Anak Muda Buang Masa Sertai DAP?

Anak Muda Buang Masa Sertai DAP?

Sambil-sambil membuat kerja lain menggunakan komputer malam tadi, saya memasang juga livestream “Madah DAPMuda: UiTM & DAP” bagi membolehkan saya mendengar aksi-aksi empat Alumni UiTM daripada Cawangan DAP Kampung Tunku-SS1, iaitu Farhan Haziq, Nur Rahim Nasir, Aslam Ramli dan Ahmad Afiq.

Saya ada membuat satu komen berbunyi “Kesian kat kamu semua ni tak ada modal dan tak ada keyakinan diri sehingga terpaksa menjaja dan menyalahgunakan nama UiTM untuk cuba melonjakkan nama dan mendapatkan sokongan” yang menyebabkan moderator beberapa kali terpaksa menyebut nama saya.

Begitupun, saya tidak mengganggu pun program mereka dan sebaliknya cuba berinteraksi dengan mereka secara baik dengan menanyakan kepada mereka tiga soalan, iaitu:

SOALAN PERTAMA

Bila saya lihat senarai AJK DAPSY 2018-2021 saya dapati hanya ada 3 daripada 25 AJK DAPSY yang berbangsa Melayu, iaitu Muhammad Shakir Bin Ameer Mohideen, Jamaliah Binti Jamaluddin dan Edry Faizal Bin Eddy Yusof:

1) Mengapakah perkara ini berlaku dalam sebuah parti yang mendakwa ia adalah parti berbilang kaum yang memperjuangkan kesamarataan?

2) Apakah kamu sebagai anak-anak muda yang berbangsa Melayu boleh menyifatkan komposisi AJK DAPSY ini sebagai satu keadilan?

3) Apakah kamu sebagai Alumni UiTM ada pelan untuk mengubah komposisi AJK DAPSY menjadi lebih mendekati komposisi rakyat Malaysia?

SOALAN KEDUA

Saudara Farhan Haziq menyebut mengenai DAP akan mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tetapi jika benar begitu mengapa pula para pemimpin tertinggi DAP konsisten menyuarakan kehendak supaya UiTM dibuka kepada pelajar semua kaum sedangkan peraturan bahawa UiTM perlu wujud dalam keadaan yang ada sekarang adalah berpandukan kepada Seksyen 1A Akta UITM yang menyebut bahawa UiTM ditubuhkan selaras dengan dan berpandukan kepada peruntukan-peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan?

SOALAN KETIGA

Mengapa Laman Rasmi Cawangan DAP Kampung Tunku-SS1 yang semua panelis selaku Alumni UiTM anggotai hanya ada 325 likers dan 367 followers sahaja serta apa yang DAP Kampung Tunku-SS1 mampu lakukan dengan hanya 325 likers dan 367 followers sahaja?

Malangnya, tidak ada satu pun daripada soalan-soalan saya ini yang berani mereka jawab sebaliknya saya melihat penyokong mereka beramai-ramai menyerang akaun Facebook saya.

Penilaian saya ke atas program ini adalah ia merupakan satu program yang gagal kerana ia lebih kepada perbualan santai mengenai pengalaman peribadi setiap panelis dan tidak menjawab dua soalan yang mereka dakwa mereka akan jawab, iaitu:

Adakah benar UiTM akan “terancam” jika DAP berkuasa?

Dan adakah DAP sebuah parti yang sesuai untuk golongan Melayu?

Paling mengejutkan ialah pada bahagian akhir program bila panelis ditanya apa yang anak muda dapat bila menyertai DAP, jawapan yang diberikan terlalu mengecewakan seperti:

1) “Saya tak nampak lagi secara jelas apa yang anak muda dapat dari DAP”.

2) “Di dalam DAP, kita lebih banyak menyumbang daripada kita dapat”.

3) “Apa yang kita dapat itu agak kurang ataupun tak ada langsung”.

Tiada pun ungkapan seperti dapat perjuang nasib agama dan bangsa atau sebagainya.

Kalau dah sah tak dapat apa-apa dari DAP, apa perlu anak muda buang masa sertai DAP?

Politik