Baca Ayat Quran Atas Jenazah Sebelum Dibawa Ke Kubur

Baca Ayat Quran Atas Jenazah Sebelum Dibawa Ke Kubur

SOALAN:

Apabila selesai solat atas jenazah di masjid sementara siap alat pengusung untuk menghantarnya ke kubur ada beberapa orang membaca ayat Quran dekat jenazah tetapi ada seorang yang melarang dan katanya perbuatan baca Quran ke atas jenazah selepas solat jenazah adalah bidaah yang haram.

Mohon jawapan dari ustaz mana satu yang benar?

JAWAPAN:

Apabila selesai solat jenazah disunatkan bersegera membawa jenazah ke tanah perkuburan.

Akan tetapi jika sementara cukup orang-orang untuk mengusungnya atau sementara siap pengusung atau seumpamanya maka tidak mengapa menunggu sekejap.

Dan sementara menunggu itu jika dibacakan ayat-ayat Quran di sisi jenazah maka ialah elok dan tidak dilarang sama sekali.

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a. kata beliau: Aku telah dengar akan Rasulullah saw bersabda:

إِذَا مَاتَ أَحَدُكُمْ فَلَا تَحْبِسُوهُ، وَأَسْرِعُوا بِهِ إِلَى قَبْرِهِ، وَلْيُقْرَأْ عِنْدَ رَأْسِهِ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ، وَعِنْدَ رِجْلَيْهِ بِخَاتِمَةِ الْبَقَرَةِ فِي قَبْرِهِ

Artinya: “Apabila mati seorang kamu maka jangan kamu menahannya dan segeralah kamu sekelian dengannya kepada kuburnya dan bacalah disisi kepalanya akan fatihah dan disisi kakinya akan penutup surah Al-Baqarah pada kuburnya.”
(Hadith riwayat At-Tabarani dan Al-Baihaqi dan berkata Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar di dalam kitab Fathul Baari adalah sanad hadith ini hasan.)

Tersebut pada Himpunan Majlis Fatwa Negeri Mesir:

لا مانع شرعًا من ذلك؛ فقراءة القرآن على الميت مستحبةٌ مطلقًا -وهذا ما عليه عمل المسلمين سلفًا وخلفًا-، بل إن الانتظار بالجنازة على النحو المذكور مع قراءة القرآن الكريم يكون أَولى من الانتظار بغيره. : دار الإفتاء المصرية

Artinya: “Tiada halangan di sisi syarak daripada membaca Quran sebelum di bawa ke kubur. Maka membaca Quran atas mayat itu disunatkan secara mutlak. Inilah apa yang telah diamalkan oleh sekelian Muslimin salaf dan khalaf bahkan menunggu dengan jenazah atas umpama yang tersebut serta membaca Quran adalah ia lebih utama dari menunggu dengan (melakukan) yang lainnya.”
(Darul Ifta Mesir)

Kesimpulannya tidak dilarang bahkan elok dibacakan ayat-ayat Quran dekat jenazah samada sebelum dimandikan atau sebelum disembahyangkan atau selepasnya atau ketika membawanya ke tanah perkuburan dan ketika di tanah perkuburan samada sebelum tanam atau selepas tanam.

Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus

Soal Jawab