Dituduh Petualang Kerana Menegur, Diangkat Pejuang Tetapi Hancur

Dituduh Petualang Kerana Menegur, Diangkat Pejuang Tetapi Hancur

Sedih, kecewa, hampa, tersiksa, lara, duka dan banyak lagi kata yang terbit selepas melihat situasi UMNO sekarang.

Anak muda sentiasa memerhati gerak geri dan lagak ketua yang seolah tiada kata putus dan asyik bertelagah.

Mereka umpama mati punca dan tiada ikatan yang kuat walaupun dalam sebuah kapal yang sama.

Masing-masing mahu nampak sebagai pejuang dan nakhoda kapal sedang kapal bergelut dengan gelora.

Kehormatan parti sudah nampak penghujungnya.

Bukan akar umbi, penyokong yang berbalah namun pemimpin utamanya bermasam muka tidak lagi senada.

Kau berkata, aku berkata, kau berselit aku menyelit walau rimanya berbelit-belit.

Lama aku memerhati, pesanku tidak dilayan.

Ya siapa kita kerana dianggap meroyan dan menjadi lalang mengikut arah angin terhuyun hayang.

Aku lalang mengikut angin, angin bagiku adalah penyokong, penyokong bebas bertiup mencari lalang, jika lalang tidak mengikut, itu bermakna lalang telah hangus dijilat api atau mati menyembah bumi.

Angin sentiasa bertiup menginginkan udara segar dan nyaman.

Lalang masih sombong dan tidak mahu bergerak?

Saling menyalahkan dan masih berpendirian bahawa kita mempunyai akar yang kuat dan tidak boleh tunduk kepada angin perubahan sehingga belalang jua tidak menumpang.

Aku juga dituduh mengikut katak, melompat mencari tempat.

Katak si katak lompat.

Kau lompat, lompat tinggi-tinggi untuk jawatan tinggi.

Jika katak-katak diam membisu saat kemarau panjang, siapa yang sudi memanggil hujan?

Ada banyak tanah kering kontang merekah menanti gersang.

Bagiku ada katak memanggil hujan untuk membasah bumi yang kehausan.

Katak-katak inilah yang memanggil hujan sehingga banjir besar meruntuh rumah-rumah kebal.

Gelombang banjir ini datangnya daripada katak-katak yang melompat memanggil hujan bukan?

Katak-katak inilah yang dinoktahkan sebagai petualang dan dimatikan dengan penjahat parti.

Kakak tua masih lagi mahu bicara, diasah lidah untuk mengikut kata.

Bersalah tidak mengaku salah.

Dibuang masih lagi mahu berjuang kerana skripnya mesti diikut.

Lidahnya tidak boleh bertukar suara, yang ditutur adalah sama.

Pejuang rakyat, pejuang bangsa, pejuang negara dan demi ABATA.

Bila tiada dedak, laparnya mahu menerkam tuannya.

Tanpa makan, ABATA mungkin dilupakan.

UMNO masih dengan bayang-bayang lepas.

Anjing dan bayang-bayang mungkin sesuai dijadikan metaforanya.

Masih menganggap dirinya sebagai musuh dan masih beranggap dirinya jaguh.

Bayang juara masih lekat dalam jiwanya sedangkan dia masih berada di tengah jambatan yang goyangnya seakan runtuh.

Masih bertelagah dengan bayangnya sendiri.

Menyalak lantang akulah juara dan masih lupa di mulutnya hanya seketul bangkai tiada berdaging.

Salak dan salak bangkaipun terjunam jatuh.

Ketua pengarahnya juga datang dari ‘Salak’ yang sering menyalak lalak.

Aku dahulunya darjah 6, di sekolah rendah akulah Abang Long.

Setiap permintaan mesti dipenuhi.

Setakat nak menjaga hal ehwal kantin, itulah kekuatanku.

Yang penting setiap kali waktu rehat, hidangan mesti di atas meja.

Ada yang ingkar, jumpa di tandas.

Itu darjah 6 punya pemikiran.

Masuk tingkatan 1, aku menjadi adik bongsu, pernah rasa dibuli menggosok baju, dijadikan tukang beli di asrama.

Masih nak berlagak abang long darjah 6?

Jawapannya tidak, lain tempat lain pangkatnya.

Akhirnya tunggulah tingkatan 5 untuk aku kembali berkuasa.

Adakah caranya masih sama, adakah dendam kesumat menjadi pegangan?

Tidak.. Aku mesti berubah untuk masuk ke universiti.

Jika masih lagi tidak berubah, masih dianggap jaguh, siapa kita untuk esok harinya.

Universiti adalah penentunya sepanjang pengajian sekolah rendah dan menengah.

Gagal masuk universiti, aku mungkin tidak berguna lagi.

Gagal dalam memenangi hati rakyat, UMNO tidak bertandang lagi.

Hangus dek kerana dendam asmara dikunci dalam bilik asrama.

UMNO masih sama, masih yakin dirinya kuat seperti 1946, masih yakin undi datang secara automatik, Melayu akan sebati dengan UMNO.

Melayu tidak lari dengan perjuangan kita.

Ingat, kita adalah parti untuk membela bangsa Melayu, Melayu mesti sokong Melayu.

Huh…Akhirnya… Melayu melayu kerana sombong dengan angkuh.

UMNO tewas ditolak bangsanya sendiri.

Dalam tewas, masih tidak puas.

Tawarannya masih tinggi umpama barang baru datang terus daripada kilang sedangkan ianya sudah bertukar nama pemiliknya, ia hanya barang second-hand yang kembali dalam pasaran.

Tetapi masih mahu diletak dalam cermin dengan harga yang masih sama.

Di tukar warnanya, disalin kusyennya tetapi enjin masih menggunakan gear manual.

Anak muda dah seronok menggunakan gear automatik.

Barang second-hand, gear manual harganya mahal.

Ada pembelinya?

Jika Rosak bengkel pun tiada spare part.

Masa sekarang bukanlah masa UMNO lagi, walau seketika dahulu UMNO menjadi kenderaan utama, ke hulu ke hilir dengan UMNO.

Ada masa perlu tukar kenderaan itu.

UMNO mesti terima dengan hati terbuka, jangan diugut hendak rosak kononnya merajuk tuan memiliki kereta baharu, bimbang tersadai buat selamanya.

Jadilah UMNO umpama kereta Antik, biarpun lama, harganya masih bernilai dan tidak sanggup untuk dijual beli.

Bukan bercakap soal harga, tetapi nilai sentimental pengguna tidak bergalang ganti.

UMNO hendak atau tidak mesti berubah.

Jangan menjadi seperti NOKIA menolak android dan akhirnya ditolak juga oleh pengguna.

Berubahlah, Apple tidak boleh memarahi Samsung kerana meniru gayanya, Huawei juga ada penggunanya dan Oppo tinggi pasarannya serta Vivo ada peminatnya.

Walaupun banyak gajet, cameranya berpixel-pixel, memori dan RAM sentiasa Update ianya tidak berguna tanpa internet.

Dapatlah internet yang unlimited.

Dapatlah undi setinggi mungkin bagi melancarkan kemenangan anda.

Virus jangan disimpan, recycle bin mesti dibersihkan.

Jangan restore software yang tidak berguna lagi.

Hapuskanlah walaupun ia pernah membantu kita.

Mungkin sekarang, ia tidak berguna lagi.

Maaf jika ramai yang terasa.

Saya bercakap dari sudut sebagai pengguna.

Realitinya fikir-fikirlah.

Wan Mahussin Bin Wan Zain

Isu Semasa