Memperingati Tuan Guru Haji Hadi Sebagai Menteri Besar: Politik Islam Jangan Seperti Di Dalam Kandang

Memperingati Tuan Guru Haji Hadi Sebagai Menteri Besar: Politik Islam Jangan Seperti Di Dalam Kandang

21 tahun yang lalu, pada 30 November 1999, Timbalan Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad.

Pertukaran ini berlaku kerana PAS telah berjaya mengalahkan BN dalam Pilihan Raya Umum pada 29 November 1999.

Ini adalah kali kedua PAS membentuk kerajaan di Terengganu setelah kali pertama berlaku pada 1959.

Kejayaan Tuan Guru Haji Abdul Hadi mengemudikan PAS dan BA dalam pilihan raya tersebut telah membuka ruang kepada PAS untuk melaksanakan pentadbiran secara Islam di Terengganu, iaitu sembilan tahun selepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menerokainya di Kelantan.

Beberapa program Islamisasi telah dibuat, dari membangunkan pendidikan Islam hinggalah meluluskan undang-undang jenayah syariah di negeri tersebut.

Walau bagaimanapun, dalam Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004, PAS tidak dapat mempertahankan kerajaannya dari Gelombang Biru yang digerakkan oleh Umno/BN.

Apabila Kerajaan PAS itu tumbang, maka banyaklah muhasabah diperkatakan di sana sini oleh setiap lapisan pemimpin dan ahli PAS.

Harapannya hanya satu, iaitu supaya PAS tidak mengulangi kesilapan dan kelemahan Kerajaan PAS 1999-2004 itu jika PAS dapat berkuasa semula.

Kerajaan PAS 2018: Jangan diulang lagi kesilapan

Setelah lebih dua tahun PAS berkuasa semula di Terengganu, seperti biasa suara-suara musuh politik PAS telah kedengaran.

Ia adalah satu propaganda bagi membentuk imej negatif terhadap Kerajaan PAS di mata rakyat.

Kita mungkin memandang sebelah mata rungutan-rungutan pemimpin Umno seperti Dato’ Ahmad Said yang sentiasa mengkritik PAS, hatta hingga ke DUN Terengganu.

Mereka membongkar apa yang dianggap ‘kemungkaran’ yang dilakukan oleh PAS.

Secara politik kita memang tidak mahu teguran atau kritikan seperti itu.

Tetapi hakikatnya, Kerajaan PAS Terengganu memerlukan kritikan yang lebih tajam dari itu, terutama daripada pemimpinnya sendiri.

Hal ini penting supaya para pemimpin kerajaan sentiasa memperbaiki diri, memperbetulkan kesilapan dan memuhasabahkan seluruh kegiatan mereka.

Ketika kita berkuasa, ‘kenyitan mata’ kita pun laku dan ada harga, jangankan tanda tangan dan rekomendasi kita.

Maka, kita sangat terdedah kepada ‘kemungkaran politik’, jika semua pihak membisu tanpa membuat teguran.

Sebenarnya, rungutan-rungutan tentang ketidakpuasan hati rakyat, ahli-ahli PAS dan pemimpin kecil masyarakat di peringkat terbawah telah begitu sering berbunyi.

Hatta, para pendakwah tersohor dan kontraktor juga telah bersuara terhadap sikap dan tindakan pemimpin Kerajaan PAS di Terengganu.

Jangan kita membuat pekak badak atau membakulsampahkan kritikan mereka, nanti buruk padahnya.

Parti sepatutnya mengawal kerajaan yang memerintah, jangan berlepas tangan begitu sahaja, kerana setelah dua setengah tahun memerintah, post mortem yang telus mesti dibuat sebelum DUN dibubarkan.

Suara-suara tidak berpuas hati itu telah berkali-kali menyoal tentang kemasukan ‘pekerja asing’ di Terengganu seolah-olah negeri ini kepupusan pakar.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan tentang ‘budaya komisyen’ yang membuatkan PAS kelihatan seperti Umno, bahkan ada pemimpin yang berebut projek-projek sehingga ada Ahli Majlis Perbandaran yang ditempeleng kerana enggan menyokong projek mereka.

Sungutan tentang projek pasar online Terengganu dengan belanja besar tanpa pulangan juga berbunyi, bahkan tiket-tiket pesawat ke luar negeri yang dibayar dengan duit kerajaan juga turut diperkatakan.

Tidak sunyi juga suara yang bercakap tentang perselisihan di pejabat ketua kerajaan di Wisma Darul Iman.

Timbul pula cerita seorang pegawai bertitle ustaz berdansa dengan ‘topi sudu,’ rim sport Vellfire yang bersalin kulit dan trip ke Yaman yang tak jadi.

Banyak kisah-kisah belakang tabir yang telah disapu ke bawah karpet.

Tetapi yang agak hangat diperkatakan ialah tentang komisyen di pejabat-pejabat daerah.

Isu tentang agensi kerajaan tidak tahu membuat kerja, tetapi pegawai bergaji besar pun belum juga reda.

Pendek kata, kalau semuanya disenaraikan, pilihan raya akan datang, PAS seolah-olah hilang harapan.

Yang saya sebutkan ini hanya sejumlah kecil sungutan yang saya sendiri tidak pasti kebenarannya.

Saya mengharapkan ia adalah fitnah.

Tetapi mungkin Dato’ Ahmad Said menyimpan fakta-fakta yang lebih akurat.

Cuma, ketika ada orang yang berani bersuara, maka timbullah tuduhan bahawa ada percubaan untuk ‘buat kuca’.

Saya tidak tahu adakah itu suara ketua kerajaan atau juak-juak yang mengelilinginya.

Tetapi jika tidak dibaiki segera, dalam pilihan raya akan datang, ia akan benar-benar ‘terkuca.’

Nasihat ulamak: Jangan masuk kandangTerengganu adalah negeri yang terkenal kerana para ulamaknya tegas dalam menasihati pemerintah.

Dari Tok Pulau Manis, Sheikh Abdul Kadir Bukit Bayas, Tokku Tuan Besar, Tok Sheikh Duyung hinggalah Tokku Paloh.

Mereka adalah ulamak yang sentiasa berani menegur pemerintah.

Kerana itu, di Terengganu wujudnya Kitab Nasihat Raja-raja yang ditulis oleh Tok Sheikh Duyung.

Hal yang sama juga di Kelantan.

Ulamak secara terbuka mengkritik pemerintah jika berlaku kezaliman, lantaran itu di Kelantan teguhlah ke-Islamannya.

Dalam sejarah Kelantan, seorang ulamak bernama Haji Nik Zainal Abidin, tetapi terkenal dengan gelaran Tok Konok.

Beliau tegas menegur pemerintah sehingga sanggup berkriris dengan istana.

Prof Jelani Harun ketika menganalisis manuskrip Hukum Maksiat di Kelantan menjangkakan ia ditulis oleh Tok Konok kerana tegasnya beliau terhadap mungkar yang dibuat oleh pemerintah.

Di dalam manuskrip itu beliau berkata, “Pertama-tama, yang kepala maksiat di dalam negeri Kelantan ini, bahawa orang yang berkuasa di dalam negeri ini menebangkan akan syariat Nabi SAW dengan kapak maksiat…”

Tok Konok terkenal kerana suka memberi gelar kepada watak-watak yang bermasalah.

Antaranya, digelar oleh beliau akan Tuan Tabal sebagai ‘Buaya Tabal’ kerana suka makan merata sedangkan beliau adalah menantu Tok Semian (Setiausaha Kerajaan), sedang Mahmud Surveyor dipanggilnya ‘Mahmud Musang’ kerana suka mengintip.

Dek kerana suka ‘begelar’ itu, Tok Konok sendiri dipanggil ‘Rimau Kota Bharu’ disebabkan oleh sikapnya yang berani menegur pemerintah dan para wazirnya.

Ternyata, di dalam politik hari ini, begitu banyak ‘buaya’ yang menelan komisyen dan projek.

Ramai kontraktor yang rimas dengan buaya-buaya yang berkeliaran di bawah Jambatan Sultan Mahmud dan Terengganu Drawbridge untuk memakan bangkai komisyen yang disuapkan.

Bila ada ‘musang’ yang mengintip dan mendedahkan kegiatan mereka di media, mulalah musang-musang dituduh membuat ‘kuca’.

Sayang sekali, Terengganu ketiadaan ‘rimau’ yang setegas Arwah Ustaz Harun Taib yang mengaum menegur mereka.

Maka bermadah Tok Kenali di dalam satu syairnya yang kira-kira diterjemahkan begini, Kedudukan sesebuah kerajaan menurut pemerintahnya, Seandai musang menjadi raja atau tikus menjadi menterinya, Akan rosak dan kacau-bilaulah ia, Di mana tonggak negara akan runtuh porak peranda.

Tenyata ingatan Tok Kenali perlu diberikan perhatian yang serius oleh memimpin parti.

Musang boleh membaham apa sahaja ‘kesedapan dunia’ yang melintas ketika dia berkuasa.

Kadang-kadang boleh sahaja ia memakai bulu ayam tatkala ‘melintas’ di hadapan Tok Guru.

Sedangkan ‘tikus-tikus’ terus mengerit apa sahaja peluang, sementara kucing masih tidur.

Tikus itu biasa sahaja membaiki labu, sehingga ketika dikatakan kepadanya, “Janganlah membuat kerosakan,” dia segera menjawab “Ini sebenarnya adalah pembaikan.”

Tok Sheikh Duyung yang menulis Kitab Nasihat Raja-raja untuk Sultan Terengganu juga telah membuat satu perbandingan.

Begini kata Tok Sheikh Duyung,”Apabila akhir al-zaman, ada (raja) itu seperti harimau, segala menteri dan wazirnya dan orang suruhan rajanya itu seperti harimau akar, dan kadi (hakim)nya itu seperti anjing, dan segala manusia seperti kambing.

Dan apabila lari kambing masuk ke dalam hutan, maka dimakan oleh harimau.

Bila lari kambing itu ke tepi hutan, ditangkap oleh harimau akar.

Dan apabila lari kambing ke dalam negeri, nescaya digigit oleh anjing.

Betapa halnya kehidupan kambing seperti pekerjaan ini hendaklah ingat dan jaga.”

Begitulah sinis dan tajamnya peringatan Tok Sheikh Duyung kepada raja, menteri, wazir, orang-orang suruhan dan kadi yang menerintah negeri Terengganu, supaya jangan sekali-kali menindas dan menzalimi rakyat.

Rakyat kecil di bawah sentiasa menjadi mangsa.

Di kampung dicekik oleh JKK dan Ahli Majlis, pergi ke bandar ada lagi juak-juak sedang menunggu untuk mengambil ‘tol’ di bawah jambatan kerana tol di atas jambatan telah ditutup oleh Tok Guru.

Nanti untuk Wisma Darul Iman berapa lagi yang perlu dihabiskan.

Lalu berkata Abdullah Munsyi di dalam Kisah Pelayaran Abdullah ketika memuji kitab Taj as-Salatin, “Adapun apabila seseorang dijadikan Allah ia raja, bukannya sebab hendak memuaskan nafsunya dan berbini sepuluh dua puluh atau mencari harta dan membunuh orang dengan aniayanya.

Melainkan sebab disuruh Allah memeliharakan manusia, supaya tiada dianiaya oleh seorang akan seorang, itulah gunanya.

Maka segala itu, patutlah segala raja-raja itu menaruh kitab Taj as-Salatin dan menilik akan dia pada tiap-tiap hari dan mencari orang yang tahu dan belajar daripadanya dan menerima segala nasihat orang yang alim supaya boleh tengku ketahui hal segala raja-raja yang adil dan yang zalim.

“Saya tidak mahu menasihat menggunakan perkataan sendiri.

Tetapi memilih untuk memetik kisah dan mutiara dari para ulamak untuk menasihat para hukamak dalam memerintah rakyat yang terbanyak.

Para ulamak menyebutkan tentang buaya, musang, tikus, harimau, harimau akar, anjing dan kambing sebagai misalan, supaya kita mengambil pelajaran.

Kisah dan pengalaman sudah terbentang, nasihat sudah terpampang, tinggal lagi diri kita sama ada mengikut atau menyimpang.

Tatkala menulis coretan ini, saya berfikir tentang ‘buaya-buaya’ yang membaham komisyen dan projek.

Bersyukur kerana saya dapat mengelakkan diri dahulu.

Teringat pula kepada ‘musang’ yang membuat ‘kuca’ dengan intipan-intipannya, ternyata jarang-jarang orang berani berkata benar sekarang.

Menjaga tembolok lebih utama bagi mereka.

Kita patut berkata syabas kepada ‘musang’ yang memilih ‘aziimah’ tatkala para ilmuan memilih ‘rukhsah.’

Saya sendiri berjanji kepada diri sendiri, untuk terus menjadi ‘rimau’ yang berani mengaum apakala melihat sahaja kemungkaran.

Saya tiada kepentingan untuk dilindungi, maka berkata benar adalah semulia-mulia pilihan ketika melihat mungkar dibiakkan sendiri oleh pihak yang berkuasa.

Jika memilih berdiam dan mengambil rukhsah, nescaya politik Islam bertukar menjadi politik kandang, penuh kebinatangan!

Mohd Fadli Ghani

Politik