SOALAN:
Kalau kita hendak sembahyang tapi tidak pasti waktu sudah masuk atau belum masuk sebab berada di tempat yang tidak dengar azan adakah boleh kita sembahyang juga?
JAWAPAN:
Di antara syarat sah sembahyang ialah yakin waktu sudah masuk atau berat sangkaan waktu sudah masuk.
Jika tidak tahu adakah sudah masuk waktu atau belum maka tidak harus dan tidak sah dikerjakan sembahyang.
Berkata Imam Ibnu Quddamah:
إذَا شَكَّ فِي دُخُولِ الْوَقْتِ، لَمْ يُصَلِّ حَتَّى يَتَيَقَّنَ دُخُولَهُ، أَوْ يَغْلِبَ عَلَى ظَنِّهِ ذَلِكَ
فَمَتَى فَعَلَ ذَلِكَ، وَغَلَبَ عَلَى ظَنِّهِ دُخُولُ الْوَقْتِ، أُبِيحَتْ لَهُ الصَّلَاةُ، وَيُسْتَحَبُّ تَأْخِيرُهَا قَلِيلًا احْتِيَاطًا، لِتَزْدَادَ غَلَبَةُ ظَنِّهِ
Artinya: “Apabila seorang itu syak tentang masuknya waktu nescaya tiada boleh sembahyang sehingga dia yakin masuknya atau berat sangkaan telah masuknya waktu.
“Maka apabila seorang telah berijtihad dan berat sangkaannya telah masuk waktu nescaya diharuskan baginya sembahyang. Dan disunatkan melambatkan sembahyang sedikit kerana berhati-hati supaya bertambahlah kuat sangkaannya.”
(Kitab Al-Mughni)
Oleh kerana itulah seorang itu wajib berijtihad untuk menentukan apakah waktu sembahyang sudah masuk atau belum kerana disyaratkan yakin telah masuk waktu apabila hendak mendirikan sembahyang.
Barang siapa yang mengerjakan sembahyang dalam keadaan tidak tahu adakah waktu telah masuk atau belum nescaya sembahyangnya itu tidak sah.
Berkata Dr Wahbah Zuhaili:
لا تصح الصلاة بدون معرفة الوقت يقيناً أو ظناً بالاجتهاد، فمن صلى بدونها لم تصح صلاته، وإن وقعت في الوقت، لتكون عبادته بنية جازمة، لاشك فيها، فمن شك لم تصح صلاته؛ لأن الشك ليس بجازم. والدليل: هو قوله تعالى:
{إن الصلاة كانت على المؤمنين كتاباً موقوتاً} [النساء:103/ 4]، أي فرضاً مؤقتاً محدوداً بوقت.
Artinya: “Tidak sah sembahyang tanpa mengetahui waktu dengan yakin atau zhan dengan berijtihad. Maka siapa yang sembahyang tanpa mengetahui masuk waktu nescaya sembahyangnya tidak sah sekalipun dikerjakannya di dalam waktu supaya adalah ibadahnya itu dengan niat yang putus yang tiada syak padanya. Maka siapa yang syak nescaya tidak sah sembahyangnya dari kerana sungguhnya syak itu bukanlah jazam namanya. Dan dalil nya ialah firman Allah Taala:
Sungguhnya sembahyang lima waktu adalah ia atas sekelian orang mukmin kewajipan yang berwaktu. Artinya kefarduan yang yang ditetapkan akan waktunya.”
(Kitab Al-Fiqh Al-Islamy)
Kesimpulannya orang yang tidak tahu adaklah waktu sembahyang telah masuk atau belum nescaya tiada harus dia memulakan sembahyang dan jika dikerjakan juga nescaya tidak sah sembahyangnya.
Bersamaan hukum ini pada sembahyang fardhu atau sunat yang mempunyai waktu.
Contoh sembahyang sunat itu ialah sembahyang gerhana maka tidak sah sembahyang gerhana jika tidak diketahui samada gerhana sudah berlaku atau belum kerana syarat sah sembahyang gerhana itu ialah apabila gerhana telah berlaku.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus