Tiada lagi hentinya isu ‘kuasa’ dalam klaster orang politik di saat rakyat dipaksa bersabar dan bertenang.
Orang politik masih tamak mencari kuasa dan tidak sabar untuk mendapat takhta.
Tragis lagi politik di Dewan Undangan Negeri Perak apabila undi percaya tidak memihak kepada Faizal Azumu.
Saya ingin bawakan analogi sifat padi, beras dan nasi sebagai perumpamaan kepada mereka yang ‘gilakan kuasa’ dan mahu dinobat sebagai jaguh dengan ugut-ugut, paksa-paksa, agah-agah, acah-acah dalam medan politik.
Padi terkenal dengan sifatnya makin berisi makin menunduk yang meniti di bibir masyarakat yang tahu makna disebalik peribahasa itu.
Biarlah jadikan teladan resminya padi itu yang memberi seribu satu manfaat kepada yang mengamalkannya.
Kepimpinan UMNO Perak sebelum ini menunduk semasa era pemerintahan Pakatan Harapan.
Mereka dilanda serba salah yang sangat tebal.
Hidup segan mati tak mahu untuk bertahan dalam sawah yang serba kekurangan.
Mereka ingin selamatkan padi daripada rosak akibat musuh tikus dan pipit dengan bertahan dengan ancaman siput gondang yang menggigit daun serta batang.
Dalam keadaan sawah hampir kontang dengan kemarau 22 bulan, panas terik menikam badan dan tidak lagi dihinggap belalang.
Mereka menangisi kekeringan air mata.
Sedang kemaraunya dijangka sampai kemuncak, padi kembali tenang apabila hujan menitis membasahi tanah tanpa diduga.
Subur tumbuh dan akhirnya menguning masak dalam tunduk menabur budi.
Bertahan dan selamat daripada masak hampa.
Setelah dituai padinya, maka padi telah bertukar menjadi beras.
Dibuka kembali gudang yang besar dan kembali bekerja anak-watan yang terbuang kerana hilang puncanya.
Bubuk-bubuk juga mula mengatur rentaknya.
Apabila beras berjaya diselamatkan daripada berhempas pulas di bendang, kini beras pula cuba memilih untuk mencari guni dan jenama.
Semua mahukan guni yang berjenama dan harganya tinggi.
Tidak mahu dimakan bubuk dan mahu ditanak oleh orang kenamaan tinggi.
Bila beras yang tidak berkualiti ingin memilih masuk guni jenama tinggi.
Maka bermulalah hasad dengki yang tinggi sehingga bubuk tidak mahu hampiri.
Beras itu bermula sombong dan melupakan sifat padi yang menunduk selepas berisi.
Beras jangan sombong, bendang Perak bergolak dengan kehadiran pipit dan tikus membaiki labu.
Sedar atau tidak bahawa bendang-bendang lain, (Johor, Melaka) bakal dilanda kemarau juga.
Padi menanam budi atau mati menyembah bumi.
Bila beras dimamah bubuk seterusnya ditanak nasi, maka sifatnya adalah membuyuk (berbohong).
Biarpun didalam guni berjenama tinggi, beras buruk tetap teruk dan mungkin tidak laku dibeli pembeli.
Pembeli akan menilai beras walaupun daripada jenama yang berkualiti bimbang makan terlebih kanji sehingga terpaksa memotong kaki.
Sanggupnya beras berpakat dengan sagu untuk meniru beras pulut (DAP) dan membawa bukti bahawa beras padi sombongnya menjadi jadi mencari kasta.
Berebut Kuasa masa Negara Binasa.
Serabut otak rakyat.
Wan Mahussin Wan Zain