Ukhuwwah Adalah Tiang Seri Muafakat

Ukhuwwah Adalah Tiang Seri Muafakat

Ada beberapa perkara yang mesti dihadami oleh semua sahabat Muafakat Nasional (MN).

Bahawasanya MN tertubuh adalah bertujuan menyelamatkan Islam dan bangsa Melayu setelah kerajaan PH dengan dominasi DAP mengancam ketuanan bangsa.

Tertubuhnya MN setelah persengketaan yang panjang antara PAS dengan UMNO jelas mampu mengembalikan Islam dan bangsa ini ke tampuk kuasa.

Siri-siri PRK selepas tertubuhnya MN menjadi indikatornya.

Dua parti teras Melayu ini saling memerlukan.

Persengketaan dan perpecahan adalah pucuk dicita ulam mendatang oleh DAP/PH.

PRU15 nanti adalah medan yang memungkinkan UMNO dan PAS mencapai kemenangan yang lebih besar.

MN/PN in sha Allah berada di garisan 2/3 kerusi Parlimen.

Bilik perang PH memang sedang membaca kemungkinan ini.

Justeru, by hook or by crook mereka sedang berusaha memusnahkan perpaduan yang sedang diperkasakan oleh PAS, UMNO dan BERSATU.

Namun kemusnahan boleh sahaja berlaku dari dalam MN itu sendiri.

Tanpa musang berbulu ayam, perpaduan boleh diperca oleh gunting dalam lipatan.

Sekiranya dibiarkan, api di dalam sekam akan menyebabkan MN terbakar secara keseluruhan.

Dan jika perpecahan berlaku di ambang PRU15, bangsa ini jangan terkejut bungkam apabila DAP/PH dapat berkuasa kembali.

UMNO, PAS dan BERSATU akan sama-sama terlentang menadah embun, tertiarap memakan pasir.

Justeru, penyokong dan ahli MN jangan celopar mencetuskan isu yang menjadikan kita bertelingkah.

Biarlah sebarang isu sensitif ditangani oleh peringkat kepimpinan atasan.

Jangan kita, sama ada bloggers, cybertroopers atau penggiat politik di apa juga peringkat menjadi penjolok sarang tebuan yang menyebabkan rakan semuafakat bertindak balas.

Nanti yang luka menjadi kudis.

Kudis menjadi pekung.

Jika dapat dirawat pun, parutnya sudah membekas.

Pedihnya masih tersimpan di ulu hati.

Dalam PRU nanti kita hendak bekerjasama dan tolong-menolong.

Bantu kempen, pasang bendera, bantu kewangan dan tenaga kerja.

Kita akan sama-sama berbincang dan bermesyuarat untuk gerak kerja pilihanraya.

Apabila krisis sudah berparut dalam, kita bimbang segala bantuan dan kerjasama hanya dilakukan umpama melepaskan batuk di tangga.

Dan lebih parah kalau masing-masing berkata; nasi tak dingin, pinggan tak retak, engkau tak ingin, aku tak hendak.

Sedarilah bahawa kita umpama kain yang singkat; ditarik ke bawah nampak kepala, ditarik ke atas nampak kaki.

Kita tak akan mampu memuaskan hati semua orang terutama apabila berada dalam kem atau kelompok yang berlainan.

Namun oleh kerana kita berpegang kata, “kelebihan Nabi pada mukjizat, kelebihan umat pada muafakat” maka berkomunikasilah umpama menarik rambut di dalam tepung; rambut tidak putus tepung tidak berselerak.

Kalau kita dah tahu jong pecah yu yang kenyang maka tidak cerdiklah kita yang menjadi kelasi dan penumpang ini sibuk geger di atas geladak.

Ukhuwwah adalah tiang seri penting dalam perpaduan ummah.

Fikirkanlah bagaimana ukhuwwah ini dapat dieratkan.

Sama-sama kita mencari titik persamaan dan merapatkan jurang perbezaan.

Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 103:

وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنْتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُمْ بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا

Maksudnya: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah dan janganlah kamu sekalian berpecah belah, dan ingatlah nikmat Allah atas kamu semua ketika kamu bermusuh-musuhan maka Dia (Allah) menjinakkan antara hati-hati kamu maka kamu menjadi bersaudara.”

Biarlah firman di atas menjadi pengubat keresahan jiwa kita dan menjadi penawar yang dapat menyatukan hati dan matlamat politik kita.

Demikianlah tamsilan agar semua pihak mengamalkan disiplin kendiri; kalau tak mampu kawal orang lain kawallah diri sendiri.

Jangan kita menjadi batu api yang memecahbelahkan perpaduan?

Apakah 22 bulan tidak cukup semesta untuk berijazah dalam politik?

Dan kita tidak pernah belajar peribahasa kisah anjing?

Sepuluh jong masuk, anjing tetap bercawat ekor.

Hina, membiarkan diri terhina dan sengaja meletakkan diri dalam kehinaan.

Marilah sahabat-sahabat MN semua kita mengambil ikhtibar daripada bidalan orang-orang tua kita terdahulu.

Tampunglah mana yang carik.

Tampal mana yang koyak.

Barulah kerja politik menjadi berpahala.

Politik