MCA Bincang Bangun Kampung Baru Cina Dengan Parti Komunis China?

MCA Bincang Bangun Kampung Baru Cina Dengan Parti Komunis China?

Parti berasaskan perkauman, MCA dilaporkan menyertai program diskusi bersama Parti Komunis China, baru-baru ini bagi membincangkan pembangunan kampung baru melibatkan beberapa buah negara.

Naib Presiden MCA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal People’s Republic of China (PRC) dan Pusat Inisiatif Belt and Road MCA, Datuk Tan Teik Cheng telah mewakili Malaysia membincangkan kemajuan dan pembangunan kampung baru Cina.

Program diskusi yang turut disertai 25 pemimpin dari tiga sektor utama MCA itu, dinamakan sebagai ‘Melihat Parti Komunis China dari Atas Awan’ pada Khamis lalu bersamaan 5 November.

Program berkenaan dijalankan secara panggilan video dan disertai 130 peserta antaranya dari Malaysia, Pakistan, Myanmar, Nepal dan Sri Lanka.

Inisiatif Parti Komunis China berkenaan adalah bagi menerangkan kaedah revitalisasi desa, dengan para peserta dibawa ‘mengunjungi’ tiga kampung di daerah Yunnan, China.

Mereka dibawa ‘berjalan sambil melihat’ kampung-kampung tersebut untuk memahami usaha pembangunan industri luar bandar China, serta peranan Parti Komunis China dalam usaha revitalisasi desa.

Sementara itu, Teik Cheng ketika dijemput memberi ucapan berkata, program diskusi itu dilihat memberi manfaat kepada ramai pihak.

“Terdapat 607 buah kampung baru di Malaysia, hubungan MCA dengan kampung baru sangatlah erat dan kampung baru telah wujud sebelum kemerdekaan Malaysia lagi.

“Pada waktu itu, penjajah British telah mengarahkan diaspora etnik Cina di luar bandar untuk ditempatkan sekali, penempatan-penempatan ini akhirnya menjadi kampung baru Cina,” katanya.

Menyifatkan MCA sebagai pihak yang banyak bertanggungjawab membantu dalam pelbagai aspek pembangunan di kampung baru, Teik Cheng berkata, usaha itu sehingga menjadikan ‘kampung baru dilihat sebagai MCA dan MCA dilihat sebagai kampung baru, ada MCA ada kampung baru’.

“MCA secara sukarela telah bekerja untuk pembangunan kampung baru. Di bawah jagaan MCA dan kerajaan, kampung baru telah berkembang pesat dan makmur dalam beberapa dekad ini.

“MCA telah membantu dalam pembinaan rumah, jalan, jambatan dan kemudahan asas serta menggalakkan penduduk kampung baru mendapatkan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa contoh kejayaan transformasi kampung baru antaranya ialah 10 buah kampung baru Cina di pantai timur Semenanjung Malaysia di Raub, Pahang.

Umum mengetahui, Raub ketika ini menghadapi kontroversi pencerobohan tanah haram yang berlarutan sejak bertahun lamanya oleh pekebun durian.

Pun begitu, Teik Cheng pula berbangga dengan penghasilan durian Musang King di Raub kerana berkualiti tinggi dan berjaya menembusi pasaran luar negara sehingga tercetusnya keghairahan memakan durian jenis itu termasuk di China.

“Pada bulan lepas (5 Oktober) Festival Durian Malaysia China (Guang Xi) Online 2020 telah diadakan serentak di tiga lokasi di dua buah negara ini.

“Setelah hanya beberapa jam dimulakan 70,000 individu menghubungi terus pengusaha durian sehingga 300,000 biji durian Musang King bernilai RM30 juta habis terjual dalam masa hanya 50 minit 48 saat,” katanya.

Teik Cheng juga berkata, MCA akan terus bekerjasama dengan jabatan kerajaan berkaitan demi kemajuan dan pembangunan berterusan kampung baru serta menyumbang kepada usaha revitalisasi ekonomi kampung baru.

Ismaweb

Isu Semasa