UMNO Jangan Guna Modal Lompat Parti Kerana UMNO Juga Merestui Ahlinya Lompat Parti

UMNO Jangan Guna Modal Lompat Parti Kerana UMNO Juga Merestui Ahlinya Lompat Parti

Muak dan mual apabila UMNO masih menggunakan modal lompat parti sebagai senjata untuk menyatakan bahawa UMNO sebenarnya kuat dan berprinsip dalam perjuangan.

Kekalahan UMNO bukanlah disebabkan UMNO ditolak oleh rakyat tetapi kerana ahlinya melompat kepada parti lain tidak boleh dijadikan hujah utama UMNO lagi.

Sekiranya benar UMNO berprinsip untuk tidak membenarkan ahlinya melompat parti, UMNO mesti membuktikannya dengan tindakan.

Bagi pengamatan saya, UMNO hanya berlafaz setia namun menerima ahlinya yang tidak setia.

Peristiwa ini berlaku di Sabah apabila UMNO menerima kembali dua pemimpinnya yang sebelum ini melompat ke Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Datuk Salleh Keruak) dan Warisan (Datuk Jamawi Jaafar).

Jika UMNO tegas dan serius untuk tidak menerima ahlinya yang melompat, UMNO sepatutnya tidak menerima ahlinya yang seperti itu walaupun dikatakan insaf.

Insaf atau tidak, pengajaran mesti diberikan agar tiada lagi isu lompat-melompat selepas ini.

Bimbang akan menjadi hobi orang parti untuk melompat-lompat.

Bila dah kemarau lompat masuk balik.

Ini bukan ting-ting sukan tradisional rakyat tetapi ini adalah masa depan parti dan rakyat.

Mungkin dalam kotak pemikiran UMNO adalah yang lompat dan ingin kembali boleh dimaafkan, yang lompat meninggalkan adalah perosak parti dan tidak boleh dimaafkan.

Bagi saya ini adalah satu sikap yang tidak berprinsip.

UMNO ludah dan menjilat kembali dan umpama meludah ke langit akhirnya terkena muka sendiri.

UMNO seolah-olah merestui pemimpinnya lompat parti daripada parti lawan kerana memberi kelebihan kepadanya dan memburukkan ahlinya sekiranya lompat kepada parti lain.

“Bila untung kita ampun, bila rugi kita keji dan maki”.

Ini tidak adil dan memalukan umpama paku dulang, paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Jadi, UMNO mesti hentikan menggunakan modal lompat parti dalam setiap hujahnya kerana UMNO juga merestui aktiviti lompat melompat ini.

Biar berprinsip itu diterjemahkan bukan ditohmahkan.

Wan Mahussin Wan Zain

Isu Semasa