Perlembagaan PAS terang dan jelas meletakkan Islam sebagai teras dalam perlembagaannya.
UMNO telah pun meminda perlembagaannya dengan meletakkan Islam sebagai yang ke depan atau keutamaan.
BERSATU meletakkan Islam sebagai prinsip perjuangannya yang utama.
Bukankah Islam mengajar kita bersatu, saling berpadu dalam ukhuwwah membina ummah?
Sia-sia jika ia cuma dibiarkan tercatit dalam perlembagaan atau prinsip perjuangan sebagai penyedap hiasan sebuah perlembagaan parti tetapi realitinya kita hanya berbahasa-basi di depan umpama lembut lidah dari gigi, di belakang bagaikan Abdullah bin Ubai solat bersama Rasullullah s.a.w.
Sikap munafik penuh khianat.
Tanya dan selinap kata hati ahli-ahli parti yang ikhlas, yang tiada kepentingan cuma bergelar dan bernama pengikut.
Apa yang mereka harapkan cuma satu, penyatuan ini terus dalam ikatan persaudaraan, anugerah yang Allah s.w.t hamparkan pada yang bernama Islam dan bangsa Melayu pada 02 Mac 2020 selepas tumbangnya Kerajaan PHD4P 22Bln.
Ketamakan dan ketakutan beberapa orang yang bergelar pemimpin menjadikan mereka lincah bersandiwara kerana mereka seakan-akan tahu masa depan politik mereka akan tenggelam apabila arus perundangan membawa mereka ke sungai mahkamah nanti.
Bukankah kejam namanya, sikap pentingkan diri masih bersarang hingga tergamak menghereta ahli-ahli partinya ikut sama lemas atau dibiar terkapai-kapai tanpa bantuan.
Musuh sedang menunggu menepuk gendang pesta kegembiraan andai terungkai perpaduan ini, kerana mereka tidak perlu bekerja keras lantaran ada orang yang tolong uruskan hasrat mereka, dan kerana kita leka berantakan sesama kita.
Yang bernama insan tetap melakukan kesilapan dan usah biarkan kesilapan itu terus menerus merobek perpaduan ini.
Islam sentiasa mengajar kita duduk semeja dan bermusyawwarah.
Kerana kita merupakan insan Muslim pilihan Allah, jangan kita biarkan nama saja Islam prinsipnya, Islam keutamaannya, tetapi yang realiti ada dalam kalangan kita masih berminat dengan mereka yang berkuasa 22 Bulan memerintah kerajaan dahulu.
Pemimipin jangan lihat pengampu dan orang kebanyakan keliling kamu sahaja tetapi dengar sejauh telinga kamu dapat mendengar, keluhan rakyat yang resah dan berdoa selalu nun seluruh pelosok negara.
Mungkin jika kamu meletakkan rakyat sebagai keutamaan, meniatkan perjuangan kamu kepada perjuangan untuk memberi kehidupan selesa kepada rakyat dan menjaga negara dari terus hancur, tidak mustahil kalian akan bersedia untuk mengorbankan kepentingan diri dari membiarkan rakyat yang berkorban untuk kalian.
Mahu dicari apa lagi?
Peganglah pada yang bernama Islam itu.
Sama ada ianya bernama teras, keutamaan atau prinsip perjuangan ianya adalah Islam yang perlu dipertahankan.