Tok Guru Nik Aziz, Ku Li Dan Perempuan Gila

Tok Guru Nik Aziz, Ku Li Dan Perempuan Gila

Sehari dua ini hubungan PAS dengan Umno di dalam Muafakat Nasional (MN) agak tergugat ekoran beberapa siri kenyataan Pengerusi Lembaga Penasihat Umno, Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) supaya Umno mengkaji semula hubungannya dengan PAS.

Kerana menurut beliau, kerjasama Umno bersama PAS dan Bersatu tidak membawa sebarang manfaat.

Kenyataan peribadi Ku Li itu sangat bertentangan dengan pendirian Umno seperti mana yang ditegaskan oleh Tan Sri Anuar Musa.

Saya tidak terlalu ‘ambil kisah’ dengan gugatan Ku Li tersebut.

Tetapi sebagai seorang veteran Umno, Ku Li sepatutnya sedar bahawa Umno hampir karam selepas kalah dalam PRU14 yang lalu.

PAS menghulurkan salam persahabatan demi untuk melihat penyatuan dan perpaduan orang Melayu Islam.

Hasilnya, bukan sahaja MN telah terbentuk, tetapi Umno telah mendapat semula kepercayaan orang Melayu sehingga dapat memenangi siri-siri PRK sepanjang zaman regim PH berkuasa.

Dan hari ini, Umno kembali menyertai kerajaan berkat daripada kerjasama ini.

Adakah Ku Li merasakan bahawa Umno sudah cukup kuat sekarang dan mahu Umno menjadi ‘abang besar’ dalam kerjasama dan permuafakatan ini.

Ku Li mahu Umno membuli semua parti lain dan tidak lagi memerlukan parti lain, melupakan semua perjanjian dan meminggirkan permuafakatan yang telah dibina?

Semata-mata kerana Ku Li melihat Umno telah kembali kuat.

Umno sudah boleh berdiri sendiri.

Umno sudah mendapat sokongan rakyat.

Atau apakah maksud Ku Li yang sebenarnya?

Bila Ku Li asyik bercakap supaya Umno meninggalkan PAS, teringat saya pada kisah lama Ku Li.

Selepas Ku Li ditewaskan oleh Dr Mahathir Mohamad pada 1987 dan Umno diharamkan pada 1988, Ku Li dan para pengikutnya terkapai-kapai.

Umno menawarkan kerjasama kepada PAS ketika itu untuk membina semula kekuatan mereka, tetapi PAS memilih untuk melakukan persefahaman politik (tafahum siyasi) dengan parti Ku Li, Semangat 46 (S46).

Dengan pertolongan PAS, Ku Li dapat membina semula cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri lewat PRU8 pada 1990.

Tinggal lagi kerana isu ‘tengkolok bersalib,’ cita-cita Ku Li itu telah digagalkan.

Selepas PRU9 pada 1995, Ku Li mulai membuat onar terhadap Kerajaan APU di Kelantan.

Mungkin kerana dia telah melihat peluang baru di dalam Umno, ekoran pergeseran antara Mahathir dan Anwar.

Pemimpin Parti Melayu Semangat 46 (PMS46) di Kelantan membuat pelbagai ulah yang menyulitkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar untuk mentadbir, termasuk menyebabkan timbulnya krisis dengan Istana Kelantan.

Ku Li hadir dalam program Umno dan akhirnya membawa pengikutnya menyertai Umno.

Kerana itu, pada 30 Jun 1996, PAS Pusat bersetuju supaya hubungan dengan PMS46 diputuskan.

Akhirnya, hubungan PAS-PMS46 diputuskan secara rasmi pada 14 Julai 1996 setelah dipersetujui oleh Majlis Syura Ulamak PAS.

Kisah ringkas tentang krisis pada 1996 ini, boleh dibaca dalam artikel saya yang lepas di:

https://m.facebook.com/…/a.42427577…/511028479096632/…

Ketika mengulas tindakan Ku Li dan PMS46 yang melupakan pertolongan PAS sejak 1988 dalam mengukuhkan semula politik Ku Li dan tindakan Ku Li mengabaikan persefahaman kedua-dua parti sebelum ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz dalam satu ceramah di Lundang sempena perpecahan PAS-PMS46 telah membuat analogi terhadap sikap politik Ku Li ini.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah memetik satu ayat al-Quran tentang kisah seorang perempuan gila yang memintal benang, tetapi merombaknya semula setelah pintalan tersebut kukuh.

Al-Quran menganalogikan sikap perempuan gila ini dengan orang yang tidak berpegang dengan perjanjian dan persefahaman.

Berikut adalah bunyi ayat suci tersebut:

وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّتِی نَقَضَتۡ غَزۡلَهَا مِنۢ بَعۡدِ قُوَّةٍ أَنكَـٰثࣰا تَتَّخِذُونَ أَیۡمَـٰنَكُمۡ دَخَلَۢا بَیۡنَكُمۡ أَن تَكُونَ أُمَّةٌ هِیَ أَرۡبَىٰ مِنۡ أُمَّةٍۚ إِنَّمَا یَبۡلُوكُمُ ٱللَّهُ بِهِۦۚ وَلَیُبَیِّنَنَّ لَكُمۡ یَوۡمَ ٱلۡقِیَـٰمَةِ مَا كُنتُمۡ فِیهِ تَخۡتَلِفُونَ

[Surat An-Nahl 92]

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menjadi seperti perempuan yang telah merombak satu persatu benda yang dipintalnya, sesudah ia selesai memintalnya kuat teguh; dengan kamu menjadikan sumpah kamu sebagai tipu daya (untuk mencabuli perjanjian yang telah dimeteraikan) sesama kamu, disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai dari golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengan yang demikian itu; dan Ia sudah tentu akan menerangkan kepada kamu, pada hari kiamat, apa yang kamu berselisihan padanya.

Kisah perempuan gila atau bodoh ini boleh dibaca di laman ini:

https://www.google.com/amp/s/m.republika.co.id/amp/meyfv0

Apabila Ku Li mengulangi sikapnya terhadap MN ini (walaupun pemimpin Umno yang lain tidak demikian), saya terbayang akan agenda Ku Li ini benar-benar tidak berbeza dengan perempuan gila tersebut.

Ku Li mungkin merasakan dirinya bijak berpolitik, tetapi sikapnya yang mahu merungkaikan semula ikatan perpaduan parti-parti orang Melayu Islam adalah satu langkah yang menyerupai perempuan gila tersebut!

Isu Semasa