PAS Mahal Harganya, Tinggi Nilainya

PAS Mahal Harganya, Tinggi Nilainya

Siapa sangka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) naik mendadak sahamnya di bursa politik negara.

UMNO pernah berkahwin semasa PAS masih anak gadis dan kembali rujuk selepas menjadi janda.

UMNO terdesak atau PAS kembali memikat hati UMNO?

Atau perkahwinan ini kerana anak dan mungkin kerana ingin menggunakan nama PAS pada geran hartanya.

Persoalannya timbul di benak fikiran.

PAS pernah digilai banyak Parti, pernah bersama PKR, pernah sebumbung dengan DAP dan bak kata peribahasa banyak berjalan luas pengalaman.

Pengalaman PAS bersama musuh dan sekutu tidak boleh dinafikan lagi.

Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina.

PAS bersolek kembali, menjadi janda berhias yang sangat digilai ramai termasuk UMNO.

UMNO mengemukakan kemahuan untuk kembali bersamanya lagi dan dipersetujui oleh PAS.

Maka perkahwinan dilangsungkan di rumah UMNO dengan penuh gilang gemilang.

Anak-anak menangis kerana ibu dan ayah mereka kembali bersatu tetapi tidak disenangi oleh anak tiri hasil perkahwinan dengan DAP iaitu PAN.

UMNO dan PAS akhirnya duduk bersama.

Dalam rumah tangga, ada ketikanya masam ada ketikanya manis.

UMNO dan PAS berkahwin tanpa ada pendaftaran nikahnya.

Rumah siap pahat berbunyi.

Kegelisahan menghantui pasangan ini.

Dalam kehidupan tanpa kelengkapan yang cukup dan serba kekurangan.

Suaminya tidak semewah dahulu kerana pernah diisytihar muflis dan terkapai mencari sumber hidup.

PAS banyak tanggungan anak-anak yang sehidup dan semati.

PAS sebenarnya sudah lama berdikari menjaga anak-anaknya dan sudah biasa dengan kehidupannya.

Selepas berbulan lamanya membina ikatan perkahwianan ini, tiba-tiba pergolakan berlaku dalam keluarga baharu PKR, DAP, PPBM dan PAN.

Mereka bergaduh dan akhirnya bercerai berai.

PPBM ingin mencari penggantinya bagi menyelamatkan harta yang dimiliki dengan mencari peguam dan saksi yang baik.

UMNO dan PAS menjadi pilihan utamanya, UMNO setuju dan PAS juga mengikutinya.

Selepas harta diselamatkan dan rumah baharu siap dibina, PAS diberikan bilik yang sangat mewah dipenuhi dengan perabot yang cantik serta diberikan peti besi untuk saraan anak-anaknya.

Berbeza dengan UMNO, walaupun diberikan bilik yang hampir sama, UMNO pernah merasai kemewahan sebelum ini dan tidaklah jakun dan terkejut dengan kehidupan sekarang.

Dulu bukan sahaja bilik disediakan bahkan, rumahpun dimiliki oleh UMNO.

PPBM berikan kemewahan kepada PAS, gembira anak-anaknya bermain atas tilam yang empuk dan hampir terlupa kepada UMNO.

UMNO sedar bahawa PAS mungkin tidak akan kembali ke rumahnya lagi.

UMNO menyatakan hasratnya kepada PAS untuk balik semula ke rumahnya dan PAS menjawab dengan nada yang lembut, saya akan kembali ke rumah lama tetapi saya tidak mahu meninggalkan bilik baharu saya.

UMNO tidak boleh memaksa PAS menyerahkan bilik baharunya itu.

PPBM berikan peluang kepada anak- anak PAS menjadi penyelia di rumahnya.

Segala aset-aset boleh dinikmati, boleh menonton TV, boleh makan apa sahaja yang ada dan boleh menggunakan kereta dengan pemandu.

UMNO tidak selesa dengan situasi ini walaupun anak UMNO juga ada dilantik sebagai penyelia yang sama.

Itulah sebuah analogi yang boleh saya simpulkan.

Adakah PAS akan meninggalkan rumah itu dan sudah ada pengalaman bersama dengan UMNO sebelum ini.

Adakah UMNO sanggup melafaz talak kepada PAS dan PAS akan berkahwin baru dengan suaminya yang lebih muda darinya?

PAS pandai meletakkan syarat, UMNO tidak boleh lagi memaksa PAS kerana sedar akan situasi PAS.

PAS tidak kisah jika diceraikan sekali lagi oleh UMNO dan PAS semestinya laku untuk bersama yang lain terutama PPBM.

Jadi PAS berjaya meletakkan harga dirinya yang sebenar.

Ini janda bukan sebarang janda.

Kesimpulannya, disini jelas sekali bahawa strategi PAS sudah menjadi, walaupun PAS tidak mampu membina rumah, PAS mampu berada didalam rumah bahkan lebih seronok kerana tidak perlu memikirkan soal kos elektrik, bil air dan utiliti yang lain.

Duduk secara percuma dan diberikan hak untuk menggunakan semua fasiliti.

PAS nak keluar rumah, tuannya tidak benarkan, duduklah di rumah ini dan buatlah seperti rumah sendiri.

UMNO nak panggil duduk di rumah usang, pastinya ditolak mentah-mentah kan?

Ini bukan bermakna PAS tamakkan harta, leka dibuai kemewahan dan lupa daratan tetapi PAS sudah ada pengalaman dan tawaran palsu oleh suaminya yang dulu.

Insya Allah kita bina rumah baharu, rumah lebih cantik kita bina bersama-sama.

Itu hanya janji palsu, kahwin dengan UMNO, diceraikan, Kahwin dengan PKR dan DAP dikhianati dan perancangan hancur lebur.

Dengan PPBM belum berkahwin sudah mencapai hasratnya.

Itu belum lagi kahwin.

Jika sudah kahwin?

Makin seronoklah PAS.

Kesimpulannya, jangan mainkan perasaan PAS.

Jangan cuba mengaburi PAS dan jangan memaksa PAS.

PAS boleh berdikari dan PAS sentiasa berdikari.

Hari ini PAS dapat hasilnya dari kemandiriannya sendiri.

Jika terlepas, PAS berdikari lagi dan terus berdikari tanpa berharap kepada yang lain.

Kalau ada peluang, PAS akan ambil ruang dan membina empayar sendiri.

Seronok melihat rumah PAS, anak-anaknya tak banyak bunyi, apa yang ada mereka terima, jika tiada mereka diam sahaja.

Jika ketuanya beri pandangan, mereka akan ikut, jika minta diulas mereka tolak dan minta maaf.

Jika UMNO, pantang dicubit, nak bagi pandangan dan pendapat dan akhirnya bergaduh adik beradik.

Bapanya diam melihat telatah anak-anak.

Ya lah, dulu diajar dengan kemewahan, apa kehendak anak diikut.

Bila anak memberontak, tak mampu nak halang lagi dan membiarkan mereka bergaduh merebut pusaka.

Tahniah PAS kerana pandai bermain saham politik dan berjaya meletakkan nilai sebenar.

Benarlah PAS FOR ALL.

Wan Mahussin Wan Zain

Politik