Peranan Masyarakat Awam Dalam Kes Bunuh

Peranan Masyarakat Awam Dalam Kes Bunuh

Seorang anak telah dibunuh oleh rakannya.

Maka, riuhlah media sosial ingin mendedahkan siapakah pembunuhnya, apakah puncanya dengan segala jenis kecaman yang hilang roh kemanusiaan.

Adakah mangsa akan hidup kembali? Tidak.

Kesilapan yang dilakukan tertuduh tidak mungkin boleh dibaiki semula.

Tetapi di Malaysia, kehidupan si tertuduh ini (jika disabitkan bersalah oleh mahkamah), sama ada bakal berakhir di tali gantung atau di dalam penjara.

Selepas hukuman dijatuhkan, dia akan kekal hidup sebagai manusia dan keluarganya akan kekal hidup tanpa dirinya.

Pastinya untuk satu waktu yang lama, kerana tertuduh masih muda.

Pada tahun 2000 di Iran, kisah yang sama telah berlaku kepada seorang remaja yang bernama Murteza Amini Moqaddam yang berusia 17 tahun.

Pergaduhan berlaku di antara pesalah dan rakannya, sebelum mangsa mati kerana tikaman yang serius.

Pesalah di bawa ke tempat hukuman gantung di tempat awam.

Ibunya di saat akhir, tiba-tiba memaafkan pesalah, walaupun didesak oleh masyarakat yang hadir untuk tidak memaafkan mangsa.

Walhal, pada waktu itu, tali gantung sudah pun di sekeliling leher pesalah.

Keinsafan yang mendalam, bersama perasaan penuh kesal dan mengaku salah, menyebabkan pesalah berjanji bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang berguna dalam hidup dan berguna kepada masyarakat hingga akhir hayatnya.

Demikianlah keindahan undang-undang jenayah Islam.

Kebaikannya dirasai oleh mangsa, keluarga mangsa, sehinggalah kepada pesalah.

Banyak negara sebenarnya telah mengguna pakai prinsip keadilan seakan-akan qisas dan diyat iaitu yang dipanggil sebagai keadilan restoratif.

Konsep keadilan restoratif membawa maksud keadilan tidak lagi berfokus kepada hukuman terhadap pesalah semata-mata.

Konsep keadilan mereka telah berpindah kepada memberi kebajikan kepada mangsa dan memberi pemulihan kepada pesalah.

Dalam proses tersebut, satu pertemuan akan diadakan antara mangsa, wakil masyarakat dan pesalah, bersama-sama seorang fasilitator atau pegawai khas yang akan membantu perbincangan supaya mencapai objektif.

Perbincangan ini akan memberi lebih fokus kepada memulihkan hubungan dan membayar pampasan sebagai jalan penyelesaian.

Berbalik kepada kes jenayah yang dibincangkan, apabila pembunuhan berlaku, kemudaratan telah pun terjadi.

Seeloknya, kita serahkan kepada pihak berwajib menjalankan tugasnya.

Lebih-lebih lagi di Malaysia, kehidupan pesalah selepas melakukan jenayah, hakikatnya tidak ada kaitan langsung dengan kita, masyarakat biasa.

Oleh itu, masyarakat awam yang bertanggungjawab adalah masyarakat yang melibatkan diri mencegah kejadian-kejadian seperti itu daripada berlaku, tidak kisahlah melalui jalan/ wasilah apa sekali pun.

Masyarakat awam yang bertanggungjawab (dan beriman) juga perlu menyumbang usaha untuk membawa keindahan undang-undang jenayah Islam ke Malaysia.

Hukuman qisas (hukuman bunuh untuk kesalahan membunuh) dan diyat (pampasan sebagai alternatif qisas) memberi ketenangan kepada semua pihak.

Keluarga mangsa lapang tanpa dendam dan sakit hati.

Pesalah diberi peluang untuk bertaubat dan dibimbing ke jalan yang benar.

Masyarakat aman tanpa ancaman jenayah.

Hati tenang adalah makna kebahagiaan sebenar.

Hati yang kacau, risau tidak menentu, tetapi tidak mahu menyumbang sesuatu.

Janganlah kita tergolong menjadi warga internet yang begitu.

Muna Rime

Rujukan utama: Keadilan Restoratif dan Retributif dalam Syariah dan di Malaysia: Satu sorotan; Ramizah Wan Muhammad.

Isu Semasa