Sudahlah belum selesai isu pekebun Durian secara haram di Raub Pahang, kali ini timbul pula pendedahan kewujudan kilang-kilang haram di Selangor pula.
Dan trend kedua-dua isu ini sama sahaja, iaitu ada politikus yang memegang kuasa mempertahankannya dan ‘yang haram bakal dihalalkan’.
Apalah malangnya nasib kita semua rakyat marhaen biasa ini.
Semalam, media melaporkan terdapat 5,589 kilang di Selangor yang beroperasi secara haram.
Walaupun mereka ada lesen perniagaan “…..tetapi belum memenuhi syarat teknikal seperti status tanah, pengezonan atau kebenaran merancang perniagaan…”.
Malangnya, Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor, YB Ng Sze Han tidak bersetuju untuk kilang-kilang ini disekat tetapi memberikan ruang untuk mereka terus beroperasi di samping berusaha memenuhi aspek-aspek teknikal dibawah projek Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran Selangor.
Lebih mengecewakan kita ialah walaupun tarikh pematuhan sudah tamat pada 30 September lepas namun kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyambungkannya sehingga 31 Disember 2020.
Bagi saya ini bukan persoalan “perlu masa untuk mematuhi”, tetapi ianya berkenaan persoalan yang lebih besar iaitu bagaimana kilang-kilang ini boleh menjalankan operasi mereka tanpa kelulusan sampai sekarang?
Kenapa tidak ada tindakan awal diambil?
Apakah pihak PBT tak tahu atau sengaja mendiamkan diri?
Kalau ada elemen rasuah kenapa SPRM tak ambik tindakan?
Jabatan Alam Sekitar pula bagaimana?
Mustahil juga Menteri Besar tidak tahu perkara ini.
Adakah masuk akal sejumlah 5,589 kilang yang beroperasi secara haram tapi tiada yang sedar?
Adakah Exco kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat tidur?
Atau ada pihak yang telah “menyuap” pihak berkuasa sehingga semua tutup mulut?
Walaupun sudah terbongkar, kerajaan negeri tidak malu pula mempertahankan kilang-kilang ini.
Tidak hairanlah Selangor selalu tiada air disebabkan pencemaran.
Entah berapa ratus juta kerajaan harus tanggung untuk pulih keadaan sedangkan pihak pengilang duduk bersenang-lenang mengaut keuntungan. Yang jadi mangsa tetap rakyat marhaen.
Oleh itu, saya menyeru rakyat untuk menolak pemimpin-pemimpin rakus dan tidak berintegriti yang ada pada hari ini dan pilihlah pemimpin yang betul-betul amanah dan berkerja untuk kepentingan rakyat bukan perut sendiri.
Aminuddin Yahaya
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)