Cadangan Pengisytiharan Darurat Bukan Kehendak PM Tetapi Nasihat Kabinet

Cadangan Pengisytiharan Darurat Bukan Kehendak PM Tetapi Nasihat Kabinet

Bertalu-talu nampaknya serangan yang dikemukakan terhadap Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin, berhubung dengan cadangan pengisytiharan darurat.

Naratif yang sedang galak dikemukakan ialah bahawa ia kononnya adalah kehendak Perdana Menteri untuk menyelamatkan diri beliau.

Fakta-fakta sebenar yang wujud adalah:

1) Cadangan mengisytiharkan darurat pada mulanya dibincangkan di dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada hari Rabu, 21 Oktober 2020.

Ahli-Ahli MKN yang hadir di dalam Mesyuarat MKN ini adalah Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin; Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob; Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Hamzah Bin Zainudin; dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Dato’ Saifuddin Bin Abdullah; Panglima Angkatan Tentera, YBHG. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi Bin Buang; Ketua Polis Negara, YBHG. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bin Bador; dan Ketua Setiausaha Negara, YBHG. Tan Sri Mohd Zuki Bin Ali. Turut hadir ialah Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Bin Haji Yusof; Peguam Negara, YBHG. Tan Sri Idrus Bin Harun; Ketua Pengarah Kesihatan, YBHG. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Bin Abdullah; dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, YBHG. Datuk Mohd Rabin Bin Basir.

Mesyuarat MKN pada hari Rabu, 21 Oktober 2020, ini mencapai keputusan sebulat suara untuk membawa cadangan perisytiharan darurat ke kabinet untuk dibincangkan.

2) Mesyuarat Khas Kabinet selanjutnya dilangsungkan pada pagi hari Jumaat, 23 Oktober 2020, bagi membincangkan cadangan perisytiharan darurat.

Kertas Mesyuarat Jemaah Menteri telah disediakan dan diedarkan kepada semua ahli mesyuarat.

Mesyuarat Khas Kabinet pada hari Jumaat, 23 Oktober 2020, ini memutuskan untuk memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya membuat perisytiharan darurat.

3) Pada petang hari Jumaat, 23 Oktober 2020, rombongan seramai 12 ahli telah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Kuantan, Pahang, bagi menyembahmaklumkan “Nasihat Kabinet” di bawah Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan supaya Yang di-Pertuan Agong membuat perisytiharan darurat.

Semua 12 ahli rombongan ini telah bercakap di depan Yang di-Pertuan Agong bagi menyembahmaklumkan nasihat Kabinet ini, di mana mereka adalah terdiri daripada:

i) Perdana Menteri, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Bin Hj. Mohd. Yassin;

ii) Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Bin Ali;

iii) Menteri Kanan Pertahanan, YB Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob;

iv) Menteri Kanan Kerja Raya, YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Bin Haji Yusof;

v) Menteri Kewangan, YB Senator Dato’ Sri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz;

vi) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), YB Dato’ Takiyuddin Bin Hassan;

vii) Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Hamzah Bin Zainudin; dan

viii) Peguam Negara, YBHG. Tan Sri Idrus Bin Harun;

ix) Ketua Pengarah Kesihatan, YBHG. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Bin Abdullah;

x) Panglima Angkatan Tentera, YBHG. Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi Bin Buang;

xi) Ketua Polis Negara, YBHG. Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hamid Bin Bador; dan;

xii) Ketua Setiausaha Negara, YBHG. Tan Sri Mohd Zuki Bin Ali.

Oleh itu, sangatlah tidak betul jika dikatakan bahawa cadangan pengisytiharan darurat ini kononnya adalah kehendak Perdana Menteri untuk menyelamatkan diri beliau kerana:

1) Cadangan pengisytiharan darurat ini sebenarnya adalah “Nasihat Kabinet” seperti yang termaktub di bawah Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

2) Ahli-Ahli Mesyuarat MKN pada hari Rabu, 21 Oktober 2020, dan Mesyuarat Khas Kabinet pada hari Jumaat, 23 Oktober 2020, yang terdiri daripada Menteri-Menteri daripada semua parti komponen Perikatan Nasional dan Barisan Nasional, selain pegawai-pegawai tertinggi kerajaan, sudah pasti akan membangkang cadangan pengisytiharan darurat ini dari awal lagi jika ia adalah kehendak Perdana Menteri untuk menyelamatkan diri beliau semata-mata.

Ia, di dalam kata lain, adalah keputusan kolektif Jemaah Menteri, bukannya keputusan Perdana Menteri.

Oleh itu juga, sangatlah tidak wajar untuk pemimpin dan ahli mana-mana parti komponen Perikatan Nasional dan Barisan Nasional untuk terus-terusan mengkritik Perdana Menteri atas cadangan ini bila wakil-wakil mereka di dalam Mesyuarat MKN dan Mesyuarat Khas Kabinet turut bersetuju dengannya.

Kamarul Yusoff

Isu Semasa