Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyifatkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan hari ini sebagai ‘belanjawan peduli rakyat’ kerana mengutamakan golongan itu melebihi segala-galanya.
Presidennya, Adnan Mat, berkata walaupun tiada pengumuman kenaikan gaji atau bonus tambahan kepada kakitangan awam, fokus untuk memperkasakan sistem perkhidmatan awam dan kebajikan warganya tetap dialu-alukan.
Beliau berkata, dalam usaha mencegah penularan COVID-19, CUEPACS amat berpuas hati dengan Belanjawan 2021 yang diumumkan kerana ia menyokong kerja keras penjawat awam terutama petugas barisan hadapan.
Katanya, ia terbukti dengan RM1 bilion diperuntukkan bagi membendung gelombang ketiga meliputi pelbagai manfaat seperti kit saringan, peralatan perlindungan diri (PPE) dan cecair pencuci tangan dan peralatan lain.
Katanya, lebih istimewa apabila petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) diberikan one-off RM500.
“Bagaimanapun, CUEPACS melihat konteks petugas barisan hadapan itu harus diperluaskan kepada beberapa jabatan lain seperti anggota polis atau tentera dan tidak hanya tertumpu kepada petugas KKM.
“Seterusnya, langkah kerajaan akan memperkenalkan inisiatif MySTEP atau Short-term Employment Programme (Program Pekerjaan Jangka Pendek) dengan peruntukan lebih RM700 juta membuktikan sektor perkhidmatan kerajaan wajar diperkasakan lagi kerana ia sememangnya nadi kepada pembangunan negara.
“lnisiatif itu akan menawarkan 50,000 peluang pekerjaan secara kontrak dalam sektor awam dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC bermula Januari 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Adnan berkata, di bawah inisiatif itu, 35,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan di dalam sektor awam dengan keutamaan mengisi jawatan seperti jururawat, pembantu perubatan, pegawai kebajikan masyarakat dan guru sementara.
Katanya, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula akan menyediakan 15,000 peluang pekerjaan mengutamakan bidang teknikal dan kewangan serta turut dipanjangkan kepada graduan untuk menjalani program perantis.
Berita Harian