SOALAN:
Berkenaan hukum qaza’ itu bilakah ia makruh dan bilakah ia haram?
JAWAPAN:
Arti qaza’ ialah mencukur sebahagian rambut di kepala dan membiarkan sebahagian lagi.
Ia adalah dilarang oleh agama.
Telah diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a.:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَأَى صَبِيًّا قَدْ حُلِقَ بَعْضُ شَعَرِهِ وَتُرِكَ بَعْضُهُ ، فَنَهَى عَنْ ذَلِكَ ، وَقَالَ : احْلِقُوا كُلَّهُ أَوْ اتْرُكُوا كُلَّهُ
Artinya: “Sungguhnya Nabi saw telah melihat seorang budak lelaki telah mencukur sebahagian rambutnya dan meninggalkan sebahagiannya lalu baginda melarang daripada yang demikian itu dan bersabda : Cukurlah semuanya atau tinggalkan semuanya.”
(Hadith riwayat Imam Ahmad)
Dan pada riwayat Bukhari dan Muslim bekata Ibnu Umar r.a.:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ الْقَزَعِ
Artinya: “Rasulullah saw telah melarang dari perbuatan qaza’.”
Dan larangan qaza’ asalnya ialah makruh menurut jumhur ulamak.
Berkata Imam Nawawi:
يُكْرَهُ الْقَزَعُ ، وَهُوَ حَلْقُ بَعْضِ الرَّأْسِ
Artinya: “Dimakruhkan qaza’ dan yaitu mencukur sebahagian kepala.” (Al-Majmu’)
Akan tetapi hukum makruh ini ialah jika dilakukan qaza’ semata-mata bukan kerana mengikut fesyen orang-orang kafir atau orang-orang fasiq.
Jika qaza’ dilakukan kerana mengikut fesyen orang-orang kafir seperti artis-artis bukan Islam atau orang fasiq maka hukumnya adalah haram.
Tersebut pada Kitab Ba’dhu Manahi As-Syar’iyah:
فالقزع مكروه ، إلا إذا فعله صاحبه على وجه التشبه بالكفار أو الفساق ، ففي هذه الحال يكون محرماً لا مكروهاً : بعض المناهي الشرعية في السنة النبوية
Artinya: “Maka qaza’ ini makruh melainkan apabila pelakunya berbuat kerana menyerupai atau meniru dengan orang bukan Islam atau orang fasiq maka jadilah hukum qaza’ pada keadaan ini haram bukan lagi makruh.”
Ini adalah kerana ulamak telah menetapkan التشبه بالكفار محرم artinya menyerupai dengan orang kafir itu diharamkan.
Wallahua’lam
Ustaz Azhar Idrus