PRK bukan kayu ukur kemenangan BN PRU 15.
Hendak atau tidak, pahit atau manis mesti ditelan juga, itulah yang perlu diakui oleh semua pemimpin dan penyokong Barisan Nasional agar tidak terus mendabik dada dengan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berpihak kepada BN antaranya Cameron Highland, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Slim dan Chini.
Dalam kegembiraan dengan kemenangan PRK ini perlu juga dikaji dan diselidik apakah faktor utama kemenangan bagi 3 kerusi parlimen dan 4 kerusi DUN kepada BN.
Mengapa pada awal PRK semasa pemerintahan Pakatan Harapan tetap dimenangi oleh PH iaitu Sungai Kandis, Balakong, Seri Setia dan Port Dickson?
Sandakan juga dimenangi oleh PH.
Kemenangan PH pada awal PRK adalah disebabkan penolakan rakyat terhadap PH tidak berlaku secara besar-besaran kerana ingin memberi peluang serta kerajaan PH baharu saja mentadbir negara dan perlukan masa untuk mentadbir secara baik.
Apakan daya, setelah rakyat beri peluang kepada PH, lebih banyak kehancuran yang dilakukan dengan penguasaan DAP dalam kabinet negara ditambah pula dengan isu arwah Adib yang terkorban.
Faktor utama kemenangan BN di bawah pemerintahan PH adalah penerimaan pengundi kepada BN semata-mata untuk menghukum PH yang tidak menepati janji PRU14.
Sokongan ini juga dibantu oleh penerimaan PAS untuk bersama-sama UMNO dalam usaha menjatuhkan PH dan mengembalikan pentadbiran Melayu secara mutlak.
Sakit hati dan geram dengan pentadbiran PH memaksa rakyat untuk menerima BN dan bukannya hadir secara jujur.
Apa yang penting bagi rakyat adalah menumbangkan PH dan memberi pengajaran untuk tidak memperbodohkan rakyat.
Kejayaan ini juga banyak dibantu oleh PAS yang memberi laluan kepada BN dan usaha untuk merapatkan hubungan dalam Muafakat Nasional sememangnya dapat meyakinkan rakyat bahawa BN perlu dipilih kembali.
Dalam kemenangan BN ini tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk BN kembali mendapat mandat dalam PRU 15 nanti.
Jika tiada bantuan daripada PAS, mustahil BN boleh menang dalam PRK yang lepas sekiranya PAS juga menghantar calonnya.
Jika PAS mengambil tempat dalam pilihanraya tersebut, pecah undi akan berlaku dan kebarangkalian untuk BN menang adalah sangat tipis.
Dalam fikiran rakyat, BN telah diberi kepercayaan untuk memerintah, PH juga diberi peluang dan hanya PAS sahaja belum dirasai oleh rakyat untuk menjadi kerajaan.
Sekiranya PAS menunjukkan kesungguhan untuk mendapat mandat rakyat, sudah pasti PAS akan menjadi pilihan rakyat.
PARTI PERIBUMI BERSATU MALAYSIA (PPBM) menjadi kerajaan buat kali kedua dibantu oleh UMNO dan PAS selepas PH dijatuhkan dan digantikan oleh Perikatan Nasional (PN).
Kejayaan pertama kerajaan PN ini terbukti berjaya dengan penerimaan rakyat di dalam Pilihanraya Negeri Sabah (PRN) pada September lepas.
Ini adalah satu perkembangan positif kepada PPBM dalam mendapat sokongan daripada rakyat.
Bagi pandangan saya, PPBM tidak pernah ditolak oleh rakyat, yang ditolak oleh rakyat adalah PH.
Oleh kerana PPBM telah keluar daripada PH, maka PPBM sebenarnya masih dipilih oleh rakyat dan rakyat menginginkan PPBM terus mengemudi negara sehingga ianya terbukti di dalam pilihan raya Negeri Sabah.
BN bertanding 41 kerusi di Sabah dan menang hanya 14 kerusi manakala PPBM bertanding 29 kerusi dan memenangi 17 kerusi.
Ini petanda jelas bahawa PPBM sedang mendahului mandat rakyat.
Bila-bila masa sahaja BN akan ditolak oleh rakyat sekiranya tidak benar-benar berubah dan tamak dalam menakluki kuasa.
BN tidak boleh terlalu yakin untuk bersama-sama dengan PAS sekiranya tidak bersama Perikatan Nasional dalam PRU15 nanti kerana PAS sudah berlafaz ‘Perkukuh Muafakat Nasional dan Pertahan Perikatan Nasional’.
Ini jelas memberi jawapan bahawa PAS tidak akan bersama BN sekiranya menolak Perikatan Nasional.
Jika UMNO BN menolak PAS, maka BN sekali lagi berdepan kesukaran untuk menang dalam pilihanraya akan datang.
BN tidak sepatutnya meyakini suara akar umbi sepenuhnya dalam menoktahkan jawapan dalam PRU akan datang kerana akar umbi tidak boleh memenangkan parti tanpa suara pengundi.
Kekuatan akar umbi perlu disulami dengan kekuatan suara pengundi.
Mohamed Sabu tidak mempunyai akar umbi yang kuat tetapi boleh menang bergaya di parlimen Kota Raja.
Ini jelas membuktikan bahawa pengundi adalah penentu utama kejayaan parti.
Jika pengundi ramai, akar umbi pun seronok bekerja.
Akar umbi di Kelantan sangat kuat namun tidak mampu menewaskan kerajaan PAS di Kelantan.
Kesimpulannya, BN tidak boleh terlalu yakin untuk kembali mendapat mandat sekiranya angkuh dalam membuat keputusan.
Rakyat sentiasa memerhati tindakan BN dan ingin mencari jawapan jelas bahawa BN berubah ataupun tidak.
‘BN mesti menunduk untuk menanduk bukan mendongak semasa berlari kerana penghadang sangat banyak dihadapan.
Bimbang terhantuk baru tengadah.
Jangan sampai bunyi guruh di langit, air di tempayan dicurahkan sehingga yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran dan tangan berbau tahi.
PAS penguat sokongan Rakyat kepada BN, tanpa PAS, BN sukar mendapat Mandat.
Wan Mahussin Wan Zain