UMANY Pengecut!

UMANY Pengecut!

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) maklum berkenaan kenyataan maaf dari pihak University of Malaya Association of New Youth (UMANY) dan tindakan mereka menarik balik kenyataan mereka bertarikh 30 Oktober yang lalu.

Namun GPMS melihat tindakan tersebut adalah satu tindakan bacul.

Tindakan ini seolah-olah seperti ‘baling batu sembunyi tangan’.

Hal ini demikian kerana telah beberapa kali UMANY bertidak melampaui batas dan biadab.

Sudah sampai masanya tindakan seperti ini dihentikan melalui amalan undang-undang.

Dalam pada masa yang sama UMANY dilihat cuba mengalihkan pandangan masyarakat bahawa mereka adalah golongan yang ditindas apabila menuduh pihak Polis Diraja Malaysia menyalahgunakan kuasa dan bertindak melampaui hak asasi manusia.

Ini adalah tindakan bacul dan sekali lagi mencabar prinsip kedaulatan undang-undang di dalam negara kita.

Dengan ini, GPMS bertegas tidak akan menarik balik laporan polis yang telah dibuat oleh semua cawangan dan ahli GPMS seluruh Negara bersama-sama rakan-rakan NGO seluruh negara.

Kami juga menyeru pihak polis agar tidak tunduk dengan permintaan daif UMANY supaya pihak polis menghentikan siasatan.

Siapa UMANY untuk menentukan gerak kerja dan siasatan pihak Polis?

GPMS sekali lagi bertegas bahawa UMANY perlu disiasat dibawah Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimeda 1998 kerana menyebar kebencian terhadap Yang Dipertuan Agong.

Jika tindakan tidak diambil oleh pihak berkuasa, GPMS bimbang lebih ramai individu mahupun kumpulan-kumpulan pelampau seperti UMANY akan membuat kenyataan-kenyataan yang menghina dan mempersenda isu-isu sensitif seperti ini.

GPMS juga telah menghantar surat rasmi kepada Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya pada 2 November yang lalu supaya pihak Universiti Malaya mengambil tindakan mengharamkan UMANY sebagai sebuah persatuan mahasiswa di Universiti tersebut.

GPMS merasakan bahawa tidak perlu ada persatuan pelampau yang mampu merosakkan akal waras mahasiswa dan tidak beradab.

Kerana ianya jelas bertentangan dengan prinsip kelima didalam rukun negara yang menjadi tunjang keharmonian masyarakat selama ini.

Akhir sekali, GPMS sebagai sebuah gerakan belia dan pendidikan tertua di negara ini tidak pernah gentar dan takut dengan mana-mana organisasi yang cuba mengkucar-kacirkan keamanan negara.

GPMS dan rakan-rakan NGO tidak akan duduk diam jika kes UMANY ini tidak dihukum sewarasnya.

GPMS juga akan terus menjadi sebuah gabungan pelajar melayu yang bermaruah dan mempertahankan suara pelajar-pelajar melayu dalam pelbagai isu termasuk isu nasional.

Sekian,

Salam Hormat

MOHD ALIF ANAS BIN HJ MD NOOR

Presiden GPMS

Isu Semasa