Saya pernah beberapa kali bertemu Datuk Lokman Adam dahulu dan in person beliau agak lemah-lembut orangnya.
Begitupun, dalam siri-siri sembang Facebook beliau ternyata beliau begitu kasar dan lantang sekali bila bercakap.
Masih saya ingat betapa saya menegur beliau bila beliau selaku Ahli Majlis Tertinggi UMNO dalam siri sembang Facebook beliau pada 3 Februari 2020:
1) Mendakwa Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mengaku mahu bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk satu pakatan baru bernama Pakatan Nasional.
2) Mendakwa Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berbuat demikian demi untuk “nak melepaskan tengkuk dia daripada 87 pertuduhan (di mahkamah).”
3) Mencaci maki Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dengan antara lainnya menyebut “Apa kejadah ni? Apa kejadah? Macam ni ke Presiden UMNO?”, “Inilah manusia durjana yang langsung tak ada rasa malu dan aib” dan “Presiden pekak kita ini.”
4) Mendedahkan apa yang didakwa sebagai butiran perbualan antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dengan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya “sebarang kerjasama tanpa Datuk Seri Najib Razak tidak akan membuahkan sebarang hasil”.
5) Mendedahkan apa yang didakwa sebagai perancangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk kononnya mewujudkan lima jawatan Timbalan Perdana Menteri bagi Pakatan Nasional, seorang setiap satu untuk UMNO, PAS, Sabah, Sarawak dan kaum Cina.
Ekoran daripada tindakan beliau ini, Majlis Tertinggi UMNO dalam mesyuaratnya pada 7 Februari 2020 memutuskan untuk melucutkan keahlian UMNO Datuk Lokman Adam berkuat kuasa serta-merta mengikut Fasal 10.6 Perlembagaan UMNO kerana tindakan beliau yang melanggar Fasal 20.8 (a)(b)(d)(e)(f) dan (g) Perlembagaan UMNO.
Mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi UMNO ini, Setiausaha Agung UMNO waktu itu, Tan Sri Annuar Musa, menyebut “sesungguhnya Lokman dalam banyak perkara tidak bercakap benar”, sambil menambah bahawa keputusan ini diambil selepas ia dicadang dan diluluskan oleh Mesyuarat Biro Politik UMNO pada hari yang sama.
Pagi semalam pula saya sekali lagi menonton siri sembang Facebook beliau pada 28 Oktober 2020 dalam mana beliau, selain mencaci maki Tan Sri Muhyiddin Yassin:
1) Mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin mengugut untuk menangkap Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak.
Ayat yang beliau gunakan ialah:
“Eh, kena ingat, Muhyiddin, kau ingat kau tangkap Anwar Ibrahim ke, kau tangkap Zahid Hamidi ke, kau tangkap Najib ke, kau ingat lepas ni kita orang akan duduk diam ke?
“Cuba buat, cuba buat kalau kau nak tengok apa berlaku…
“Cuba buat. Saya cabar, cabar, kita tengok apa berlaku.”
2) Mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin terlibat di dalam menentukan pemimpin mana yang akan didakwa dan pemimpin mana yang tidak akan didakwa di mahkamah, termasuk dengan kononnya melakukan pendakwaan terpilih terhadap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Ayat yang beliau gunakan ialah:
“Contohnya yang baru-baru ni kau dakwa Lim Guan Eng. Apa dulu masa kau jadi Menteri Dalam Negeri kau ni lembu sangat tak tahu? Kau lebih daripada tahu tetapi kenapa ketika itu kau tutup mulut? Sebab ketika itu Lim Guan Eng adalah rakan kongsi kau. Ketika itu kau cium mulut dengan DAP. Ketika itu kau pergunakan DAP untuk meraih undi orang Cina. Hari ni bila DAP dah tak bersama dengan kamu baru kamu nak melakukan pendakwaan ke atas Lim Guan Eng.”
Sebab itulah tidak mengejutkan bila Datuk Lokman Adam memaklumkan malam tadi bahawa beliau ditahan oleh polis.
Kamarul Yusoff