbir negara kita dan perkara ini sememangnya diiktiraf dalam perlembagaan persekutuan.
Kenyataan UMANY yang hanya memetik Perkara 40 (1A) dan 40 (2) tanpa menyertakan sekali peranan YDPA sebagaimana dalam Perkara 32 (1), Perkara 39 dan Perkara 44 membuktikan bahawa UMANY cuba mengelirukan orang awam dan membawa konotasi kurang baik terhadap YDPA.
Selepas meneliti kesemua peruntukan berkaitan yang terdapat dalam perlembagaan, jelaslah bahawa YDPA sebagai sebuah entiti yang bukan sahaja menjadi ketua negara Malaysia, bahkan turut berperanan sebagai salah satu elemen imbang kuasa yang penting dalam institusi demokrasi berparlimen Malaysia.
GAMIS mempersoalkan niat dan tujuan utama UMANY dalam mengeluarkan kenyataan tersebut.
Apakah yang ingin disampaikan oleh UMANY menerusi sebuah kenyataan yang berbaur persepsi dan konotasi yang negatif terhadap tindakan YDPA?
Sekiranya atas dasar peringatan dan nasihat kepada YDPA agar bertindak dalam ruang lingkup mengikut perlembagaan, maka contoh yang UMANY datangkan adalah contoh yang tidak konkrit.
Perbuatan UMANY yang ingin menyentuh dan menasihatkan tentang perbuatan Baginda melalui laman media sosial semata-mata merupakan satu perbuatan yang kurang ajar dan biadab.
UMANY membawa Belanjawan 2021 yang dikatakan telah diluluskan dengan persetujuan YDPA dan wakil kerajaan tanpa ia sempat dibahaskan walhal YDPA hanya menjalankan tugas Baginda dengan menasihatkan agar Belanjawan 2021 diluluskan tanpa gangguan oleh ahli politik yang berlebihan.
Melihat konteks politik sekarang yang diselubungi ahli politik yang gila kuasa, terdapat kemungkinan RUU Belanjawan yang akan dibahaskan akan gagal diluluskan atas faktor amalan ‘politiking’ yang berlebihan.
Demi mengelakkan rakyat daripada menjadi mangsa ekoran kegagalan bajet diluluskan, YDPA telah menasihatkan agar kebajikan rakyat diutamakan dan Belanjawan 2021 diluluskan tanpa gangguan.
Namun, Seri Paduka tidak pula menyatakan hak ahli parlimen untuk membahaskan Belanjawan 2021 itu dinafikan.
Adakah salah YDPA mengeluarkan nasihat sesuai dengan peranan Baginda dalam perlembagaan demi kebajikan rakyat?
Implikasi amat besar akan dirasai oleh negara sekiranya Belanjawan 2021 tidak berjaya diluluskan yang akan mengakibatkan kerajaan akan menghadapi kesukaran untuk merealisasikan strategi pengawalan wabak dan pemulihan ekonomi atau Strategi Pemulihan 6R.
Negara juga akan berdepan dengan empat kesukaran iaitu memastikan pertumbuhan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat terutama kelompok miskin termasuk miskin bandar yang boleh dilihat selepas Oktober ini iaitu pasca tiada lagi moratorium.
Namun, isu kali ini bukanlah satu perkara asing dengan UMANY dan bukan kali pertama UMANY telah melakukan perkara biadab.
Pada 2019, mantan ketua UMANY, Wong Yan Ke telah pun mencetuskan kontroversi apabila membuat kekecohan dengan mengangkat plakad sewaktu diatas pentas konvokesyen.
Meskipun atas dasar kebebasan bersuara, tindakan yang telah dilakukan Wong Yang Ke itu dikira sangat biadab dan tidak sesuai dengan waktu dan tempat.
Beberapa kenyataan biadab yang pernah dikeluarkan UMANY juga menjadi persoalan akan objektif dan peranan sebenar yang hendak dimainkan oleh kumpulan mahasiswa ini yang kononnya mendokong aspirasi demokrasi.
Apa mungkin wujud tangan ghaib sebalik tindakan-tindakan bodoh UMANY?
Permohonan maaf secara rasmi masih belum dikeluarkan sehingga saat ini.
GAMIS menuntut dengan seadil-adilnya agar pihak UMANY sedar akan kesilapan dan kebiadapan mereka menerusi kenyataan berbaur persepsi yang tidak baik terhadap YDPA.
Kami juga merasakan adalah amat wajar kedudukan UMANY sebagai sebuah entiti di Universiti Malaya dikaji semula oleh pentadbiran UM.
Sanggupkah warga Universiti Malaya terus menanggung malu lantaran perbuatan bodoh UMANY yang berterusan menconteng arang pada reputasi UM sebagai universiti terbaik di Malaysia dan antara universiti terbaik Asia.
Saya juga merasakan kenyataan UMANY wajar disiasat oleh pihak PDRM ekoran terdapat elemen hasutan dalam pendirian yang telah UMANY zahirkan.
“DEMI ISLAM, MAHASISWA BANGKIT“
MOHD ZOFRIE ZULHILMIE RUSLEE,
PRESIDEN
GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS) 2020