Muafakat Membawa Berkat

Muafakat Membawa Berkat

Dari 222 kerusi Dewan Rakyat, lebih dari 150 kerusi adalah kerusi majoriti melayu sama ada majoriti mutlak atau lebih sedikit dari 50 peratus.

Kalau kita punya sifat bersyukur dan berkasih sayang jumlah kerusi itu cukup untuk dibahagi-bahagikan secara bijaksana dan saksama secara perundingan antara UMNO, PAS dengan PPBM, atas semangat persaudaraan dan demi Islam dan Melayu.

Apa untungnya kita bergaduh sesama kita dan sanggup pula bersikap kalau aku tak dapat maka kamu pun tak boleh dapat?

Kami di bawah ini amat berharap agar perkelahian hari ini tidak sampai kepada tahap nak tunjuk siapa kuat kerana ketika itu kuat mana pun kita, melayu berada pada kelemahan paling teruk.

Hari ini kita diberi Allah peluang setelah kita kehilangan selama 22 bulan.

Percayalah, kalau kita hilang lagi, kita bimbang kita tak akan dapat lagi.

Janganlah rasa sombong sangat sehingga sanggup “memampuskan” rakan yang banyak membantu.

Ya, kalau kamu dalam UMNO nak bergaduh sesama UMNO itu terpulang kepada kamu tetapi kalau sampai ke tahap “memampuskan” PAS seperti kata Sang Kelambai, kami tahu itu bukan akhlak sebenar orang UMNO.

Hanya orang yang rasa akan kehilangan kepentingan diri sahaja yang akan bercakap begitu dalam UMNO.

Ahli-ahli UMNO yang ikhlas, mereka tak akan bercakap begitu dan tak akan mudah-mudah “memampuskan” rakan.

Buktinya, ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian sudah selesa dengan Muafakat Nasional.

Mereka sudah mesra seperti adik-beradik.

Jadi, janganlah orang yang rasa akan hilang kepentingan diri, keselesaan diri cuba nak rosakkan muafakat yang sudah terjalin indah ini.

Insya Allah, berkelahi adik-beradik, tengking-menengking adik-beradik memang biasa berlaku tetapi bila malam raya kita akan berkumpul di rumah emak dan berhari raya bersama.

Kita akan lupakan perkelahian sebelumnya dan berhari raya bersama.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula UMNO, PAS dan PPBM.

Kita sayang bangsa kita, kita sayang negara kita; lebih penting lagi kita sayang Islam.

Kita kena tolak DAP jauh dari negara kita.

Kita, Muafakat Nasional telah bersetuju dengan piagam yang ditandatangani bersama dan Muafakat Nasional itu bukan eksklusif untuk PAS dan UMNO sahaja tetapi untuk seluruh orang melayu dan rakyat Malaysia.

Bertolak dari Muafakat nasional itulah lahirnya Perikatan Nasional yang akhirnya terbentuklah sebuah kerajaan yang menaungi kita pada hari ini.

Jadi, kita tiada pilihan lain selain memperkasa Muafakat Nasional dan mempertahankan Perikatan Nasional.

BERIKUT adalah kandungan Piagam Muafakat Nasional sebagai tanda termeterainya kerjasama rasmi antara UMNO dan PAS dalam upacara di Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, pada 14hb September 2019 yang lalu.

“DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENYAYANG

DENGAN IZIN ALLAH SWT, sesungguhnya UMNO dan PAS dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Maka dengan ini, UMNO dan PAS, menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

MENJUNJUNG DAN MEMPERTAHANKAN keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu, Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta Menjamin Kepentingan Masyarakat Majmuk Terpelihara;

MEMPERKUKUHKAN Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

MEMPERKASAKAN agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

MEMBENTUK KERJASAMA dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

MENGIKHTIARKAN secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Justeru, marilah kita semua rakyat berganding bahu mendukung Muafakat Nasional Demi Malaysia yang Sejahtera.

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI DAN DATUK SERI ABDUL HADI AWANG

Politik