Kebelakangan ini pentas politik negara agak kalut dan berserabut.
Isu kelemahan komunikasi dalam kalangan pimpinan tertinggi parti silang-menyilang.
Belum lagi diambil kira ‘ugutan’ dan tekanan bertubi-tubi terhadap kepimpinan TSMY.
Jika tekanan itu datangnya dari luar PN, kita boleh faham tetapi apabila tekanan itu datang dari pihak yang telah menyatakan sokongan terhadap TSMY hingga terbentuknya kerajaan PN, maka ia telah menimbulkan keresahan kepada rakyat dan mencetuskan satu perasaan ‘meluat’ rakyat terhadap semua parti yang ada kerana para politikus dilihat terlalu sibuk berpolitik demi menjaga perut sendiri tanpa memikirkan rakyat bawahan yang kesempitan.
Nak harapkan KWSP, akaun pun mereka tiada.
Moratorium?
Pinjaman bank pun tak mampu mereka buat, moratorium seperti tiada makan pun buat golongan sebegini.
Ceti dan ahlong mana ada bagi moratorium kan?
Kemelut ini telah terkena tempiasnya kepada PAS lantaran hubungannya dengan UMNO dalam Muafakat Nasional.
Ada yang bertanya kepada saya, apa jadi kepada PAS sekiranya PAS ditinggalkan UMNO untuk bersama dengan blok baharu?
Jawapan saya mudah, PAS mempunyai pengalaman yang lama sebagai pembangkang.
Dalam keadaan berjuang sebagai pembangkang, PAS berjaya juga membentuk kerajaan di 3 buah negeri sebelum ini.
Jika ditinggalkan, PAS tetap akan teruskan perjuangan.
Insya Allah kalau dapat 3 negeri juga paling tidak andai kena tolak oleh UMNO.
Tak ada hal kalau itu yang UMNO mahu.
Tetapi, melihat kepada senario sekarang belum tentu UMNO akan menang PRU 15 tanpa pertolongan PAS.
PKR – kalau keluar PH pun, yang Melayu sahaja.
Penyokong PKR bukan Melayu akan tetap bersama PH.
Jadi apa yang PKR boleh bawa kepada UMNO?
Sekadar membawa nama Rafizi, Anwar, Din Ayub ke?
Mungkin juga PKR ini akan jadi jalan terakhir untuk pecah belahkan orang Melayu kerana PH amat takut apabila PAS bersatu dengan UMNO (dua parti Melayu islam terbesar negara) dan Melayu lain.
Cuba tengok analisa ringkas ini:
1. PRU 13, DAP boleh menang tetapi PAS tidak mahu turut serta dalam pembelian ahli parlimen. Usaha DAP digagalkan oleh PAS.
2. PRU 14, PAS tolak pelawaan Mahathir masuk PH. Usaha DAP digagalkan oleh PAS lagi.
3. Selepas itu usaha ratifikasi ICERD kehendak DAP pun digagalkan oleh PAS juga.
4. Statue of Rome pun digagalkan oleh PAS.
5. Ingat tak doa ustaz Zawawi agar umur PH pendek di Himpunan Bantah Ratifikasi ICERD? Saya ada di situ. Alhamdulillah, Allah s.w.t makbulkan. DAP makin takut bahawa jangan main-main dengan PAS ini. Orang lurus, baik sukar dikalahkan.
6. Dah masuk kerajaan, TGHH tidak minta jawatan. Tetapi diberi jawatan luar negara, Duta ke Timur Tengah, habis satu PAN serang PAS dan TGHH tetapi tidak berbekas pun. Mujahid Siber PAS cukup tangkas bertungkus lumus menangkis dan menyerang RBA, PAN, DAPSY dan pelbagai lagi tentera siber PH. Kalianlah antara Mujahid Siber itu. Tanpa elaun, tanpa disuruh, tanpa mengharap sebarang nama atau imbuhan, kalian menjadi benteng mempertahankan pimpinan dan parti. Ya, bukan senang nak kalahkan orang yang ikhlas kerana Allah sw.t.
7. Belum habis lagi, PAS terus gagah mempertahankan muafakat air mata. Sampai 7 PRK PH kalah. Tak tahan asakan, sampai PH berpecah sendiri atau dipecahkan sendiri oleh PM lantikan mereka, ranap PH dan naik pula PN. Itu usaha PAS lah antaranya. Mana DAP tidak sakit hati dengan PAS.
8. Selagi ada PAS menerajui perpaduan Islam di negara ini, memang sukar bagi DAP untuk menguasai negara.
9. Jadi satu cara untuk hancurkan perpaduan Melayu ialah dengan mengeluarkan PAS dari perpaduan Melayu. Mencuba sedaya mereka untuk menyingkirkan PAS dari PN mahupun MN dengan cara menggunakan orang dalam PN atau MN juga untuk menimbulkan kekacauan dan syak wasangka dalam PN dan MN. Biar bertanding 3 atau 4 penjuru. Kalau perlu PKR masuk UMNO pun masuklah dulu. Lepas itu keluar balik apabila PKR dapat banyak kerusi dan kembali bentuk pakatan lain dengan kawan lama.
10. Wahai pimpinan PAS, jaga-jaga dengan permainan halus DAP dan PKR. Mereka akan cari jalan untuk pisahkan PAS dari perpaduan Melayu. Mohon supaya Allah s.w.t menyelamatkan Islam dan ummat Islam dan melindungi perpaduan yang telah terjalin ini dari sebarang ancaman jahat baik dari luar mahupun dari dalam pakatan dan muafakat.
Janganlah kita semua tergolong dalam golongan “perempuan gila yang memintal benang tetapi merombaknya semula setelah pintalan itu kukuh” yang telah dikisahkan dalam Surah An-Nahl ayat 92.
Dr. Muslim