Kalau sekadar minat tak tentu pasal tanpa objektif, tak perlulah bersusah-payah menghabiskan masa bercakap dan menulis hal-hal politik.
Memadai sekadar ambil tahu hal semasa untuk mudah memangkah nanti.
Kalau berpolitik kerana menyokong ahli keluarga yang menjadi pemimpin parti politik, baik berhentilah berpolitik kerana ini politik mangkuk; politik yang mengharapkan kuah mengalir ke dalam mangkuk sendiri.
Dahulunya pernah dikumandangkan nepotisme.
Kalau berpolitik kerana tidak berpuas hati terhadap pemerintah atau pembangkang, anda tidak akan ke mana.
Kepuasan tidak pernah berkompromi dengan nafsu.
Akan ada sahaja keputusan politik yang tidak sealiran dengan nafsu anda.
Demikian juga sekiranya anda berpolitik kerana kepentingan diri.
Anda akan menjadi tidak ikhlas, sanggup berbohong dan bersekongkol dengan pihak yang menyeleweng asalkan anda berjaya mengaut kekayaan dan pangkat.
Berpolitik ini salah satu cabang Islam sebagai addin.
Rasul sebagai pemimpin ummah adalah pemimpin politik.
Manusia sebagai khalifah di muka bumi adalah tanggungjawab politik.
Kepimpinan dan menguruskan hidup manusia adalah politik.
Oleh sebab politik atau siasah itu cabang addin, maka berpolitiklah.
Jangan tinggalkan politik kerana ekonomi.
Jangan tinggalkan politik kerana semata-mata berdakwah.
Dan setelah berpolitik, sisihkan diri daripada kelompok politik fitnah.
Berpolitiklah tanpa meninggalkan tasbih di tangan.
Jangan anda tinggalkan politik kerana tidak suka bertengkar dan berbalah.
Ingat, Nabi dan para sahabat bukan sahaja berhadapan dengan pertengkaran dan perbalahan, malah mereka terlibat dalam banyak peperangan demi kuasa, pemerintahan dan kedaulatan Islam.
Jalan inilah yang diikuti oleh datuk nenek kita dahulu ketika menentang penjajah.
Mereka ulama, merekalah pejuang.
Berpolitiklah demi Islam.
Tidak menjadi ibadat sesuatu perbuatan melainkan dengan niat; maka niatlah kerana Allah.
Justeru lalui denai politik ini ikut aturan dan batasan agama.
Berpolitik biar menguntungkan Islam.
Barulah apa yang anda cakap, apa yang anda tulis dan apa yang anda buat dicatat sebagai amal taat.
Berpahala.
Kesannya sampai ke akhirat.
Ketika itu, habis harta kerana berpolitik; hati puas, alhamdulillah.
Habis masa dan tenaga kerana berpolitik, hati puas, alhamdulillah.
Habis masa di hujung jari di media sosial; berpuas hati, Alhamdulillah.
Allah masukkan rasa kepuasan dan redha di hati anda kerana anda berpolitik kerana-Nya.
Akhir sekali, sekiranya parti politik anda menang dan menguasai kerajaan, anda jangan musnahkan pahala berjuang kerana mengungkit pengorbanan.
Jangan dimusnahkan nikmat berjuang kerana merajuk tidak ditawarkan pangkat, projek dan jawatan.
Dan jangan pula merosakkan nama perjuangan kerana anda tamak membolot segala peluang yang terhidang.
Tanyalah diri sendiri, mengapa dan untuk apa anda berpolitik pada hari ini.
Aku melihat ramai orang membanting tulang berpolitik di empat penjuru alam.