Sesuatu Yang PAS Tak Dapat Berikan

Sesuatu Yang PAS Tak Dapat Berikan

Banyak perkara PAS dapat bertoleransi.

PAS boleh melupakan kisah silam demi perpaduan ummah.

PAS tak akan mengungkit-ungkit apalagi nak mewabakkan penyakit.

Ummah yang bersatu amat besar dalam agenda politik PAS.

Selagi tidak bersatu, PAS sukar untuk merealisasikan cita-cita politik Islamnya.

Apapun perbezaan dan perselisihan, PAS tidak akan menjadi pembuka ruang untuk DAP yang memusuhi Islam kembali ke tampuk kuasa.

Atas premis tersebut, PAS menegaskan untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) dan terus mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Bagi PAS, keikhlasan perlu menjadi asas manakala komitmen perlu menjadi tiang seri perpaduan ini.

Alhamdulillah, UMNO juga menunjukkan tendensi yang sama.

Kita tidak bertepuk sebelah tangan.

Hanya pandemik dan PKP sahaja yang membatasi kita buat masa kini.

Namun begitu, mungkin ada segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan cara PAS berkawan.

Situasi ini dikesan apabila ada sosok-sosok tertentu nampak kerenggangan dengan PAS akhir-akhir ini.

Kelihatan Anwar Ibrahim dengan obsesi PM9 pula seolah-olah mahu dijabati.

Semoga itu hanya tohmahan penulis yang silap.

Cuma penulis ingin memberi pencerahan agar ummah tidak keliru dan menerima keberadaan PAS sebagai sebuah parti yang berprinsip.

Ada sesuatu yang PAS tidak dapat berikan kepada kawan malah kepada ahli sendiri.

PAS tidak pernah berkompromi dengan sebarang salah laku, rasuah dan penyelewengan.

Maka PAS tidak mampu memberi perlindungan agar terlepas daripada pendakwaan.

Apa yang PH pernah buat kepada beberapa orang pembesarnya, PAS tak mampu buat.

Kalau ahli PAS pelakunya, PAS membuka pintu 25 jam untuk SPRM dan pihak berkuasa melakukan siasatan.

Dan PAS ini istiqamah pegangannya bahawa seseorang tidak dianggap bersalah selagi tidak diputuskan oleh mahkamah.

Jadi dalam kes beberapa orang mantan pemimpin negara sedang dibicarakan di mahkamah, PAS tidak menganggap mereka bersalah kerana perbicaraan belum selesai.

Maaflah sekiranya PAS dilihat tidak mampu membantu dan meyelamatkan.

PAS tidak akan mengganggu proses keadilan.

Soal sosok tertentu dalam PH mendakwa boleh membantu dan memberi jaminan keselamatan dan perlindungan, itu terpulanglah kepada mereka.

Bukan PAS tidak sayang atas nama muafakat.

Semoga yang benar akan selamat dan dapat dibersihkan namanya.

Dan janganlah sesiapa pun merosakkan perpaduan dan muafakat ini semata-mata PAS ini mengambil pendekatan kalam Ilahi.

Politik