Jawapan Tan Sri Annuar Musa Ke Atas Dakwaan Beliau Sudah Beralih Kesetiaan Dan Dakwaan UMNO Tidak Dilayan Dengan Baik

Jawapan Tan Sri Annuar Musa Ke Atas Dakwaan Beliau Sudah Beralih Kesetiaan Dan Dakwaan UMNO Tidak Dilayan Dengan Baik

SOALAN SHAHRIL SUFIAN HAMDAN (KETUA PENERANGAN UMNO)

“Ada pengkritik yang mengatakan Tan Sri dah beralih kesetiaan daripada UMNO kepada Perikatan Nasional ataupun parti lain mungkin disebabkan trend kenyataan Tan Sri yang dilihat seolah-olah nak mempertahankan kerjasama UMNO, PAS dan BERSATU meskipun tidak disenangi sebahagian besar daripada ahli UMNO?”

JAWAPAN TAN SRI ANNUAR MUSA

“Kadangkala saya mungkin dilihat sebagai berbeza tetapi saya juga kadang-kadang tertanya:

Saya ini berbeza dengan apa?

Kalau berbeza dengan pendapat individu atau berbeza dengan kabilah, pada saya itu lumrah.

Saya adalah seorang Setiausaha Agung Barisan Nasional, saya kena menjunjung mendukung dasar dan keputusan-keputusan parti di peringkat Barisan Nasional.

Saya adalah seorang Setiausaha Agung Muafakat Nasional, saya mesti menjunjung dan menjaga apa yang diputuskan oleh Muafakat Nasional.

Saya seorang Ketua UMNO Bahagian dan Ahli Parlimen UMNO, saya mesti menjunjung perjuangan UMNO, bukan apa yang cuba dilakukan oleh orang-orang tertentu.

Jadi di sinilah saya merasakan, saya kena mengaku terus-terang, pembawaan saya pandangan saya dalam soal-soal kritikal tentang parti saya mengakui ada perbezaan dengan pihak-pihak tertentu.

Sebagai contoh, bila UMNO membuat keputusan “No Anwar, No DAP”, saya pegang kejap.

Tapi bukan menjadi rahsia lagi sekarang ada orang yang mencuba untuk meninggalkan keputusan parti itu dan nak membawa satu hala tuju yang lain.

Maka saya dilihat seolah-olah tidak selari dengan pemikiran sedemikian.

Saya akan pertahankan pendirian saya.

“No Anwar, No DAP”.

Begitu juga dalam soal dengan Tan Sri Muhyiddin.

Apakah yang parti putuskan?

Parti putuskan untuk kita bergabung tenaga antara PAS, UMNO dan BERSATU membentuk kerajaan.

Kita putuskan kita masuk dalam parti secara en bloc.

Kita putuskan kita share common vision dan jugak common enemy, “No Anwar, No DAP”, dan kita putuskan untuk berada dalam kerajaan.

Maka apabila ada sesuatu perkara, terutama yang berkait dengan kerajaan, bila kita menjadi Menteri kita menjadi Menteri yang baik.

Dalam Kabinet kita ada prinsip collective responsibility.

Adakah kita nak tengok Menteri-Menteri UMNO bercanggah sama-sama Menteri dalam Kabinet?

Adakah nak tengok Menteri UMNO setelah bentang belanjawan go against the belanjawan?

Adakah nak tengok Menteri UMNO nak bedal Perdana Menteri?

That is not me.”

SOALAN SHAHRIL SUFIAN HAMDAN (KETUA PENERANGAN UMNO)

“Tapi tak kah Tan Sri mengakui bahawasanya ada hujah jugak bahawa UMNO tidak dilayan dan tidak diiktiraf sepertimana sepatutnya dan itu yang menjadi bibit permulaan ketidakpuasan hati di kalangan ahli dan kepimpinan UMNO yang membuatkan sebarang kerjasama jangka panjang UMNO dan BERSATU ini susah?”

JAWAPAN TAN SRI ANNUAR MUSA

“Sekali lagi ini adalah pendapat, pendapat mengatakan UMNO tidak dilayan.

Kenapa?

Sebab kadang-kadang kita masih berada dalam kelompok atau dalam kepompong superiority complex.

Kita masih merasakan kita UMNO ini macam UMNO dulu, kita mesti dilayan begini begini.

Kita terlupa kita datang daripada sebuah parti yang telah jatuh dan kalah.

Kita adalah parti pembangkang dan kita secara berperingkat-peringkat membina semula kekuatan.

Dia adalah satu proses.

Soal layanan atau tidak layanan, itu keputusan kita.

Kalau kita ada kekuatan, tentulah orang terpaksa melayan kita dengan baik.

Tapi kalau kita berpecah-belah, kita merasa kita kuat tapi kita berpecah-belah, kita flip-flop, ataupun kita tidak menunjukkan karakter-karakter, sifat dan kepimpinan yang membolehkan orang menghormati kita misalnya.

Jadi kalau bicara soal layanan, layanan yang bagaimana kita mahu?

Pagi tadi saya ditanya oleh media, dia kata, “Satu daripada contoh layanan tak baik (kepada) UMNO nya ialah Tan Sri sendiri.”

Katanya, “Tan Sri jadi Menteri Wilayah Persekutuan sedangkan YB Radzi Jidin yang kalah kepada Tan Sri tapi dia jadi Menteri Kanan”.

Maka itu dianggapkan sebagai layanan yang tidak setimpal diberikan kepada UMNO.

Kepada saya, itu pendapat, saya ada pendapat yang berlainan.

Pada saya, soal Menteri Kiri ataupun Kanan, kita adalah anggota Kabinet.

Yang penting bila jawatan itu diberikan kepada kita kita mesti jalankan tugas kita dengan baik supaya nama parti kita terjaga.

Adakah jawatan dalam Kabinet kita nak buat tawar-menawar?

Kita kena faham prinsip.

Kabinet adalah prerogatif Perdana Menteri.

Kita tidak menentukan Kabinet.

Kita menentukan untuk memilih dan memberi kepercayaan (kepada) Tan Sri Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri dan asas dia adalah prerogatif beliau.

Kalau kita nak berunding, parti berunding sebelum Kabinet terbentuk.

Tapi setelah Kabinet sudah dibentuk kenapa kita tak komplen?

Kenapa lapan bulan kemudian baru kita nak komplen soal kita dapat portfolio yang bagus ataupun tidak?

Pada saya itu cerita rekaan.

Kita tahu separuh daripada Kabinet adalah Barisan Nasional.

11 orang daripada Kabinet adalah Barisan Nasional.

Apa benda yang kita nak buat dalam kerajaan kita boleh buat dan kita boleh ambil tanggungjawab tapi kenapa nak direka kononnya kita tidak dilayan dengan baik?

Pilihan Raya Sabah sebagai contoh.

Ada orang bangkitkan dalam Pilihan Raya Sabah kononnya kita dibuli, kononnya kita tidak dilayan dengan baik.

Saya adalah pemimpin yang berada di tengah-tengah perjalanan kempen.

Saya adalah ko-ordinator yang menghubungkan antara semua parti.

Saya adalah sole negotiator sewaktu nak tubuhkan Kerajaan Sabah.

Saya juga terlibat dalam proses waktu nak mencadangkan calon-calon.

Saya tengok semua perkara-perkara yang berlaku.

Ya, ada perkara-perkara yang kita tidak dapat apa yang kita hendak.

Tetapi kelemahan juga ada pada kita.

Sebagai contoh, jawatan Ketua Menteri.

UMNO ditawarkan supaya untuk menamakan Ketua Menteri, calon daripada UMNO, sebelum Pilihan Raya, tapi kita memilih untuk nak menamakan calon Ketua Menteri selepas Pilihan Raya.

Kenapa kita tidak beritahu kepada orang ramai?

Begitu jugak soal memilih calon-calon.

Kita happy saja terima 27 calon untuk UMNO, 19 calon BERSATU, 15 calon PBS, 8 calon STAR.

Kemudian kita sendiri menambah daripada 27 jadi 32, daripada 32 jadi 42.

Jadi di mana yang kita tidak puas hati?

Hanya setelah result keluar, kita tidak dapat kejayaan sepertimana yang kita mahu.

Tapi kita harus teliti.

Ya, mungkin ada sesuatu yang orang lain buat tak baik kepada kita, saya tidak nak debate dalam masa yang pendek tentang perkara itu.

Apa yang saya nak tegaskan bahawasanya kita juga kena tengok kepada kelemahan kita.

Jadi kalau kelemahan kita, kita cuba sembunyikan dan kita mengiyakan sahaja apa yang orang lain kata, pada saya itu kita tidak berlaku adil.

Jadi pada saya ialah kita mesti menyebut perkara atas dasar kebenaran.”

(Sumber: Wawancara CEPUMAS Ketua Penerangan UMNO bersama Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa, 19 November 2020)

Politik